Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cabaran besar bawa bantuan rentas sempadan Rafah masuk ke Gaza: Palang Merah S’pura

Nov 01, 2023 | 08:09 PM



Situasi di sempadan Rafah tidak menentu dan terus menjadi cabaran bagi bantuan kemanusiaan untuk dihantar masuk ke Jaluran Gaza kerana kawalan keselamatan yang ketat di sekitar sempadannya, kata Encik Sahari Ani, wakil Palang Merah Singapura.







Memberi kemas kini mengenai usaha bantuan kemanusiaan dari Kahirah, Mesir semasa dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada Rabu, Encik Sahari berkata Palang Merah Singapura sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di sana seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan tentang keperluan penduduk dan mangsa di Jaluran Gaza.


“Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir telah mengenal pasti bantuan-bantuan yang diperlukan. Kemusnahan di sana dan kesannya amat ketara.

“Sebenarnya, banyak sungguh keperluan penting yang masih diperlukan seperti makanan, air bersih, bekalan menyelamatkan nyawa, minyak dan lain-lain lagi,” kata Encik Sahari, yang merupakan Dekan dan Pengarah Kumpulan di Akademi Palang Merah Singapura.

Encik Sahari tiba di Kahirah pada Jumaat untuk bekerja rapat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir bagi mengenal pasti bantuan yang diperlukan oleh penduduk di Jaluran Gaza, dan membantu penyelarasan dan perolehan bekalan yang diperlukan untuk dihantar ke sana.

“Kita perlu memastikan kita bekerja dengan organisasi yang bertauliah dan boleh dipercayai, serta mempunyai kapasiti untuk memberikan bantuan itu kepada yang memerlukan.

“Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin telah melakukan usaha ini selama bertahun-tahun dan mempunyai akses ke Jaluran Gaza untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata Encik Sahari.

Beliau menambah bahawa air bersih, makanan, bahan api dan bekalan perubatan terus menjadi keperluan paling penting bagi penduduk di Gaza.

“Dengan berada di sini, saya dapat melihat sendiri apa yang sedang berlaku dan menghulurkan bantuan dengan cepat dan sewajarnya. Jadi sementara saya berada di sini untuk tempoh masa ini, saya akan bekerjasama rapat dengan mereka untuk membawa masuk sumber yang diperlukan,” kata Encik Sahari.

Pada Selasa, Palang Merah Singapura berkongsi bahawa mereka akan menghantar bekalan bantuan kemanusiaan bernilai AS$200,000 ($273,500) kepada mangsa krisis tersebut.

Ini termasuk barangan seperti bekalan kit kebersihan, air bersih, makanan, barangan perubatan dan peralatan seperti kerusi roda.

Bagaimanapun, memandangkan skala kemusnahan di Jaluran Gaza, barangan keperluan ini tidak mencukupi dan memerlukan usaha seluruh dunia untuk menghulurkan bantuan, bukan sahaja rakyat Singapura, kata Encik Sahari.

Beliau menambah sokongan rakyat Singapura adalah penting dalam membawa bantuan kepada mereka yang memerlukan tetapi Palang Merah Singapura terus menghadapi cabaran untuk menghantar bantuan yang diperlukan tepat pada masanya merentasi sempadan Rafah.

“Rakan kerja di sini sudah biasa dengan proses bantuan kemanusiaan ini dan cara untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza. Mereka telah melakukan ini untuk masa yang lama.

“Bagaimanapun, dengan kemusnahan yang masih berterusan, terdapat beberapa had dan cabaran, terutamanya untuk menghantar bantuan merentasi sempadan Rafah. Ada kalanya, tahap kawalan keselamatan menjadi ketat dan melambatkan proses,” kata Encik Sahari.

Apabila ditanya apakah cara terbaik untuk rakyat Singapura dan orang lain di seluruh dunia membantu dalam krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh penduduk di Gaza, Encik Sahari berkata bahawa cara terbaik adalah melalui sumbangan wang.

“Palang Merah Singapura sudah mempunyai sistem dan proses untuk memperoleh dan mendapatkan bantuan dengan cepat, dan menghulurkannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan Palestin.

“Rakyat Singapura amat baik hati dan sentiasa membantu. Pasukan-pasukan di sini tahu dan amat berterima kasih atas sokongan rakyat Singapura tetapi keperluan kemanusiaan terus meningkat. Kami berharap semua dapat terus menderma,” ujar Encik Sahari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >