Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH MUIS50

Cinta ilmu pendorong tokoh pendidik Sukarti Asmoin

Oct 28, 2018 | 05:30 AM



BELIAU sekadar menggayakan baju kurung bermotif batik dan bertudung putih semasa menghadiri sesi wawancara bersama Berita Minggu Rabu lalu.



Itulah pakaian 'seragam'nya juga semasa mengajar atau menghadiri sebarang mesyuarat.



Namun, di sebalik penampilan ringkas itu ialah wanita yang berpengetahuan luas dan menjadi suri teladan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.



Pada usia 64 tahun, Ustazah Sukarti Asmoin sudah menggenggam tiga ijazah.



Beliau kini dalam proses mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan dari Universitas Ibn Khaldun Bogor (UIKA).



Antara ijazah yang sudah digenggam ialah sarjana pendidikan Universiti Monash, yang diperolehi pada 2004 ketika berusia 50 tahun.



Ustazah Sukarti, bekas pengetua yang kini dekan Jabatan Pendidikan dan guru di Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, berkata keinginan menjadi contoh baik kepada anak murid antara pendorong utamanya terus mengejar ilmu.



"Saya ingin tunjukkan kepada anak murid, kalau saya yang sudah berusia ini masih boleh belajar, apa lagi mereka.



"Tambahan lagi, saya memang daripada dulu minat belajar dan membaca. Memang itu sesuatu yang membuat saya gembira.



"Ibu bapa saya juga memang tidak pernah menghalang atau berkata anak perempuan tak harus belajar tinggi-tinggi. Malah, mereka sedia menyokong minat itu," katanya.



Beliau merupakan penerima anugerah tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Anugerah Jasa Cemerlang, baru-baru ini.



Anugerah tersebut mengiktiraf pencapaian dan sumbangan berterusannya kepada masyarakat.



TIDAK JENUH BERKHIDMAT



Ramai rakan sebayanya mungkin sudah bersara atau berehat di rumah saja sekarang. Berbeza halnya dengan Ustazah Sukarti, yang jadualnya masih padat.



Setelah tamat tempoh perkhidmatan 20 tahun sebagai pengetua Madrasah Al-Maarif, beliau giat mengajar subjek seperti ulum Al-Quran, hadis, tafsir dan faraid di peringkat prauniversiti.



Sebagai dekan Jabatan Pendidikan pula, beliau bertanggungjawab memikirkan pendekatan terbaik menyelaras pemindahan pelajar daripada peringkat sekolah rendah kepada menengah lalu ke prauniversiti.



Beliau juga dilantik menjadi Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agma Islam Singapura (Pergas) baru-baru ini - menjadikan beliau naib presiden wanita pertama pertubuhan itu.



Beliau turut menganggotai Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), yang terdiri daripada asatizah mapan Singapura, bagi memperkukuh Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Sungguhpun tanggungjawab yang dipikulnya itu berat, nenek tiga cucu itu menganggapnya sebagai cabaran yang harus disahut dan bukan beban.



"Memang daripada segi tanggungjawab bertambah. Namun, kita perlu ingat siapa kita dan apa tanggungjawab kita.



"Yang penting, saya berharap dapat menjadi contoh yang baik kepada guru lain juga," katanya.



Beliau pun berkata segala apa yang dilakukan dan dicapai selama ini mustahil tanpa sokongan padu keluarga, terutama sekali suaminya.



Menurutnya, suami merupakan penyokong utama dalam perjalanannya menuntut ilmu hingga sekarang.



"Sejak berkahwin, beliau memang tidak pernah melarang saya meneruskan pembelajaran, malah beliau galakkan.



"Contohnya, semasa memberitahu ingin ambil PhD, beliau membelikan saya komputer riba baru.



"Beliau juga akan membantu di rumah apabila saya sibuk. Kadang-kadang kalau baju saya ronyok, beliaulah yang bantu saya gosokkan," ujarnya sambil tertawa.



Yang penting dalam rumah tangga ialah komunikasi, katanya.



Empat anak mereka, yang berusia antara 24 dengan 34 tahun, turut menyokong minatnya.



Mereka masing-masing berkecimpung dalam bidang yang diminati, iaitu reka bentuk, perubatan, hortikultur dan fisioterapi.



"Saya tidak pernah memaksa mereka menceburi mana-mana bidang kerana saya percaya bahawa jika mereka ikut minat sendiri, mereka boleh berjaya dengan gembira," katanya.



Akhir kata, Ustazah Sukarti berkata beliau berterima kasih kepada Muis atas penghargaan yang diberikan itu.



Katanya:



"Saya memang suka mengajar. Selagi boleh, saya akan mengajar. Semoga anugerah ini diberkati Allah dan saya dapat terus berkhidmat selagi nyawa dikandung badan."




CINTA ILMU



"Saya ingin tunjukkan kepada anak murid, kalau saya yang sudah berusia ini masih boleh belajar, apa lagi mereka. Tambahan lagi, saya memang daripada dulu minat belajar dan membaca. Memang itu sesuatu yang membuat saya gembira. Ibu bapa saya juga memang tidak pernah menghalang atau berkata anak perempuan tak harus belajar tinggi-tinggi.

Malah, mereka sedia menyokong minat itu."




JUNJUNG AMANAH



"Memang daripada segi tanggungjawab bertambah. Namun, kita perlu ingat siapa kita dan apa tanggungjawab kita. Yang penting, saya berharap dapat menjadi contoh yang baik kepada guru lain juga."




BIODATA



Nama: Ustazah Sukarti Asmoin



Usia: 64 tahun



Pendidikan:



  • 1978: Ijazah sarjana muda dalam bidang sastera dan sains kemasyarakatan dari Universiti Singapura

  • 1986: Ijazah sarjana muda bidang syariah dari Universiti Malaya

  • 2004: Ijazah sarjana bidang pendidikan Universiti Monash

  • Kini: Dalam proses mendapatkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Islam dari Universitas Ibn Khaldun Bogor

Kerjaya:



  • Pengetua Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah (1997-2017)

  • Dekan Jabatan Pendidikan Madrasah Al-Maarif (2018-kini)

Tugas lain:



  • Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas)

  • Anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB)

    Individu yang menjadi rujukan oleh Mahkamah Syariah

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >