Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dana tambahan $66j biaya kajian senggara prasarana kian menua

Aug 02, 2022 | 05:30 AM



LAGI $66 juta akan diperuntuk untuk membiayai penyelidikan mengenai cara menyenggara prasarana yang semakin menua di Singapura, mewujudkan lebih banyak ruang dalam bandar dan membangunkan teknologi bagi perancangan bandar yang berkesan.



Dana tambahan bagi program penyelidikan dan pengembangan 'Cities of Tomorrow' itu diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, semalam di Sidang Puncak Bandar Dunia.



Lebih separuh daripada dana baru itu - atau sekitar $35 juta - akan digunakan untuk meneroka cara mengurangkan kos membina ruang bawah tanah dan laut supaya dapat menggunakan kawasan tanah bagi kegiatan kerja dan riadah.



Sekitar $18 juta akan digunakan untuk membangunkan teknologi yang menggabungkan sains bandar, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi perancangan bandar yang lebih berkesan.



Baki $13 juta akan diperuntuk bagi mempertingkat penyenggaraan prasarana semakin menua Singapura, contohnya dengan menjadikan tugas pemeriksaan bangunan automatik.



Program 'Cities of Tomorrow' itu, yang diterajui Kementerian Pembangunan Negara (MND), bertujuan membangunkan huraian untuk menangani cabaran bandar utama melalui kerjasama dengan institut penyelidikan dan institut pengajian tinggi.



Dana tambahan $66 juta itu, yang akan diagihkan sepanjang lima tahun mendatang, adalah di samping $110 juta yang sebelum ini diperuntukkan kepada program itu pada Mac lalu.



Program itu kali pertama dilancarkan pada 2017 dengan dana $150 juta.



Dalam ucapannya semalam, Encik Lee berkata bandar-bandar perlu mencari huraian kreatif untuk menangani cabaran masa depan, dengan teknologi menjadi pendaya penting.



Beliau memberi contoh ibu kota Jordan, Amman, yang telah mencipta "peta kebolehcapaian" (reachability maps) digital untuk menonjolkan (highlighted) jurang di mana barangan dan perkhidmatan penting seperti makanan dan penjagaan kesihatan tidak dapat sampai pada golongan tertentu.



Peta tersebut membantu bandar itu mempertingkat usaha respon kecemasan dan mengutamakan pelaburan prasarana, kata Encik Lee, sambil menambah bahawa Amman sedang melancarkan platform interaktif yang membolehkan rakyatnya memberi maklumat terkini di mana bantuan diperlukan.



Bandar-bandar juga perlu memanfaatkan kuasa penyertaan rakyat dengan menggunakan kemahiran dan perspektif penduduknya yang pelbagai, kata beliau.



"Kadang kala, kepelbagaian ini boleh membawa kepada pertentangan pendapat atau ketegangan, yang mesti diuruskan dengan teliti. Namun sering kali, kepelbagaian ini juga boleh menjadi kekuatan yang hebat, yang memberikan kita kekayaan idea dan pengalaman untuk dimanfaatkan," kata beliau.



Sementara itu, Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, yang juga memberi ucapan di sidang puncak itu, berkata bandar seperti Singapura harus kekal terbuka kepada pelaburan dan bakat dari seluruh dunia.



Beliau berkata bandar-bandar berkembang maju dengan bersikap terbuka, menarik pekerja berkemahiran, menyatukan mereka untuk mencetuskan idea baru dan memacu kemajuan ekonomi.



Namun, Encik Teo menambah bahawa di seluruh dunia, sikap terbuka juga telah membawa kepada sentimen anti-globalisasi semakin meningkat, populisme dan geram terhadap pendatang baru.



"Ini terutamanya apabila gangguan globalisasi dan kemajuan teknologi dirasai penduduk, manakala hasil globalisasi tidak diagihkan secara saksama," kata beliau.



"Daripada menutup diri kita…bandar-bandar harus terus kekal terbuka kepada pelaburan dan bakat dari seluruh dunia," tambah Encik Teo.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >