Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Buta sebelah mata bukan penghalang jalani kehidupan seperti insan lain

Dec 31, 2017 | 05:30 AM



ENCIK Sulaiman Ahmad Kamil cacat penglihatan tetapi beliau tetap gigih dan bertekad menjalani kehidupan seperti insan-insan yang sempurna.



Ayah tiga anak yang buta mata kanannya dan penglihatan hanya 40 peratus mata kirinya, mencari rezeki dengan bekerja dua kali seminggu sebagai tukang urut di sebuah spa di Havelock Road.



Beliau yang berjalan dengan bantuan tongkat orang buta, juga memberi khidmat urut di rumah-rumah pelanggan dengan menaiki bas atau MRT.



Masa terluang pula beliau habiskan dengan pergi memancing di pantai-pantai yang menjadi lubuk kaki pancing.



"Saya tidak peduli apa orang kata bila mereka lihat kecacatan saya. Yang penting, saya juga mahu menikmati kehidupan seperti orang lain.



"Saya juga tidak mahu membiarkan kecacatan saya ini menjejas kehidupan saya dan keluarga saya. Saya ada kaki untuk berjalan dan dikurniakan tulang empat kerat untuk mencari rezeki untuk menyara keluarga saya," kata Encik Sulaiman, 43 tahun, yang tinggal di flat sewa dua bilik di Bio Crescent dekat Havelock Road.



Beliau melahirkan rasa syukur kerana mendapat bantuan $800 sebulan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) yang juga menguruskan bil air dan elektriknya.



"Bantuan ini saya terima sejak dua tahun lalu dan ia begitu melegakan meskipun bantuan yang diberi tidak begitu besar. Bagi menutup kekurangan, saya keluar bekerja untuk menyara dua daripada tiga anak saya yang bersekolah rendah.



"Kalau saya sekadar bergantung kepada bantuan, keluarga saya tentu susah dan serba serbi tidak kecukupan," kata Encik Sulaiman yang pernah mewakili Singapura dalam acara bolasepak di Sukan Para Asean yang berlangsung di sini dalam 2015.



"Dulu saya memang minat main bola dan diberi peluang mewakili negara dalam suka para Asean itu.



"Tetapi, atas nasihat doktor yang tidak menggalakkan saya bergiat dalam sukan lasak, saya terpaksa mencari minat lain untuk mengisi masa lapang," tambahnya yang dilahirkan normal tetapi akibat menghidap glaukoma ketika berusia 18 tahun, "dunia" tiba-tiba gelap akibat mata kanannya buta dan mata kiri hanya dapat melihat 40 peratus.



Glaukoma merupakan sejenis penyakit saraf optik yang menghubungkan mata dengan otak dan menjadi penyebab utama masalah kerabunan di serata dunia.



Encik Sulaiman menyatakan beliau beralih kepada hobi memancing lebih setahun lalu setelah beliau dinasihatkan doktor supaya menghindari kegiatan lasak seperti sukan bola sepak yang menjadi kegemarannya sebelum ini.



"Saya belajar pancing dan dapat tunjuk ajar daripada seorang rakan yang sememangnya kaki pancing.



"Bagi saya memancing bukan setakat hobi tetapi menjadi terapi... memberi ketenangan dan menguji kesabaran kita. Memang kadang kala boring bila seekor pun tak dapat lepas berjam-jam lempar dan tarik mata kail.



"Bila tak dapat ikan, saya kata kepada diri saya mungkin hari ini tak ada rezeki dan cuba lain kali. Tapi saya puas makan ikan segar dan inilah nikmat memancing," kata Encik Sulaiman yang sering memancing di pantai Pasir Ris, Marina Bay, Jeti Bedok dan kolam ikan privet di Pasir Ris.



Menurutnya, biasanya beliau pergi memancing dengan rakan-rakannya kerana mereka boleh membantunya melepas mata kail pada mulut ikan terutamanya yang berbisa seperti pari dan sembilan.



"Kalau saya memancing seorang diri dan tiada sesiapa di sekeliling saya, saya buang ikan berbisa yang saya tangkap dengan memotong tangsi untuk elak disengat," katanya yang pernah juga menyertai peraduan memancing di sini, Batam dan Malaysia tetapi tidak memenangi sebarang hadiah utama sejauh ini.



Menurutnya, beliau cukup bahagia dengan kehidupannya meskipun tidak sesempurna insan-insan yang lain.



"Saya belajar pancing dan dapat tunjuk ajar daripada seorang rakan yang sememangnya kaki pancing. Bagi saya memancing bukan setakat hobi tetapi menjadi terapi... memberi ketenangan dan menguji kesabaran kita. Memang kadang kala boring bila seekor pun tak dapat lepas berjam-jam lempar dan tarik mata kail."
- Encik Sulaiman Ahmad Kamil yang cacat penglihatan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >