Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dua wanita diberi amaran polis kerana buat kenyataan berapi, pencerobohan jenayah

Jul 07, 2018 | 05:30 AM



UMAT Islam diingatkan untuk menghormati peraturan apabila memilih tempat untuk mengerjakan solat di luar, apatah lagi jika terdapat tempat lebih sesuai yang sudah disediakan.



Ini dinyatakan beberapa asatizah yang dihubungi Berita Harian (BH) ekoran kes melibatkan dua wanita yang bersembahyang di ruang tangga kecemasan.



Dua wanita itu menerima amaran bersyarat bagi tempoh 12 bulan semalam kerana membuat komen mengapi-apikan dalam talian dan melakukan pencerobohan jenayah.



Pada Oktober 2017, polis mula menyiasat kedua-dua wanita berusia 28 tahun itu setelah mereka menerbitkan kata-kata di Facebook yang "menjejas keharmonian kaum dan agama", menurut satu kenyataan polis semalam.



Kedua-dua wanita itu telah bersembahyang di ruang tangga kecemasan di sebuah pusat membeli-belah pada bulan yang sama, dan dinasihatkan oleh kakitangan keselamatan setelah mereka selesai bersembahyang untuk menggunakan bilik sembahyang berdekatan kerana tangga itu tidak harus dihalang demi keselamatan.



Bagaimanapun, kedua-dua wanita kembali bersembahyang di tempat sama pada hari berikutnya.



Apabila anggota keselamatan sekali lagi menasihatkan mereka untuk menggunakan bilik sembahyang yang telah dikhususkan, mereka meminta untuk berjumpa dengan penyelia keselamatan, yang mereka tuduh sebagai bersifat perkauman.



Selepas pertemuan itu, mereka menerbitkan pos di Facebook yang mendakwa bahawa anggota masyarakat sesebuah kaum telah memandang rendah kepada kaum yang lain.



Dalam kenyataan itu, polis berkata bahawa keputusan itu dicapai melalui perundingan dengan Pejabat Peguam Negara, dan bahawa kesalahan itu akan dipertimbangkan semula untuk pendakwaan jika wanita tersebut melakukan kesalahan itu sekali lagi dalam tempoh 12 bulan.



"Tuduhan yang dibuat oleh dua wanita itu adalah serius, tetapi tidak berasas. Tuduhan sedemikian boleh menjejas keharmonian kaum dan agama kita," kata polis.



Meskipun kenyataan polis itu tidak mendedahkan agama dua wanita tersebut, Berita Harian telah mendapatkan pandangan beberapa asatizah berhubung kesesuaian tempat solat bagi orang Islam.



Pendakwah bebas, Ustazah Rohana Ithnin berkata: "Dalam melaksanakan sebarang amalan agama kita perlu menghormati peraturan keselamatan agar dapat melaksanakan ibadah dalam ketenangan dan kemudahan."



Felo Penyelidikan Bersekutu di Pusat Penyelidikan Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Pengganasan, Sekolah Penyelidikan Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Ustaz Mustazah Bahari berkata: "Meskipun tidak dinafikan orang Islam perlu solat pada waktunya dan tempat solat tidak hanya terhad pada musollah atau masjid, perlu diperhatikan kesesuaian tempat itu.



"Tidak wajar kita solat di tempat orang ramai lalu lalang, tempat sesak dengan program tertentu, tempat untuk urusan khas seperti pejabat orang sibuk bekerja, dan lain-lain lagi kerana ia mengganggu orang lain," ujarnya.



Ustazah Kalthom Isa pula berkata: "Nasihat dan teguran daripada mereka yang bertugas di satu tempat harus kita ikuti kerana mereka lebih arif dan akan dipertanggungjawabkan atas keselamatan kita dan bangunan tersebut.



"Menegakkan benang yang basah dan mengapi-apikan sensitiviti masyarakat menerusi media sosial adalah tidak wajar malah boleh menimbulkan banyak dosa dan persangkaan buruk daripada mereka yang tidak melihat sendiri apa yang berlaku," ujar Ustazah Kalthom.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >