Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Covid-19 uji pemerintah, letakkan asas untuk pemimpin generasi akan datang: PM Lee

Apr 13, 2022 | 05:30 AM



KRISIS Covid-19 merupakan ujian hebat bagi pemerintah, dan antara lain menunjukkan betapa pentingnya kesediaan mengambil keputusan sukar, khususnya dalam ketidakpastian, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Semasa pandemik itu, kepimpinan politik dan kepimpinan perkhidmatan awam juga telah memperkukuh kepercayaan antara mereka, sekali gus meletakkan asas bagi pembaharuan kepimpinan.



Encik Lee berkata demikian semasa berucap di upacara pelantikan dan kenaikan pangkat perkhidmatan pentadbiran di Marina Bay Sands semalam.



Merenung pengalaman Singapura menangani Covid-19 sepanjang dua tahun lalu, Encik Lee berkata pemerintah terpaksa membuat banyak keputusan sukar, berdasarkan apa yang difikir terbaik dengan maklumat yang ada pada waktu itu.



"Tidak semua keputusan kami adalah betul. Kami berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang dua tahun lalu.



"Tetapi yang penting kami harus terus belajar dan memperbaiki; dan sedang kita mendapat lebih banyak maklumat, kami harus bersedia untuk mengemas kini, menyemak atau bahkan menarik balik keputusan yang dibuat," ujar Encik Lee.



Encik Lee memberi contoh di permulaan pandemik apabila tidak ada banyak maklumat tentang Covid-19, pemerintah perlu membuat keputusan sama ada untuk membiarkan pandemik menular agar penduduk mencapai imuniti kelompok, atau melaksanakan sekatan demi memastikan bilangan kes rendah.



"Kami memutuskan dari awal lagi kami tidak akan menggadaikan nyawa manusia," ujar Encik Lee.



Oleh itu, pemerintah menutup sempadan, melaksanakan sekatan yang tegas, dan mengenakan tempoh sekatan pemutus litar.



Namun, setahun kemudian apabila Delta yang lebih mudah dijangkiti mula timbul dan strategi 'Sifar Covid' kian sukar dilaksana, pemerintah perlu beralih strategi dan secara beransur melonggarkan sekatan.



Waktu itu, pemerintah perlu menimbangkan risiko kepada warga emas yang belum divaksinasi, mengubah persepsi orang ramai yang sudah biasa dengan jangkitan rendah, serta melaksanakan pemulihan di rumah.



Di samping itu, krisis Covid-19 menekankan pentingnya pemerintah berupaya melihat menjangkau masalah yang dihadapi pada waktu itu, untuk menjangkakan masalah akan datang dan merancang awal, kata Encik Lee.



Antaranya, pemerintah perlu memastikan terdapat bekalan kit ujian, peralatan, serta kapasiti penjagaan kesihatan mencukupi untuk mengatasi jumlah kes yang besar.



Pemerintah juga telah bertindak pantas untuk menjamin bekalan vaksin dari awal lagi, meskipun ini bermakna mengambil risiko bagi calon vaksin, dan perlu membayar harga yang tinggi baginya, kata Encik Lee.



Selain itu, Covid-19 menunjukkan pentingnya dasar dilaksanakan dengan yang baik.



Contohnya, program vaksinasi bukan sahaja mengenai usaha meletakkan sasaran, bahkan mendekati orang awam dan meyakinkan mereka untuk mendapatkannya, serta mengatur logistik sebaiknya untuk menyampaikan vaksin itu kepada orang ramai.



KEPERCAYAAN DALAM PEMERINTAH, SERTA KERJASAMA ANTARA PEMIMPIN DAN PERKHIDMATAN AWAM



Satu lagi aspek penting dalam menangani krisis itu ialah kepercayaan dalam pemerintah - kepercayaan bahawa pemerintah melindungi kepentingan negara dan rakyat, serta mengambil keputusan terbaik bagi pihak rakyat, kata Encik Lee.



"Kepercayaan ini amat berharga. Untuk terus memupuk kepercayaan ini, kita harus mempunyai Perkhidmatan Awam hebat, dengan pegawai berkebolehan dan komited; mempunyai etos nilai yang betul, berdedikasi untuk berkhidmat kepada warga Singapura secara bertanggungjawab dan jujur, sedaya upaya mereka.



"Bagi Perkhidmatan Awam untuk melakukan tugasnya, ia juga harus bekerjasama amat rapat dengan kepimpinan politik," ujar Encik Lee.



Ini bermakna bahawa Menteri harus memastikan 'politiknya betul', memahami isu penting dan mengenal pasti keutamaan, serta melakar hala tuju dan strategi negara.



Penting juga bagi kepimpinan politik untuk memberi sokongan politik kepada pegawai perkhidmatan awam, agar pegawai ini boleh memberi tumpuan kepada tugas mereka "dan tidak terganggu atau ditakutkan dengan teatrik politik" atau kritikan yang berlebih-lebihan.



Pada masa yang sama, pemimpin dalam Perkhidmatan Awam harus memahami konteks politik, serta mengubah strategi menjadi dasar yang boleh dilaksana.



"Kepimpinan politik dan perkhidmatan awam mesti saling melengkapi dan menyokong, dan mempercayai satu sama lain untuk memainkan peranan masing-masing, dan kerjasama ini penting.



"Sedang kededua kepimpinan politik dan kepimpinan perkhidmatan awam memperbaharui diri mereka, kita juga harus memperbaharui kepercayaan yang wujud antara generasi Menteri sekarang dan pegawai perkhidmatan awam kanan, dan melanjutkannya kepada generasi seterusnya," ujar Encik Lee.



Ini berlaku semasa Covid-19 apabila seluruh pasukan 4G terlibat, bekerjasama dengan Setiausaha Tetap dan pasukan pengurusan mereka.



"Semasa krisis itu, mereka memperkukuh hubungan dan memperdalam kefahaman dan kepercayaan. Ini meletakkan asas bagi generasi pemimpin seterusnya - kededua Menteri dan Perkhidmatan Awam.



"Ini kerana apabila tiba giliran mereka untuk menggalas tanggungjawab memimpin negara, kededuanya perlu terus kerjasama rapat, dan memberi hasil sama yang warga Singapura jangkakan dan sudah biasanya dengannya," kata Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >