Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT RELAWAN

Diiktiraf atas kerja relawan bantu golongan migran

Penduduk Tetap asal Bangladesh sediakan pelbagai program pembangunan, pertingkat kesejahteraan mental demi perkasa rakan pekerja migran lain yang bekerja di sini
Oct 15, 2022 | 05:30 AM



TATKALA tiba di lapangan terbang untuk berangkat ke Singapura pada 2007, Encik Mohamad Nazmul Hoque Khan terlihat seorang wanita yang memegang kotak dan kelihatan seolah-olah hilang dan sedang mencari seseorang.



Encik Nazmul mendekati wanita itu dan bertanya jika beliau memerlukan bantuan.



Rupanya wanita itu sedang mencari seseorang yang akan pergi ke Singapura kerana ingin mengirimkan kotak berisi makanan itu kepada anaknya yang bekerja sebagai pekerja migran di sini.



Encik Nazmul pun menawarkan bantuan dan berjanji akan memberikan kotak makanan itu kepada anak wanita itu.



Memandangkan penerbangan dari Bangladesh itu adalah pada tengah malam dan beliau tiba di Singapura pada awal pagi, Encik Nazmul ambil masa berehat sebelum pergi mencari anak wanita itu yang bertugas di sebuah tapak binaan pada sebelah petang.



Namun apa yang seharusnya menjadi satu kejutan menggembirakan bertukar menjadi sesuatu yang sayu.



"Saya berikan kotak berisi makanan itu dan juga telefon bimbit saya kepada pekerja itu supaya dia dapat hubungi ibunya. Tetapi dari jauh, saya lihat lelaki itu tiba-tiba terduduk dan mula menangis," kata Encik Nazmul.



"Saya diberitahu kemudian bahawa saudaranya telah memberitahu dia bahawa ibunya sudah meninggal dunia," tambahnya.



Kejadian itu meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diri Encik Nazmul dan mendorong beliau untuk mula melakukan kerja sukarelawan demi membantu golongan yang memerlukan pertolongan.



Pada 2018, beliau mengasaskan 24asia - sebuah kumpulan sukarelawan yang membantu memperkasa masyarakat pekerja migran di sini melalui pelbagai program dan kegiatan secara percuma serta mempertingkat kesejahteraan mental mereka.



Sejauh ini, kumpulan itu telah berjaya mendekati sekitar 1,500 pekerja migran menerusi program latihan kemahiran komputer dan peningkatan kerjaya.



Sumbangan beliau itu diiktiraf dalam majlis Anugerah Presiden bagi Sukarelawan dan Dermawan (PVPA) 2022 di Istana baru-baru ini.



Encik Nazmul, seorang penduduk tetap (PR) dari Bangladesh yang bekerja sebagai pengurus akaun teknikal, menerima Anugerah People of Good dalam kategori terbuka.



Anugerah People of Good mengiktiraf individu yang memberi sumbangan luar biasa dan menumpukan masa, bakat, harta dan/atau suara mereka secara sukarela untuk mencipta kesan positif dalam masyarakat.



Sebagai seorang pendatang, Encik Nazmul, 41 tahun, memahami kebimbangan dan kerinduan terhadap tanah air dan keluarga sendiri yang dialami pekerja migran, dan oleh itu, berusaha untuk membantu dari segi kesejahteraan mental.



Terutama semasa pandemik, kumpulan 24asia telah mengadakan sesi kaunseling secara dalam talian sebagai wadah untuk mereka meluahkan keprihatinan dan berkongsi masalah.



Kumpulan itu juga menyediakan hiburan dalam bentuk persembahan langsung yang interaktif melalui wadah Zoom, dengan mengundang selebriti dari Bangladesh misalnya.



Namun pekerja tersebut memberi maklum balas bahawa mereka mahu mempertingkat kemahiran dan waktu pandemik itu merupakan masa terbaik kerana mereka tidak dapat keluar bekerja.



Encik Nazmul menambah bahawa ramai pekerja migran di sini menghadapi cabaran, seperti isu komunikasi yang menyebabkan mereka tidak dapat melahirkan kepada majikan apa yang mereka mahu untuk maju dalam kerjaya, dan kekurangan mentor untuk membimbing mereka.



Justeru, kebanyakan latihan yang disediakan 24asia adalah dalam pembangunan peribadi, kemahiran komunikasi, teknikal dan komputer seperti Microsoft Word dan Excel, rekaan grafik dan kemahiran berpidato.



Malah, sejumlah pekerja itu kemudian dilantik sebagai duta 24asia dan dilatih untuk menjadi jurulatih yang mengajar rakan-rakan mereka lain kemahiran komputer tersebut.



24asia kini mempunyai 22 duta yang terdiri daripada pekerja migran, 152 relawan dan sekitar 625 pelajar yang menyertai program latihan mereka.



Encik Nazmul melahirkan penghargaannya atas Anugerah People of Good yang diterimanya itu sambil menambah bahawa setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk mengambil berat dan menjaga masyarakat.



"Kita semua mempunyai keluarga besar dalam masyarakat, dan jika setiap daripada kita mengambil langkah kecil, saya fikir ia akan banyak membantu. Satu titisan air mungkin tiada kesannya, namun jutaan titisan air boleh menjadi satu lautan yang besar," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >