Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KITAR SEMULA DI SINGAPURA

Faktor penyebab kadar kitar semula domestik merosot

May 20, 2023 | 05:30 AM



WALAUPUN kesedaran tentang pentingnya amalan mengitar semula sudah meningkat dalam kalangan warga Singapura ekoran dorongan daripada pemerintah untuk menjadikan negara lebih 'hijau' serta pelbagai inisiatif yang dilancarkan bagi menggalak tabiat sedemikian, kadar kitar semula domestik terus merosot sepanjang tahun-tahun lalu, malah telah mencatat kadar terendah dalam tempoh lebih sedekad tahun lalu.



Sisa domestik merujuk kepada sisa yang dikumpulkan daripada sektor tempatan termasuk estet perumahan awam dan privet, sekolah, kem tentera, kios minyak, tempat beribadah dan rumah kedai.



Pakar yang dihubungi Berita Harian (BH) menukil beberapa faktor seperti prasarana yang belum cukup mantap, amalan mengitar semula yang tidak betul, serta kekurangan tekanan sosial sebagai menyumbang kepada kadar kitar semula yang rendah itu, antara lain.



INFRASTRUKTUR KITAR SEMULA YANG BELUM CUKUP KUKUH



Profesor Madya Tong Yen Wah, dari Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata prasarana untuk mengitar semula masih belum meluas apalagi mudah dikunjungi.



Contohnya, tong kitar semula tidak mudah didapati jika dibandingkan dengan tong sampah biasa, atau penduduk perlu membawa barang yang ingin dikitar semula ke ruang kitar semula dalam bangunan.



Menyentuh tentang jumlah sisa yang banyak dan kadar kitar semula yang rendah, Profesor Madya Md Saidul Islam, dari Sekolah Sains Sosial Universiti Teknologi Nanyang (NTU), turut berkata kemudahan pengurusan sisa terletak jauh di sudut negara seperti tempat yang bukan kediaman atau daerah perindustrian.



"Rantaian sisa yang amat jauh itu membawa kepada kekurangan maklumat bagi pengguna tentang sisa mereka, serta kurangnya rasa mempunyai kuasa disebabkan terdapat pengantara yang menangani pembuangan sisa. Pengguna tidak dipertanggungjawabkan bagi sisa mereka kerana tanggungjawab ini dipindahkan ke pengumpul sisa," katanya.



Profesor Madya Tong menambah bahawa prasarana mengitar semula yang lebih besar dan lebih kukuh diperlukan, dari pengumpulan ke proses mengasing-asingkan dan kemudian ke industri mengitar semula.



"Kita perlu mampu mengumpulkan barang yang boleh dikitar semula, dan juga mengitarnya semula dalam negara daripada mengeksportnya atau mencari pembeli di negara lain," ujarnya.



TIDAK MENGITAR SEMULA DENGAN BETUL



Berdasarkan perangkaan 2022, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata sekitar 40 peratus barang yang dimasukkan ke tong kitar semula biru dan pelongsor kitar semula tidak dapat dikitar semula - seperti tisu, kotak piza, kotak bungkusan makanan - disebabkan pencemaran oleh barang yang tidak boleh dikitar semula serta sisa makanan dan cecair.



NEA berkata kepada BH bahawa ia telah melaksanakan dan sedang berusaha menjalankan pelbagai inisiatif untuk memulihkan aliran sisa yang lebih bersih supaya dapat menaikkan kadar kitar semula serta mengurangkan kadar pencemaran.



Profesor Madya Tong berkata bahawa orang ramai kurang pengetahuan tentang apa dan bagaimana untuk mengitar semula.



Ini termasuk mencuci barang yang boleh dikitar semula yang tercemar atau sama ada jenis plastik tertentu boleh dikitar semula.



FAKTOR SOSIOBUDAYA



Bagaimanapun, Profesor Madya Saidul turut mengaitkan kadar kitar semula yang rendah di sini dengan budaya Singapura, yang mana tahap kecekapan biasanya diberi keutamaan berbanding yang lain.



"Orang ramai memilih cara yang paling cekap untuk membuang sisa mereka, mengaitkan hal ini kepada gaya hidup warga Singapura yang pantas. Warga Singapura menjalani kehidupan yang sibuk, justeru mengitar semula dan mengurangkan sisa bukan sesuatu yang menjadi keutamaan dalam minda semua orang," katanya.



Profesor Madya Tong turut menarik perhatian mengenai tabiat membuang semua sisa dalam satu tong, yang menjadi kebiasaan sejak sekian lama.



Kebiasaan ini secara tidak disedari menjadi faktor "melawan gerak hati" untuk membuang barang yang boleh dikitar semula ke dalam tong kitar semula berasingan.



Professor Seeram Ramakrishna, seorang anggota lembaga Persatuan Kitar Semula Plastik Singapura dan juga pengarah bersama Institut Nanosains dan Nanoteknologi, Universiti Nasional Singapura (NUSNNI), berkata untuk sistem kitar semula berfungsi dengan lebih baik, aliran sisa perlu lebih bersih.



"Ini bermakna isi rumah perlu melihat semua sisa yang dihasilkan mereka, dan mula mengasing-asingkannya dan membersihkannya sebelum membuangnya, dan ini satu keperluan untuk sistem kitar semula yang berjaya," katanya.



Beliau menukil usaha Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) yang bakal dilaksanakan pada suku kedua 2025 yang beliau harap dapat memperbaiki budaya kitar semula.



UBAH SIKAP, TINGKAT PENDIDIKAN



Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin, berkata semua orang perlu memahami bahawa mereka memainkan peranan.



"Pelongsor sampah berpusat di setiap rumah lama tidak memperkukuh tabiat mengitar semula dan adalah mudah. Flat lebih baru mempunyai sistem berganda bagi sisa umum dan kitar semula, tetapi ia bergantung kepada sama ada penduduk menggunakannya dengan betul. Jika kita masih tidak membuang sisa makanan dahulu, atau mencuci barang plastik atau gelas sebelum mengitarnya semula contohnya, usaha kita akan menjadi sia-sia," ujarnya.



Cik Kathlyn Tan, pengarah Rumah Group dan pengasas bersama Coastal Natives berkata terdapat beberapa kempen awam untuk meningkatkan kesedaran tentang mengitar semula dan patut diteruskan.



Pada masa yang sama, mempelajari lebih tentang kemampanan dan sekitaran boleh didalami dalam kurikulum nasional, tambahnya.



Profesor Madya Saidul menyarankan agar lebih banyak penekanan diberi dalam pendidikan sekitaran di sekolah supaya warga Singapura dilengkapi pemahaman tentang amalan mengurangkan sisa.



"Ini termasuk memperkenalkan set program sekitaran yang wajib merentas fasa berbeza sistem pendidikan bagi memupuk kesedaran tentang bagaimana sikap individu memberi kesan kepada sekitaran serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk menukar ilmu menjadi tindakan," tambahnya. - Laporan tambahan NATASHA MUSTAFA




"Orang ramai memilih cara yang paling cekap untuk membuang sisa mereka, mengaitkan hal ini kepada gaya hidup warga Singapura yang pantas. Warga Singapura menjalani kehidupan yang sibuk, justeru mengitar semula dan mengurangkan sisa bukan sesuatu yang menjadi keutamaan dalam minda semua orang."
- Profesor Madya Md Saidul Islam, Sekolah Sains Sosial Universiti Teknologi Nanyang (NTU).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >