Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Contohi sifat Rasulullah pelihara keamanan, kedamaian

Teks Khutbah Jumaat yang disampaikan pada 13 Oktober 2023
Oct 14, 2023 | 05:30 AM



Kita masih berada di bulan Rabiulawal. Saya ingin mengajak para jemaah sekalian untuk sama-sama menghayati bagaimana Baginda Nabi Muhammad saw pada setiap saat dan ketika, menanam asas-asas keamanan serta kedamaian dalam kehidupan umat manusia.


Bahkan, nilai ini merupakan salah satu kunci bagi syurga Allah swt. Perhatikanlah hadis Nabi saw yang berbunyi:


“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan, sambungkanlah silaturahim, solatlah di waktu malam ketika manusia tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.” [Hadis riwayat Imam Tirmizi]

Marilah kita renungkan sejenak konteks sejarah di Kota Madinah ketika hadis tersebut diriwayatkan. Kota Madinah ketika itu dipenuhi dengan konflik serta perbalahan antara puak-puak yang mengakibatkan kekerasan dan pertempuran. 

Namun, Rasulullah saw sebagai pemimpin negara berbilang kaum dan anutan, menghadapi cabaran besar ini dengan berusaha untuk menyatupadukan penduduk Madinah dan Makkah serta memupuk integrasi dan perdamaian yang berkekalan.


Kita tentunya ingin memahami dan mencontohi bagaimana Nabi saw menguruskan perbezaan dan konflik ini? Apakah pendekatan yang diambil Baginda?


Jawapannya terletak dalam bahagian pertama hadis yang disebutkan sebelum ini. Bahagian yang menekankan kepentingan menyebarkan kedamaian. Ia merupakan satu pengajaran penting yang berkait secara langsung dengan cara kita menangani perbezaan sama ada dalam masyarakat kita sendiri mahupun dalam menanggap konflik di luar sana.

Renungkanlah maksud ‘Afshu al-Salam’, iaitu perintah agar kita menyebarkan kedamaian dengan seluas-luasnya dan sebanyak mungkin kepada umat manusia.


Bahkan, ketika berada di kemuncak perbalahan ataupun peperangan, Al-Quran mengajar kita untuk berdamai apabila perdamaian ditawarkan. Firman Allah swt dalam surah al-Anfal ayat 61:


“Apabila mereka cenderung untuk berdamai, maka cenderunglah kepadanya, dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Allah swt berfirman dalam Al-Quran: “Para hamba Rahman (iaitu Allah swt) adalah mereka yang berjalan di muka bumi ini dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil memperolok-olok mereka, mereka hanya menjawab dengan kata-kata damai.” [Al-Furqan: 63]


Ayat ini menggambarkan sikap mulia para hamba Allah swt yang sejati, yang membalas kejahilan dengan kedamaian dan kebaikan. Ketahuilah bahawa lafaz ‘Salam’ memiliki makna yang lebih mendalam daripada sekadar salam-salaman.


Ia mencerminkan kebaikan dalam setiap tingkah laku kita, ucapan kita, reaksi kita terhadap kejadian di sekeliling kita. Terutamanya apabila perbuatan tersebut mencabar nilai-nilai agama serta prinsip kita.

Atas dasar ini juga, kita mengamalkan agama serta mencorak kehidupan masyarakat Islam kita yang cinta pada kedamaian dan benar-benar menghargai nikmat ini. 

Oleh itu, apabila kita mendengar kesakitan ataupun penderitaan oleh sebahagian negara yang mengalami bencana alam seperti banjir terkini di Libya, gempa bumi di Afghanistan, ataupun mangsa konflik dan peperangan di Palestin, pastinya jiwa yang dididik atas nilai hormat dan kasih sayang akan berasa gelisah, sedih bahkan marah juga. 

Apatah lagi apabila menyaksikan mereka yang tidak berdosa terkorban, melihat anak-anak menjadi yatim dengan sekelip mata. Rumah-rumah hancur musnah dalam sekelip mata. Tragedi yang kita saksikan terutamanya yang disebabkan oleh tindakan manusia, tidak hanya memberi kesan kepada umat Islam. Akan tetapi ia memberi kesan kepada seluruh umat manusia.

Inilah yang sekarang kita saksikan dalam konflik di negara Palestin. Ia merupakan perkara yang sangat penting dan mendesak. Ini bukan hanya menjejaskan pengikut-pengikut Islam, malah seluruh umat manusia.

Segala bentuk keganasan dan kezaliman tidak kira siapa pencetusnya, apabila bertembung dengan nilai serta identiti kita, ia bercanggah dengan ajaran serta panduan agama.

Oleh itu, pada saat yang sangat sukar ini, kita seharusnya berusaha untuk membersihkan hati kita dengan mengisi jiwa kita dengan sifat belas kasihan dan rahmat serta menyingkirkan segala bentuk kebencian dan permusuhan terhadap orang lain.

Kerana itu, sekarang ini, kita perlu memperbanyakkan doa kepada Allah swt agar mengembalikan keamanan dan melenyapkan segala kekejaman dan kezaliman.


Marilah sama-sama kita mengangkat tangan dan merendahkan hati kita untuk memohon dan berdoa agar Allah swt mengembalikan ketenangan, kedamaian serta keamanan kepada dunia ini.


Kami berdoa kepada Allah swt terutamanya bagi mereka yang telah kehilangan nyawa dan menjadi mangsa tragedi ini.


Semoga Allah swt memberikan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga dan masyarakat mereka untuk mengatasi cabaran ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >