Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Courts Charity Home' derma barang rumah berjumlah $15,000

Feb 02, 2019 | 05:30 AM



SEKADAR membeli kuali atau pinggan untuk kegunaan harian mungkin bukan satu bebanan dari segi kewangan buat ramai orang.



Namun bagi Cik Saheya Haji Draman, 81 tahun, kehidupannya dibelenggu kesempitan wang.



Di samping itu, beliau perlu menjaga anak lelakinya berumur 54 tahun yang menghidapi penyakit gaut.



Justeru, ia seolah-olah impiannya menjadi kenyataan apabila barangan keperluan rumah - konsol TV, set pinggan jenama Corelle dan kuali jenama Tefal - tiba di pintu rumahnya kelmarin, diiringi senyuman riang yang dibawa para relawan yang juga merupakan kakitangan syarikat Courts Singapore.



"Saya sangat gembira, saya tak pernah ada ramai tetamu macam ini. Inilah pertama kali sejak saya mula tinggal di sini tujuh tahun lalu," katanya yang tidak boleh menahan senyuman lebar tatkala ditemui Berita Harian (BH).



Cik Saheya merupakan antara 22 penerima bantuan yang tinggal di rumah sewa di estet perumahan Macpherson yang mendapat perabot rumah dan alat elektrik secara percuma daripada Courts Singapore sempena Tahun Baru Cina tahun ini.



Dinamakan Courts Charity Home, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) baru ini dilakukan sempena kerjasama setahun bersama Persatuan Perkhidmatan Jagaan Masyarakat (CCSS) yang dilancarkan kelmarin.



Program ini telah memanfaatkan warga emas dan individu berpendapatan rendah, yang kebanyakannya tinggal bersendirian.



Produk baru yang didermakan termasuk sofa, kipas, katil mahupun televisyen bernilai $15,000 secara keseluruhan.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Courts Singapore, Encik Ben Tan, berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-45 Courts di Singapura dan mereka ingin menghulurkan bantuan sebaik mungkin, justeru ini dilakukan melalui program Courts Charity Home ini.



"Kami berharap usaha ini dapat dipertingkat sebagai tunggak yang akan membawa perbezaan dalam memenuhi keperluan sambil melibatkan staf kami dalam usaha seluruh syarikat bagi melakukan kebaikan," ujarnya.



Pengarah Eksekutif CCSS, Encik Dewin Lee, pula berkata pelancaran program tersebut tepat pada waktunya.



"Waktu perayaan boleh menjadi waktu di mana ramai penerima bantuan yang merupakan warga emas rasa sunyi kerana tinggal seorangan dalam estet perumahan sewa. Ini membawa kegembiraan dan menjadi teman buat warga emas apabila menerima tetamu yang ke rumah mereka," ujarnya.



Bagi Cik Saheya yang sudah 17 tahun menggunakan kuali yang sama, dan gemar memasak untuk anak-anaknya apabila mereka melawatnya, pemberian ini sungguh bermakna.



Ibu enam anak itu berkata beliau tidak sabar mahu memasak di kuali baru dan menghidang makanannya di pinggan baru.



Kelmarin, di samping menghantar barang keperluan rumah dan mengemas rumah-rumah sewa yang terpilih, para relawan Courts Charity Home turut mengajak warga emas yang menerima bantuan ke makan malam bufet Tahun Baru Cina di Pusat Kegiatan Warga Emas CCSS yang terletak di Circuit Road.



Sewaktu acara itu, mereka turut meluangkan masa dengan kegiatan seperti menyanyi dan bermain bingo bersama.



Penerima bantuan itu turut mendapat beg cenderahati daripada Courts termasuk buah oren, beg beli-belah dan botol air.



"Waktu perayaan boleh menjadi waktu di mana ramai penerima bantuan yang merupakan warga emas rasa sunyi kerana tinggal seorangan dalam estet perumahan sewa. Ini membawa kegembiraan dan menjadi teman buat warga emas apabila menerima tetamu yang ke rumah mereka."
- Pengarah Eksekutif CCSS, Encik Dewin Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >