Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Enggan lepas peluang apabila ditawar belajar hingga dapat ijazah

Aug 16, 2021 | 05:30 AM



Institut Teknologi Singapura (SIT) kini menawarkan laluan alternatif yang membolehkan pelajar dewasa memperoleh kredit untuk memenuhi syarat ijazah berdasarkan kecekapan yang telah mereka perolehi melalui pengalaman kerja sebelumnya. SIT akan merintis laluan pembelajaran itu dalam dua sektor - keselamatan siber dan pengangkutan - yang akan bermula bulan depan. Antara rakan kerja dalam sektor itu yang telah setuju untuk bekerjasama dengan SIT bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja di sini ialah SBS Transit dan Ensign Infosecurity. BERITA HARIAN menemu bual dua pelajar dewasa yang telah turut serta dalam program ini. Ikuti laporan berikut.



PENOLONG Kanan Jurutera SBS Transit, Encik Ahmad Syahir Abdul Rasid, tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan ijazah sarjana muda ketika ditawarkan oleh syarikatnya.



Tugasnya di syarikat itu adalah untuk mengawasi sistem hawa dingin dan udara di perkhidmatan Laluan Timur Laut (NEL) antara stesen Punggol dengan Harbourfront.



"Apabila saya mendapat tahu tentang peluang pembelajaran ini, saya tidak mahu melepaskannya. Saya mahu ambil peluang baik itu.



"Ini juga adalah peluang keemasan untuk saya lakukan lebih baik dari segi akademik berbanding ketika di politeknik," ujar bapa seorang cahaya mata berusia lapan bulan itu.



Encik Ahmad Syahir, 30 tahun, turut mengongsi bahawa ketika mengambil diploma Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dulu, dia tidak mendapat keputusan yang baik.



Selain itu, dia berkata peluang pembelajaran ijazah sarjana itu digalakkan bapanya kerana bapanya teringin anak-anaknya belajar hingga peringkat universiti.



"Ketika memberitahu keluarga saya akan peluang ini, mereka, lebih-lebih lagi bapa saya, sangat menyokong keputusan saya untuk kembali belajar.



"Dengan kelulusan ijazah ini, saya adalah orang pertama dalam keluarga untuk meraih ijazah sarjana," cerita abang dua beradik itu.



"Isteri saya, seorang suri rumah sepenuh masa, turut memahami bahawa dengan bersekolah kembali, saya akan bertambah sibuk kerana bekerja sepenuh masa sambil belajar.



"Bagaimanapun, dia menyokong pilihan saya dan sentiasa mendorong dan memberikan kata-kata perangsang," tambahnya.



Walaupun ghairah untuk mula kembali ke sekolah, Encik Ahmad Syahir meluahkan antara cabaran yang dia jangkakan.



"Sudah tentu saya harus menguruskan masa untuk memastikan masa bekerja, belajar dan keluarga seimbang.



"Antara lain, saya juga harus bersiap sedia secara mental untuk keluar dari zon keselesaan saya selama ini," katanya.



Kursusnya itu akan mengambil masa sekitar empat tahun.



"Saya tidak mahu mensia-siakan usia ini. Jika saya tidak mula dari sekarang, bila lagi saya mahu mempertingkat kemahiran dan diri saya," ujarnya yang percaya akan pembelajaran sepanjang hayat.



"Dengan program ini, saya harap akan dapat meluaskan lagi ilmu dan pengetahuan dan memperbaiki kemahiran diri supaya dapat juga mengongsinya dengan rakan kerja lain.



"Usia itu hanya nombor dan bukan satu halangan untuk seseorang itu terus memburu ilmu dan tangga kejayaan,'' kata Encik Ahmad Syahir.




"Dengan program ini, saya harap akan dapat meluaskan lagi ilmu dan pengetahuan dan memperbaiki kemahiran diri supaya dapat juga mengongsinya dengan rakan kerja lain. Usia itu hanya nombor dan bukan satu halangan untuk seseorang itu terus memburu ilmu dan tangga kejayaan.''
- Encik Ahmad Syahir Abdul Rasid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >