TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berharap Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) akan terus bekerjasama dengan pemerintah untuk menyokong masyarakat perniagaan Melayu/Islam.
“Kamu telah menyumbang banyak kepada kejayaan masyarakat dalam tahun-tahun kebelakangan, dan saya berharap untuk mengukuhkan kerjasama kita pada tahun-tahun akan datang,” kata Encik Wong dalam ucapannya di Jamuan Malam Gala dan Malam Anugerah DPPMS, yang berlangsung awal malam ini (21 Okt).
“Bak kata pepatah Melayu, bersatu teguh, bercerai roboh. Saya yakin bahawa selagi kita kekal bersatu, seperti yang kita lakukan, kita boleh mengatasi sebarang cabaran yang mendatang, dan muncul lebih kuat bersama-sama,” tambahnya.
Kejayaan masyarakat perniagaan Melayu/Islam Singapura kekal berdaya tahan dan menyesuaikan diri dalam mengharungi tempoh mencabar pandemik Covid-19 diraikan di majlis tersebut yang turut menyaksikan penyampaian enam kategori anugerah kepada peniaga cemerlang.
Majlis itu kali terakhir dianjurkan pada 2016 dan adalah peluang pertama bagi Encik Wong mendampingi masyarakat perniagaan Melayu/Islam dan pihak berkepentingannya sejak bergelar timbalan perdana menteri.
Encik Wong berkata pemerintah akan melakukan lebih banyak untuk membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) mengharungi cabaran ekonomi dan memanfaatkan sepenuhnya peluang di sekeliling mereka.
Mengenai isu tenaga manusia, beliau berkata pemerintah akan membantu syarikat mengautomasikan proses mereka dan menjadi lebih produktif, serta menawarkan skim geran untuk membantu SME mengguna pakai pelbagai huraian produktiviti.
Pilih perkataan yang betul
1/3
< Kuiz sebelumnya
< Kuiz sebelumnya
27
0
DPM Wong harap DPPMS terus kerjasama dengan pemerintah, sokong masyarakat perniagaan Melayu/Islam
Oct 21, 2022 | 10:13 PM