Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Luahan hati Amrin: Tidak ambil ringan tugas dan khidmat

Sep 09, 2018 | 05:30 AM



INGIN tahu apa yang dilakukan Encik Amrin Amin?



Lawat sahaja ke akaun media sosial beliau - Facebook atau Instagram.



Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) itu memang aktif di media sosial, dengan ramai pengikutnya tertarik dengan catatan dan foto unik, kelakar dan penuh emosi beliau.



Umumnya, aktiviti Encik Amrin di alam maya itu diterima baik, namun seperti pengguna media sosial yang lain, beliau juga tidak dapat lari daripada kritikan atau komen netizen.



Prinsip Encik Amrin, yang juga Anggota Parlimen GRC Sembawang, dalam mendekati masyarakat adalah mudah.



Jujur, ikhlas dan tidak perlu berpura-pura.



"Di media sosial, anda tidak boleh fake atau buat-buat.



"Anda harus jujur dan menjadi diri sendiri. Anda tidak boleh berpura-pura menjadi orang lain," kata Encik Amrin, dalam wawancara dengan Berita Minggu di Kampung Admiralty, baru-baru ini.



Sifatnya yang mudah tersenyum, suka bergurau dan peramah jelas terbukti semasa temu ramah dijalankan dan ramai penduduk menghampirinya untuk bergambar atau sekadar menyapa.



BOLEH BERGAUL SELESA



Lantaran itu, tidak mengejutkan jika ada yang menganggap Encik Amrin sebagai 'semberani mak cik' kerana popular di kalangan golongan mak cik.



Apabila ditanya bagaimana beliau mampu berinteraksi dan bergaul dengan selesa dengan penduduk daripada pelbagai lapisan usia, mantan peguam korporat itu menjelaskan:



"Saya pasti tidak semua orang suka kepada saya.



"Tetapi apabila bergaul atau mendekati masyarakat, saya bersikap biasa sahaja seperti diri saya dan suka berjenaka.



"Hidup ini terlalu singkat, jadi carilah kebahagiaan dan kelucuan dalam kehidupan hari-hari.



"Memang sifat saya optimistik, peramah, suka bertemu orang dan suka mendengar serta membaca tentang cerita orang lain.



"Pada akhirnya, ia adalah bagaimana kita menjadi seorang yang berperikemanusiaan.



"Bagaimana seorang yang tidak sempurna berusaha setiap hari untuk menjadi lebih baik.



"Dan apa yang mendorong saya ialah mungkin kerana saya sedar bahawa setiap orang ada potensi dan saya mahu mempunyai hubungan dengan setiap orang yang saya temui."



Dalam berkhidmat kepada masyarakat, Encik Amrin menyifatkan peranan itu sebagai satu keistimewaan yang tidak diambil ringan.



"Saya anggap tugas ini sebagai satu rahmat, bukan hanya kerana saya dapat membantu orang, tetapi saya melihat kekuatan dan keberanian individu yang sangat mengagumkan.



"Mereka ini adalah orang biasa yang mempunyai kehidupan biasa, yang melakukan perkara luar biasa," ujarnya.



Kisah perjuangan dan pergelutan golongan itulah yang banyak meniup semangatnya dan menjadi inspirasi agar menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.



Encik Amrin menukil contoh seorang penduduknya - suri rumah, Cik Habsah Attan - yang kematian suami secara tiba-tiba dan terpaksa membina semula kehidupannya serta menyara hidup beliau dan dua anaknya dengan berjualan kuih-muih.



Seorang lagi penduduknya, Encik Khirmern Mohamed, yang kudung sebelah kaki tetapi gigih berusaha, hidup seperti orang biasa demi isteri dan bayi mereka yang berusia sembilan bulan.



"Semangat berjuang mereka ini membakar semangat saya melakukan kerja harian.



"Mereka menunjukkan bahawa walau apapun kesusahan, mereka tidak sekadar reda dan patah semangat, sebaliknya terus berjuang demi masa depan diri mereka dan keluarga.



"Mereka memberi inspirasi dan harapan kepada orang lain," ujar Encik Amrin.



Beliau turut menyifatkan tugasnya sebagai satu cara menyumbang semula kepada masyarakat bagi setiap peluang dan kelebihan yang dinikmati dalam hidupnya.



"Jawatan dan kedudukan hanyalah sementara. Apa yang Tuhan beri, Tuhan boleh ambil semula daripada kita.



"Jadi, apabila saya meneliti isu-isu yang ada dalam masyarakat kita, seperti kesihatan dan dadah, saya sedar bahawa ada orang yang benar-benar memerlukan bantuan.



"Berusaha sungguh-sungguh menolong mereka hanyalah satu cara untuk menyumbang semula dan menunjukkan rasa terima kasih saya kepada masyarakat bagi setiap peluang dan manfaat yang saya nikmati," tekan beliau.



Encik Amrin menambah, beliau sedar tanggungjawab yang dipikulnya adalah berat kerana "penduduk bergantung kepadanya untuk memastikan semuanya berjalan lancar."



TENTANG MEDIA SOSIAL



Menyentuh tentang penglibatan aktif beliau dalam media sosial, Encik Amrin, yang mempunyai lebih 5,000 pengikut di Instagram, berkata ia satu wadah untuk berkongsi cerita penduduk.



"Saya menulis di media sosial tentang perkara yang saya suka, kisah-kisah yang menyentuh hati saya dan perasaan yang saya rasakan pada ketika itu.



"Saya sering berkongsi kisah tentang wira harian yang wajar kita tahu. Dan saya gembira dapat menjadi orang itu yang mengongsinya," ujar Encik Amrin.



Perkongsiannya di alam maya juga mencerminkan rasa ingin tahu beliau tentang kehidupan warga lain dan rasa kagum terhadap mereka yang melalui liku-liku kehidupan dengan penuh ketabahan, jelas beliau, yang gemar membaca buku autobiografi seperti Nelson Mandela.



Sejauh ini, wadah itu telah banyak membantunya dalam usaha menghampiri penduduk dan masyarakat amnya.



"Saya pernah menerima mesej daripada keluarga banduan dan mereka meminta saya kirim salam kepada anggota keluarga mereka di penjara apabila saya melakukan lawatan di sana."



"Ia amat menyentuh hati," imbasnya.



BELIA MELAYU



Sementara itu, berkongsi pemerhatiannya mengenai masyarakat Melayu/Islam, Encik Amrin berkata, golongan muda hari ini perlu tahu dan sedar bahawa masyarakat Melayu/Islam memiliki kekuatan dan bakat besar.



"Apabila ditanya, ramai anak muda hari ini tidak selesa berbahasa Melayu manakala ada yang percaya pada stereotaip Melayu 'malas'.



"Mereka perlu sedar bahawa kita satu masyarakat yang cukup berbakat dan mempunyai kekuatan yang tinggi.



"Misalnya, jika kita dengar lagu-lagu lama dan peribahasa kita... ia mencerminkan daya kreativiti dan bakat masyarakat kita yang tinggi, begitu juga seperti batik tenunan yang halus. Tidak mungkin orang yang malas dan tidak berilham mampu melakukan itu semua," tekan beliau.



Itulah sebabnya beliau terpanggil menghasilkan program 'Jejak Warisan' di kawasan undinya kerana beliau mahu anak muda tahu asal usul dan jati diri mereka.



Peristiwa seperti itu, katanya, sering membuatnya mengingatkan dirinya agar terus merendah diri dan tidak melupakan asal usulnya.



"Sejujurnya, saya tidak mempunyai jawapan bagi segala masalah atau cabaran.



"Ada ketika, saya bertanya diri sendiri adakah saya cukup bagus? Atau adakah saya akan mengatakan sesuatu yang salah?



"Dan jika detik itu berlaku, saya berharap orang ramai akan melihat saya sebagai manusia biasa yang sedang berusaha melakukan yang terbaik," terangnya.




Tujuan berkhidmat



"Jawatan dan kedudukan hanyalah sementara. Apa yang Tuhan beri, Tuhan boleh ambil semula daripada kita. Jadi, apabila saya meneliti isu-isu yang ada dalam masyarakat kita, seperti kesihatan dan dadah, saya sedar bahawa ada orang yang benar-benar memerlukan bantuan. Berusaha sungguh-sungguh menolong mereka hanyalah satu cara untuk menyumbang semula dan menunjukkan rasa terima kasih saya kepada masyarakat bagi setiap peluang dan manfaat yang saya nikmati."



Cara berinteraksi dengan masyarakat



"Memang sifat saya optimistik, peramah, suka bertemu orang dan suka mendengar serta membaca tentang cerita orang lain. Pada akhirnya, ia adalah bagaimana kita menjadi seorang yang berperikemanusiaan.



... Dan apa yang mendorong saya ialah mungkin kerana saya sedar bahawa setiap orang ada potensi dan saya mahu mempunyai hubungan dengan setiap orang yang saya temui."



Mengenai masyarakat Melayu



Mereka perlu sedar bahawa kita satu masyarakat yang cukup berbakat dan mempunyai kekuatan yang tinggi. Misalnya, jika kita dengar lagu-lagu lama dan peribahasa kita... ia mencerminkan daya kreativiti dan bakat masyarakat kita yang tinggi, begitu juga seperti batik tenunan yang halus. Tidak mungkin orang yang malas dan tidak berilham mampu melakukan itu semua."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >