Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belanjawan 2022: MAJUKAN PERALIHAN NEGARA HIJAU

Cukai karbon naik $50-$80 setiap tan jelang 2030

Kenaikan dilakukan secara berperingkat, bantu capai matlamat iklim baru
Feb 19, 2022 | 05:30 AM



KADAR cukai karbon di Singapura akan dinaikkan daripada kadar sekarang $5 setiap tan pelepasan kepada antara $50 dengan $80 menjelang 2030 - satu langkah yang akan membantu negara mencapai matlamat iklim yang baru dan lebih bercita-cita tinggi.



Matlamatnya adalah bagi pelepasan gas rumah hijau berkurangan kepada bersih-sifar menjelang atau sekitar pertengahan abad ini, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.



Pada masa itu, negara dijangka dapat mencegah sebanyak mungkin pelepasan gas tersebut yang memanaskan bumi.



Kenaikan cukai karbon akan dilakukan secara berperingkat untuk memberi lebih masa dan kepastian kepada perniagaan, katanya.



Kadar sekarang $5 setiap tan pelepasan akan dikenakan sehingga tahun depan.



Ia akan meningkat kepada $25 pada 2024 dan 2025, dan $45 pada 2026 dan 2027, sebelum mencapai $50 hingga $80 setiap tan menjelang 2030, umum Encik Wong.



"Apabila kami memperkenalkan cukai karbon pada 2019, kami kekalkan cukai awal yang rendah... untuk memberi masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri.



"Untuk bergerak secara tegas bagi mencapai cita-cita bersih-sifar baru kita, kita memerlukan cukai karbon lebih tinggi," jelas Encik Wong.



Namun pemerintah tidak menjangka mendapat hasil tambahan daripada kenaikan cukai karbon dalam dekad ini.



Sebaliknya, ia akan digunakan untuk menyokong usaha penyahkarbonan dan peralihan kepada ekonomi hijau, dan mengurangkan kesan ke atas perniagaan dan isi rumah, kata Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS) dalam satu kenyataan berasingan.



Cukai karbon Singapura dikenakan ke atas semua kemudahan yang menghasilkan 25,000 tan atau lebih pelepasan gas rumah hijau setahun.



Ini meliputi 30 hingga 40 pengeluar besar seperti kilang penapisan minyak dan loji penjanaan kuasa, yang menyumbang 80 peratus pelepasan gas rumah hijau di Singapura.



Gas rumah hijau, termasuk karbon dioksida dan metana, dihasilkan oleh kegiatan manusia seperti pembakaran bahan api fosil.



Apabila mereka terkumpul di atmosfera, mereka memerangkap haba di planet ini, menjejas teruk sistem cuaca bumi dan menyebabkan perubahan iklim.



Hasilnya, peningkatan suhu dan paras laut, dan berlakunya kejadian cuaca lebih ekstrem yang membahayakan nyawa dan mata pencarian.



Cukai karbon adalah satu cara memperuntukkan kos kepada pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan bumi ini.



Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyarankan bahawa menjelang 2030, setiap ekonomi perlu melaksanakan dasar harga karbon berdasarkan sistem berperingkat, untuk mengurangkan pelepasan yang cukup bagi membataskan pemanasan global di bawah 2 darjah Celsius - tahap untuk mengelak perubahan iklim yang bahaya serta digariskan dalam Perjanjian Paris, satu perjanjian iklim dunia.



Berdasarkan saranan IMF, paras harga dasar pada 2030 hendaklah AS$75 (S$100) setiap tan pelepasan bagi ekonomi maju; AS$50 bagi ekonomi pesat membangun berpendapatan tinggi seperti China; dan AS$25 bagi pasaran pesat membangun berpendapatan rendah seperti India.



Skim cukai karbon Singapura kali pertama diumumkan pada 2018. Pemerintah kemudian menyatakan kadar awal ialah $5 setiap tan pelepasan gas rumah hijau dari 2019 hingga 2023.



Ia juga menyatakan kadar itu akan dikaji semula menjelang 2023, dan terdapat rancangan meningkatkannya kepada antara $10 dengan $15 menjelang 2030.



Namun dengan Singapura meningkatkan sasaran iklimnya, kadar cukai karbon lebih tinggi diperlukan untuk menghantar isyarat kepada pengeluar besar untuk mengambil tindakan lebih tegas dalam mengurangkan pelepasan mereka, kata Encik Wong.




CUKAI KARBON



  • Kadar cukai karbon sekarang hingga 2023 dikenakan $5 setiap tan pelepasan.

  • Dinaikkan kepada $25 pada 2024 dan 2025, dan kepada $45 pada 2026 dan 2027.

  • Mencapai $50 hingga $80 setiap tan menjelang 2030.

  • Cukai karbon Singapura dikenakan ke atas semua kemudahan yang menghasilkan 25,000 tan atau lebih pelepasan gas rumah hijau setahun.

  • Skim cukai karbon Singapura kali pertama diumumkan pada 2018. Pemerintah pada masa itu menyatakan kadar awal ialah $5 setiap tan pelepasan gas rumah hijau dari 2019 hingga 2023.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >