SEBUAH kelompok jangkitan Covid-19 telah terbentuk di Hospital Besar Changi (CGH), dedah Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa malam (3 Ogos).
Keseluruhannya, terdapat sejumlah tiga kes yang berkaitan dengan kelompok ini, dengan dua kes baru dikesan pada Selasa.
Dalam pada itu, MOH juga menjelaskan terdapat satu lagi kelompok baru yang mempunyai enam kes dikaitkan dengan firma binaan Kian Hiap Construction.
Dua kelompok baru ini antara lapan kelompok baru yang diumumkan pada Selasa. Kesemuanya berkait dengan kes sebelum ini.
Jumlah kelompok aktif di Singapura kini mencecah 100 dengan setiap satu mempunyai antara tiga hingga 1,097 kes jangkitan.
Secara keseluruhannya, terdapat 98 kes jangkitan Covid-19 baru dalam kalangan masyarakat dilaporkan pada Selasa, termasuk 22 kes yang berkaitan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong.
Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan dalam kelompok terbuka terbesar itu kini mencecah 1,097 kes.
Dalam kalangan kes masyarakat, 21 daripadanya dikaitkan dengan kes sebelum ini dan dikenal pasti menerusi pemantauan manakala 31 kes pula tiada kaitan.
Baki 46 kes pula dikaitkan dengan kes sebelum ini dan telah dikuarantin.
MOH berkata terdapat empat kes import yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura.
Jumlah kes di Singapura sejak pandemik bermula tahun lalu adalah 65,315 kes.