Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong: Pemerintah PAP tidak akan sembunyi sebarang perkara walau memalukan, rosak reputasi

PM Lee ‘komited sepenuhnya’ pelihara kepercayaan warga S’pura terhadap pemerintah, sentiasa tegakkan sistem bersih dan tidak terlibat dalam rasuah
Jul 12, 2023 | 06:34 PM



Pemerintah tidak akan menyembunyikan apa-apa perkara, meskipun perkara tersebut berpotensi memalukan atau merosakkan reputasinya, tegas Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berkata demikian semasa menemui media pada Rabu, Encik Wong menekankan bahawa beliau dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, komited untuk memastikan pemerintah dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal mempunyai kepercayaan rakyat.

Beliau berkata demikian menyusuli kenyataan yang dikeluarkan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Rabu yang mendedahkan bahawa Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, sedang membantu dalam siasatan satu kes yang sedang disiasat biro itu.

Dalam pada itu, Encik Wong juga mendedahkan bahawa CPIB sedang menjalankan satu siasatan lain yang tiada kaitan dengan siasatan melibatkan Encik Iswaran, sebelum ia memutuskan untuk menemu bual beliau sebagai sebahagian daripada satu siasatan lanjut.

Encik Wong berkata siasatan awal yang tidak berkaitan itu dimaklumkan kepada Encik Lee pada Mei 2023.

Encik Wong juga telah diberitahu tentang siasatan tersebut.

“CPIB mengambil sedikit waktu untuk mendalami perkara tersebut dan mereka memberi kemas kini penemuan mereka kepada Perdana Menteri minggu lalu pada 5 Julai dan pada masa itu, mereka berkata mereka perlu menemu bual Menteri Iswaran sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut.

“Dalam masa sehari, Perdana Menteri memberikan persetujuannya kepada pengarah CPIB untuk membuka siasatan rasmi dan itu bermula semalam (11 Julai),” ujar Encik Wong.

Ini menunjukkan betapa sistem Singapura berfungsi, termasuk dengan adanya sistem pemerintah yang bersih dan tidak terlibat dalam rasuah, tambah beliau.

“Saya tahu warga Singapura prihatin dan mempunyai banyak soalan tentang kes ini.

“Saya tidak dapat memberikan lebih banyak maklumat... kerana siasatan CPIB sedang berjalan, jadi saya minta semua orang supaya kita membolehkan siasatan itu berjalan dan mengelak daripada sebarang spekulasi lanjut pada masa ini,” kata Encik Wong.

Dalam pertemuannya bersama media di bangunan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) yang berlangsung sekitar lima minit itu, Encik Wong berkata Encik Lee dan beliau “komited sepenuhnya” untuk memelihara kepercayaan warga Singapura terhadap pemerintah PAP.

“Kami sentiasa menegakkan sistem pemerintah yang bersih dan tidak terlibat dalam rasuah dan rekod prestasi kami mengenai perkara ini selama beberapa dekad adalah jelas dan nyata kepada semua.

“Dan inilah asas kepercayaan warga Singapura terhadap pemerintah PAP. Perdana Menteri dan saya komited sepenuhnya untuk menjaga dan memelihara amanah ini.

“Oleh itu, kami akan mengekalkan pendirian tegas dan tidak bertolak ansur terhadap rasuah. Kami akan terus menegakkan standard ketat kejujuran, kewibawaan dan kebenaran yang dijangka oleh warga Singapura daripada pemimpin politik mereka.”

Encik Wong juga berkata pemerintah PAP tidak akan teragak-agak untuk menyiasat sebarang perkara yang perlu disiasat, berterus terang mengenai keputusan siasatan dan tidak menyembunyikan sebarang perkara meskipun ia mungkin memalukan atau merosakkan reputasi pemerintah.

“Inilah cara pemerintah PAP dan ia akan terus kekal sebagai cara kami beroperasi,” tegas beliau.

Ditanya mengapa Encik Lee meminta Encik Iswaran mengambil cuti – berbeza daripada ketika Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, disiasat CPIB bagi kes sewa banglo Ridout Road – Encik Wong berkata dua kes itu sangat berlainan.

Sementara kes Ridout Road berpunca daripada dakwaan dalam talian oleh orang awam yang kemudian mendorong Encik Lee memerintahkan CPIB menjalankan siasatan, kes Encik Iswaran “didorong sepenuhnya oleh CPIB dari awal, tanpa aduan awam”.

“CPIB yang membongkar hal ini melalui dapatan dan siasatan awal mereka dan mereka yang berasa ada keperluan menemu bual Menteri Iswaran sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut.

“Mereka (CPIB) kemudian mengemukakan perkara ini kepada Perdana Menteri... dan Perdana Menteri menyuruh Encik Iswaran mengambil cuti,” jelas Encik Wong.

Semasa ketiadaan Encik Iswaran, Menteri Negara Kanan, Encik Chee Hong Tat, akan menjadi Pemangku Menteri Pengangkutan, sementara tugas dan tanggungjawab Encik Iswaran sebagai Anggota Parlimen (AP) akan diambil alih oleh AP GRC West Coast yang lain.

Encik Wong juga berkata CPIB perlu diberi tempoh sepanjang mana ia perlu untuk melakukan siasatan penuh, bebas dan teliti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >