Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Doktor tak tandus idea bagi penyelesaian inovatif bantu pesakit

Jun 03, 2022 | 05:30 AM



KESIBUKANNYA sebagai doktor-saintis tidak pernah menghalang Dr Hairil Rizal Abdullah daripada terus menimba ilmu dunia perubatan yang luas lagi mendalam.



Lepas satu, satu kelayakan yang diterimanya.



Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (M.B.B.S) dari Universiti Malaya pada 2004, beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Perubatan (Anestesiologi) dari Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2010, mendapat diploma dalam Pengurusan dan Kepimpinan Penjagaan Kesihatan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 2016, dan menggenggam Sarjana Sains dalam Perubatan Perioperatif dari University College London (UCL) pada 2020.



Yang terkini, Dr Hairil, 41 tahun, sedang dalam proses menamatkan pengajian PhD dalam Sains Klinikal dan Alihan di Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura.



Perunding Kanan, Jabatan Anestesiologi di Hospital Besar Singapura (SGH) itu merupakan antara tiga individu cemerlang yang menerima Anugerah Biasiswa Lee Kuan Yew 2022, semalam.



Dua penerima lain ialah warga Singapura, Dr M Premikha, yang merupakan seorang doktor perubatan, dan pegawai perkhidmatan awam, Encik Matthew Lee Mun Hong.



Anugerah tersebut yang dibiayai secara terbuka menyokong pengajian pasca sarjana muda dan diberikan kepada individu yang menunjukkan komitmen untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya.



Dalam wawancaranya dengan Berita Harian (BH), Dr Hairil berkata, beliau percaya akan manfaat pembelajaran sepanjang hayat demi kehidupan yang lebih memuaskan.



"Mempelajari perkara baru akan membuka minda kita dan memberikan kebijaksanaan yang boleh membantu kita memartabatkan masyarakat di mana kita tinggal, serta menjadikan dunia tempat yang lebih baik melalui penyelesaian yang inovatif," katanya.



Bahkan, beliau sendiri seakan tidak ketandusan idea bagi penyelesaian inovatif untuk menangani masalah yang dihadapi pesakit dan kakitangan perubatan.



Pada 2014, Dr Hairil menubuhkan Pusat Penilaian Praoperasi sehenti di SGH untuk menyatukan berbilang perkhidmatan tambah nilai dalam satu tempat.



Ini membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pesakit yang sebaliknya perlu melawat beberapa tempat pada tarikh yang berbeza untuk mendapatkan rawatan.



Beliau kemudian memperkenal program Prepare di pusat itu yang bertujuan meningkatkan hasil pembedahan bagi pesakit tua.



"Tidak banyak sistem penjagaan kesihatan berjaya mewujudkan program sehenti seperti Prepare di mana doktor, ahli fisioterapi, jururawat dan pakar diet bekerjasama dalam persekitaran yang sama untuk semua pesakit," katanya.



Program tersebut berjaya mengurangkan tempoh penetapan hospital dalam kalangan pesakit tua yang melalui pembedahan perut utama pada 2019 sebanyak dua hingga tiga hari, meningkatkan kadar pesakit tanpa komplikasi pasca pembedahan sebanyak 24 peratus dan mengurangkan bil hospital pesakit sehingga 21 peratus.



Baru-baru ini, pada awal pandemik Covid-19, Dr Hairil mengetuai sepasukan doktor untuk berinovasi penyelesaian teknologi perubatan.



Mereka membangunkan SG-Safe pada Mac 2020, reruai yang membolehkan pekerja penjagaan kesihatan melakukan ujian swab berisiko tinggi dengan lebih selamat dan mudah.



Pada Ogos tahun itu pula, mereka membangunkan SG-SPARC, sistem anteroom tekanan negatif mudah alih yang kompleks untuk menukar bilik hospital biasa kepada bilik pengasingan.



Sistem tersebut mendapat perhatian negara lain di rantau ini seperti Indonesia dan Malaysia.



"Inovasi-inovasi ini diilhamkan daripada keperluan sebenar di tengah-tengah pandemik.



"Kepantasan kami membawa inovasi ini daripada tahap idea kepada pengeluaran amat cepat tanpa menjejas kualiti dan keselamatan, dan ini dapat dicapai kerana kami mempunyai kerjasama yang amat rapat antara kedua-dua pasukan klinikal dan kejuruteraan.



"Kami bekerja keras, kadangkala hingga larut malam, walaupun selepas hari yang melelahkan di tempat kerja dengan tanggungjawab klinikal.



"Namun, hasilnya amat berbaloi dan kami sangat bangga dengan apa yang telah dicapai," ulas Dr Hairil, yang berpindah dari Malaysia ke Singapura pada 2008 dan mendapat kerakyatan negara ini pada 2018.



Menyentuh Anugerah Biasiswa Lee Kuan Yew yang diterimanya, Dr Hairil berkata, beliau merasa rendah hati menerimanya.



"Ia menandakan pengiktirafan dan penghargaan atas sumbangan saya tetapi yang lebih penting, kepercayaan bahawa saya boleh melakukan lebih banyak lagi untuk perkhidmatan awam pada masa hadapan.



"Saya berusaha untuk menjadi mentor yang baik kepada pasukan saya dan doktor muda supaya kami dapat bersama-sama memberikan yang terbaik kepada pesakit kami dan cuba melakukan lebih bagi penjagaan kesihatan awam di Singapura," ujar beliau.




PENERIMA ANUGERAH BIASISWA LEE KUAN YEW 2022



Encik Matthew Lee Mun Hong



- Usia: 32 tahun

- Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi dari Universiti Pennsylvania; Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Princeton;

- Kini lanjutkan pengajian Sarjana Sains dalam Pengurusan di Universiti Stanford, AS.



Dr Hairil Rizal Abdullah



- Usia: 41 tahun

- Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (M.B.B.S) dari Universiti Malaya; Sarjana Perubatan (Anestesiologi) dari NUS; Diploma dalam Pengurusan dan Kepimpinan Penjagaan Kesihatan dari SMU; Sarjana Sains dalam Perubatan Perioperatif dari UCL;

- Kini lanjutkan pengajian PhD dalam Sains Klinikal dan Alihan di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Singapura.



Dr M Premikha



- Usia: 26 tahun

- Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (M.B.B.S) dari NUS;

- Kini lanjutkan pengajian Sarjana Kesihatan Awam di Universiti Johns Hopkins, AS.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >