Covid-19: Pemerintah umum bantuan tambahan bagi sektor hartanah
PEMERINTAH telah mengumumkan langkah bantuan sementara tambahan pada Khamis (8 Oktober) bagi pemaju hartanah yang tempoh projek pembinaan mereka terjejas ekoran pandemik Covid-19.
Ini diumumkan dalam satu kenyataan bersama Kementerian Undang-Undang (MinLaw), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Langkah bantuan tambahan itu yang berkuatkuasa serta merta adalah:
- Lanjutan bagi tempoh persiapan projek (PCP) selama lagi enam bulan untuk projek pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian;
- Lanjutan lagi enam bulan untuk menyiapkan projek pembangunan kediaman berkaitan dengan pelepasan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) untuk pemaju perumahan;
- Dan lanjutan PCP sehingga enam bulan untuk projek pembangunan kediaman di bawah rejim Sijil Kelayakan (QC) untuk pemaju perumahan asing.
Langkah berkenaan merupakan langkah tambahan kepada langkah-langkah yang dilancarkan pada 6 Mei lalu.
Ia tidak mempengaruhi langkah penyejukan pasaran hartanah kediaman sedia ada bagi memastikan harga hartanah kediaman privet selaras dengan asas-asas ekonomi, tambah kenyataan itu.