Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEDUTAN UCAPAN ENCIK K. SHANMUGAM DI MAJLIS MAKAN TENGAH HARI BAGI MENGHARGAI SUKARELAWAN MASYARAKAT ANJURAN KEMENTERIAN EHWAL DALAM NEGERI (MHA)

Cabaran masa depan... toleran tapi tetap menjadi penganut agama yang baik

Sep 26, 2022 | 05:30 AM



"APABILA rangkaian JI ditemui pada tahun 2001, kita menghadapi cabaran besar.



Kita mempunyai orang yang radikal, dan cabarannya adalah apa yang perlu dilakukan dengan mereka, dan bagaimana untuk mencegah orang lain daripada menjadi radikal.



Di kebanyakan negara, pendekatannya adalah sama ada membiarkan mereka saja - dalam hal ini, sepanjang 20 tahun lalu, anda telah melihat apa yang telah terjadi.



Individu yang baru menjadi radikal terus menjadi lebih radikal, mereka ikut dalam peperangan, mereka merosakkan masyarakat, dan mereka melakukan tindakan yang kejam, membunuh banyak orang.



Pendekatan kedua adalah, kebanyakan mereka hanya dikurung. Tapi sebenarnya, kedua-dua pendekatan ini, boleh kita lihat sendiri, tidak berhasil.



Di Singapura, suatu cara lain ditemui. Pemerintah mengajak masyarakat, bekerjasama dengan masyarakat, dan masyarakat menyahut cabaran ini bekerja dengan tahanan, melalui Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), menjalankan kaunseling keagamaan bagi mereka yang sudah atau sedang menjadi radikal.



Kumpulan Jagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) turut digerakkan dalam menyediakan bantuan dan sokongan kepada keluarga mereka, dan itu penting.



Peranan RRG, yang terdiri daripada cendekiawan kanan Islam, dapat menjelaskan secara autoritatif dan berwibawa mengapa tafsiran tentang Islam yang dimiliki oleh tahanan-tahanan itu tidak betul.



Pemerintah tidak dapat melakukan hal ini. Jika kita yang bercakap mengenainya kepada tahanan-tahanan itu, ia tidak berwibawa.



Sepanjang 20 tahun lalu, RRG telah berkerja bersama ahli psikologi untuk membantu tahanan-tahanan tersebut memahami agama mereka dengan baik, mengajar dan membimbing para belia dalam tahanan, dan terus bertemu mereka selepas dibebaskan untuk memberi sokongan dan kaunseling keagamaan.



Sementara itu, pada masa yang sama, ACG pula menyediakan sokongan penting kepada keluarga tahanan: bantuan sosial, kewangan, kemahiran dan pekerjaan.



Sokongan ini diberikan semasa tahanan itu dikurung, dan dilanjutkan selepas mereka dibebaskan.



Ini penting, kerana ia membolehkan tahanan itu mendapat ketenangan fikiran dan lebih fokus kepada pemulihan mereka.



Pada masa yang sama, ia memberi sokongan sosial kepada keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan.



Jadi, dengan sokongan daripada setiap anda di sini, 78 daripada 92 orang tahanan sejak 2002 - iaitu hampir 85 peratus - telah dibebaskan.



Mereka telah dipulihkan daripada menjadi radikal dan dibebaskan.



Lagi 14 tahanan itu adalah yang baru ditahan, dan saya menjangkakan tidak berapa lama lagi, kebanyakan mereka akan dibebaskan.



Tahanan-tahanan yang asalnya, hampir kesemua sudah dibebaskan, tinggal satu atau dua yang dijadikan contoh.



Keputusan ini - dan jika anda bandingkan dengan apa yang terjadi di Guantanamo Bay - tidak mungkin diperolehi jika pemerintah melakukannya sendiri.



Di serata dunia, malah sekitar rantau ini, kadar pemulihan amat rendah.



Tahanan-tahanan itu apabila dibebaskan, kembali dan melakukan hal-hal yang buruk. Lain halnya dengan di Singapura, kerana adanya RRG dan ACG



CABARAN MASA KINI



Pada masa yang sama, kita juga menghadapi cabaran-cabaran baru kerana perkembangan kedudukan global.



A. IDEOLOGI RADIKAL DAN PELAMPAU



Di Timur Tengah, terdapat perkembangan penting dalam beberapa tahun ini, dan apa yang berlaku di Timur Tengah boleh dan telah memberi kesan global, termasuk di Asia Tenggara.



Orang selalu melihat kepada persaingan antara Arab Saudi dengan Iran. Ia selalu disifatkan sebagai pemisah Sunni-Shia, dan pemisahan itu telah digunakan oleh kumpulan pelampau seperti Al-Qaeda untuk menyokong kepercayaan radikal mereka.



Arab Saudi dan lain-lain negara telah melaksanakan usaha serius beberapa tahun ini untuk cuba menangani soal radikalisme ini.



Satu contoh adalah kempen 'online' yang terkenal bagi memulihkan mereka yang menjadi radikal di Arab Saudi, dipanggil 'Sakinah,' yang menyediakan cendekiawan Islam 'online' untuk berinteraksi dengan mereka yang sedang mencari pengetahuan agama.



Tujuannya adalah untuk cuba dan membawa mereka yang ingin mencari ilmu ke arah yang betul dan menjauhi fahaman pelampau.



Saya fikir kita harus mengalu-alukan langkah seperti itu dan tindakan yang telah mereka ambil.



Apakah kesudahannya nanti daripada langkah-langkah tersebut? Saya fikir kita harus melihatnya dengan memahami latarbelakang Timur Tengah.



Hakikatnya adalah ketidakstabilan terus menjadi suatu cirinya. Kerana konflik Israel-Palestine masih belum dihuraikan: Perang Saudara di Syria belum selesai, ia masih bergelora.



Banyak revolusi kebangkitan dunia Arab (Arab Spring) sejak 2011, setelah 11 tahun berlalu, telah gagal.



Rakyat muda di rantau itu tersadai, mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan.



Kadar pengangguran tinggi, mereka berasa pemerintah tidak mengambil berat akan keadaan mereka, dan sebilangan besar penduduk ini mudah terpengaruh dengan propaganda pelampau.



Jadi, kesemua faktor ini masih berterusan di Timur Tengah. Sama ada terdapat inisiatif tertentu boleh berjaya atau tidak, bergantung kepada bagaimana pula halnya dengan faktor-faktor lain.



Sedang beberapa negara itu terus melahirkan ideologi eksklusif dan radikal, apa yang terjadi adalah orang-orang di lain bahagian dunia melihatnya menarik - terhadap ideologi pelampau - termasuk sebahagian orang di Asia Tenggara.



Sekadar menunjukkan kepada anda apa yang berlaku di Asia Tenggara, izinkan saya memberikan kefahaman tentang bagaimana rantau ini bergolak.



Di Indonesia, berdasarkan tinjauan pada 2021, terdapat 25 peratus pelajar percaya yang tindakan 'bom bunuh diri' demi agama adalah jihad.



Itu kepercayaan satu daripada setiap empat orang pelajar di Indonesia.



Hampir 60 peratus di Jakarta berkata mereka tidak toleran terhadap lain agama (2018).



Ini adalah hasil Tinjauan PPIM UIN Jakarta di kalangan pelajar sekolah tinggi.



Jika anda beralih ke Malaysia pula, sehingga dua tahun lalu, satu pertiga atau 34 peratus rakyat Malaysia berkata ajaran agama harus menjadi asas dan sumber bagi semua dasar dan semua undang-undang (2020).



Saya tidak pula mengatakan semua itu adalah disebabkan radikalisasi, dan tidak juga saya membuat penilaian tentang kepercayaan rakyat Malaysia.



Saya hanya menyebutkan fakta, yang meninggalkan kesan.



Apa yang ditunjukkan adalah di Malaysia, terdapat pemikiran eksklusif yang kuat di kalangan satu pertiga orang Islam, dan berkemungkinan bertambah, yang mengatakan orang-orang lain tiada tempat melainkan mereka menurutinya.



Apa yang lebih membimbangkan adalah 28 peratus rakyat Malaysia lebih menerima keganasan untuk mencapai matlamat keagamaan. Itu juga pada 2018.



Jadi itu adalah satu daripada tiga, hampir, yang mengatakan tidak mengapa menggunakan kekerasan. Itu berdasarkan kajian Pusat Merdeka.



Jika anda melihat di Filipina pula, bilangannya hampir berlipat dua kali ganda dengan yang di Malaysia.



Sekitar 52 peratus orang Islam di Filipina berasa tidak mengapa menggunakan keganasan demi agama (2018).



Apakah implikasi terhadap perkembangan pandangan seperti ini?



Menurut pandangan saya sendiri, ia akan terus bertambah dan tidak berkurang. Dari masa ke masa, radikalisme dan keganasan atas nama keagamaan akan terus berkembang. Malah sekalipun di Timur Tengah kurang keganasan dan kalaupun ada perubahan di Arab Saudi, satu daripada keprihatinan adalah perkembangan di rantau itu akan berterusan seperti yang kita lihatnya di sini dan tidak terjejas dengan perubahan di Timur Tengah.



Bagi kita, ia tentunya memberi kesan langsung dari segi keselamatan, memandangkan ratusan ribu orang Malaysia menyeberang tambak setiap hari, dan banyak lagi dari rantau ini, yang datang apabila sudah dibolehkan.



Tentunya, faktor kedua adalah penduduk kita sendiri akan terpengaruh apabila rantau ini berubah. Penduduk kita sendiri, dengan adanya Internet dan hubungan fizikal akan turut terpengaruh.



Bagaimana ia boleh menjejas masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama, yang kita pelihara dengan penuh berhati-hati? Inilah cabaran utama yang tidak boleh dihuraikan oleh pemerintah secara bersendirian.



PEMODENAN DAN AMALAN ISLAM



Jika anda melihat kesan di Timur Tengah dan di rantau kita pengaruh keagamaan yang datangnya dari Timur Tengah ke Asia Tenggara adalah pengaruh Wahabi dan Salafi. Kebanyakanya dari negara Teluk, kebanyakan dari Arab Saudi dan Kuwait.



Kebangkitan Dunia Arab 2011 mengejutkan banyak negara Arab, dan kebanyakan mereka melihatnya, dan mencapai satu keputusan bahawa kehidupan tidak boleh berjalan seperti dulu, dan mereka harus turut mengubahnya.



Hasilnya, Negara Teluk berusaha mengubah ekonomi dan masyarakat mereka, cuba meletakkan mereka mengikut peralihan demi jangka panjang.



Mereka tidak boleh bergantung kepada minyak saja. Dunia berubah. Pada masa yang sama, masyarakat tidak boleh hidup seperti masa-masa sebelumnya. Masyarakat juga akan turut berubah. Mereka mencari hala baru bagi masa depan mereka.



Semasa lawatan saya ke Teluk, pada Mac lalu, saya amat merasakan kesan perubahan yang saya lihat.



Sekali lagi, tanpa membuat sebarang penilaian, di Dubai, contohnya, bahasa yang digunakan telah banyak berubah. Mereka mengatakan agama adalah soal peribadi, kami adalah sebuah bandar kosmopolitan, dengan semua agama Eropah, Asia, anda menjaga agama anda dalam lingkungan privet.



Kami terbuka kepada perniagaan, dan kami mahu menarik mereka dari serata dunia.



Berdasarkan apa yang kita lihat di Timur Tengah sebelum ini, itu adalah pemikiran yang amat berlainan tentang sesuatu.



Sekali lagi, tanpa mengatakan sama ada ia benar atau salah, kami telah diundang ke sebuah pavilion di Ekspo Duna anjuran Arab Saudi.



Video yang ditunjukkan oleh Arab Saudi sebagai sebuah negara di abad ke 21 dan 22, melambangkan pemodenan.



Satu hal yang saya lihat adalah mereka menayangkan video yang menunjukkan wanita memandu, wanita melakukan banyak perkara tanpa menutupi rambut mereka.



Jadi, mereka memberi gambaran yang berbeza sekarang dan mereka adalah pewaris kota Makkah dan Madinah.



Jadi apakah mesej yang sedang disampaikan kepada dunia?



Tentunya, inilah pemerintahnya. Sedalam mana ia meresapi ke dalam masyarakat, bagaimana masyarakat menerimanya? Itu adalah persoalannya. Kemudian saya beritahu anda tentang gambaran Timur Tengah yang lain pula.



Sedang mereka melalui peralihan, persoalannya adalah sama ada mereka berupaya untuk melakukan transformasi, secepat mana peralihan ini akan dilakukan, dan bagaimana ia boleh menjejas masyarakat Islam di Asia Tenggara?



Kebanyakan orang Arab di Asia Tenggara, atau sebilangan besar adalah dari Hadhramaut, di Yemen. Yemen sekarang kelihatan seperti sebuah negara yang telah gagal gara-gara peperangan.



Apakah yang menjadi rujukan bagi penduduk Islam? Di Barat, dan di kebanyakan negara di Asia, pemodenan sering dikaitkan dengan sekularisme, tetapi ini tidak berlaku di Timur Tengah.



Contohnya, Arab Saudi sebagai pewaris tempat-tempat suci, sedang cuba mewujudkan pemahaman mereka sendiri dan pendekatan terhadap Islam, dan bagaimana itu diselaraskan dengan pemodenan. Tetapi itu juga tidak bermakna Arab Saudi bergerak ke arah sekularisme sebagai prinisip masyarakatnya.



Ia mengamalkan Islam sebagai amalan harian dengan cara yang berlainan. Itulah yang dapat kita lihat.



Terdapat pandangan bertentangan sama ada perubahan ini akan memberi kesan ke atas Asia Tenggara.



Begitu juga, perubahan besar, adalah Perjanjian Abraham yang ditandatangani dua tahun lalu antara Israel dengan negara Arab, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pemulihan semula hubungan.



Israel sekarang mempunyai kedutaannya, dan negara-negara Arab juga mempunyai kedutaan mereka.



Walaupun mereka menandatanganinya dengan UAE, terdapat kaitan rapat dengan beberapa tempat sekitarnya. Tetapi perubahan-perubahan itu tidak begitu menjejas pandangan dan sikap umat Islam di rantau ini terhadap Israel.



Ia tidak juga menjejas cara di mana negara-negara di rantau ini, pemimpin mereka bercakap tentang Israel, kerana secara politik, saya fikir bukan sesuatu yang menurut mereka boleh diterima.



Bagaimana Islam difahami dan diamalkan di Asia Tenggara semakin menjadi suatu pandangan yang bersifat serantau.



Sebagai contoh, jika anda melihat Indonesia, dan usaha memajukan konsep Islam Nusantara. Tentunya, ada percubaan di rantau ini untuk menggunakan agama - Budha, Islam, Kristian, Hindu -- untuk kepentingan politik.



Para pemimpin utama di kebanyakan negara memilih apa juga agama yang berguna buat mereka sebagai sebahagian daripada politk.



Bagaimana semua itu boleh menjejas kita?



Saya fikir, sedang pemahaman orang tentang agama berkembang, ia akan terus mewujudkan ideologi yang berlainan, di mana kebanyakan anda terlibat dan dalam mendidik masyarakat kita.



Jadi, saya fikir, tanggungjawab akan menjadi lebih besar, kerana terdapat banyak cabaran datang, untuk membimbing masyarakat kita dengan cara yang betul, toleran tetapi menjadi umat Islam yang baik, dan bagi agama lain, Kristian dan Hindu yang baik juga. Ini akan menjadi lebih mencabar.



Anda lihat trend yang saya sebutkan awal tadi, trend yang membimbangkan. Mungkin terlalu awal bagi kita untuk menyatakan bagaimana perkara ini berkembang, tetapi faktor yang saya sebutkan itu boleh memberi kesan. Kita tidak akan dilindungi.



Jadi, peranan setiap orang hari ini terus menjadi penting, malah akan terus terus meluas.



Jadi, kami amat menghargai atas apa yang telah anda lakukan. Seperti angsa - ia kelihatan indah, tidak ada yang akan berlaku semasa di darat, tetapi ia berenang pantas dalam air.''




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >