SESI dialog yang membincangkan pandangan peribadi Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong tentang kehidupannya serta perjalanannya dalam bidang politik telah diadakan pagi tadi di Pusat Konvensyen Suntec.
Ia dianjurkan oleh syarikat penerbitan World Scientific dengan kerjasama Kedai Buku Popular sempena Bookfest@Singapore.
Sesi dialog tersebut turut menampilkan penulis buku Tall Order: The Goh Chok Tong Story, Peh Shing Huei.
ESM Goh telah menjawab soalan yang dikemukakan oleh orang ramai, dari soalan ‘ringan’ mengenai zaman kanak-kanaknya hingga soalan yang lebih berat tentang kehidupan, politik, dan juga perselisihan maritim antara Singapura dan Malaysia yang sedang berlangsung.
ESM Goh turut berkongsi melalui dialog tersebut bahawa salah satu peristiwa yang menonjol dalam kerjaya politiknya adalah krisis kewangan yang menyebabkan jatuhnya Presiden Suharto.
Di akhir sesi tersebut, ESM Goh turut memuji Encik Peh kerana memberikan nasihat yang bijak dan praktikal untuk memastikan buku yang ditulisnya itu cukup tipis untuk dibawa ke mana-mana.
Buku yang diterbikan oleh World Scientific itu merakamkan kisah hidup dan kerjaya ESM Goh dan telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong.