Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANALISIS BERITA: SUSULAN FATWA TUDUNG BAGI PEKERJA KESIHATAN

Fatwa cerminkan agamawan progresif, berilmu, kenali cabaran masyarakat

Oct 28, 2021 | 05:30 AM



LAZIMNYA, fatwa memberi respon yang khusus berdasarkan soalan yang diajukan kepada seorang Mufti dalam bentuk apa yang dibolehkan ataupun tidak.



Namun dalam pendekatan fatwa kontemporari Singapura mutakhir ini, fatwa-fatwa yang dihasilkan memuatkan juga panduan agama umum.



Ciri unik fatwa yang dikeluarkan kelmarin bagi wanita Muslim yang ingin memakai tudung dalam konteks pekerjaan berseragam adalah ia memperkasa Muslimah untuk mengambil pendekatan yang paling sesuai buat dirinya, dalam mengambil kira keunikan keadaan masing-masing.



Yang penting ialah, niatnya suci lagi murni, iaitu mencari rezeki yang halal sambil menyumbang dan berbakti kepada masyarakat dan negara, serta pada masa yang sama terus berusaha menjadi seorang Muslim yang mendapat keredaan Allah.



Ini memberikan seseorang Muslimah itu keyakinan untuk mengimbangi tuntutan kerja dan keagamaan tanpa sebarang keraguan.



CERMINKAN KETERBUKAAN, PEMIKIRAN PROGRESIF JAWATANKUASA FATWA



Dikeluarkan menjelang perubahan dasar yang membolehkan kakitangan penjagaan kesihatan memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu, November ini, fatwa tersebut mencerminkan keterbukaan dan pemikiran progresif anggota-anggota Jawatankuasa Fatwa yang dipengerusikan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.



Menerangkan Dr Nazirudin berkata, fatwa itu berpandukan prinsip agama dan bertujuan memperkasa masyarakat, dan bukan satu preskripsi menyeluruh secara umum.



Pendekatan tersebut diambil dengan tujuan memberi panduan kepada wanita Muslim untuk mempertimbang situasi mereka dengan teliti dan memperkasa mereka dengan prinsip dan nilai agama yang membolehkan mereka membuat pilihan yang seimbang dan tepat bagi diri mereka.



"Pemakaian tudung bukan satu hambatan bagi Muslimah untuk menyumbang secara aktif terhadap pembangunan negara, mahupun menjadi karyawan yang berdedikasi, dan (tudung juga) bukan simbol keagamaan yang memecah belah masyarakat atau melemahkan fabrik sosialnya.



"Dalam konteks kewajipan agama untuk memakai tudung bagi wanita Islam, fatwa itu akur bahawa terdapat faktor munasabah lain dan pertimbangan yang penting, dan ini harus dipertimbangkan apabila memilih untuk membuat penyesuaian kepada cara mematuhi kewajipan agama di tempat kerja," kata Mufti.



TUDUNG SEBAHAGIAN TUNTUTAN AGAMA, NAMUN BOLEH BUAT PENYESUAIAN



Fatwa berkenaan tidak menafikan bahawa pemakaian tudung merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, namun Jawatankuasa Fatwa menjelaskan bahawa umat Islam perlu membuat penyesuaian yang wajar berpandukan kepada ajaran Islam, jika terdapat situasi di mana mereka tidak dapat menyempurnakan sebahagian tuntutan dan ajaran agama di tempat kerja.



Antara situasi tersebut ialah jururawat yang tidak dapat menyempurnakan penutupan aurat secara menyeluruh dalam situasi tertentu walaupun boleh memakai tudung untuk mematuhi dasar 'Bare Below Elbow' (BBE), iaitu memastikan tangan sehingga ke paras siku dibiarkan terdedah atas sebab keperluan tugas perubatan mereka atau untuk mengurangkan risiko jangkitan.



Fatwa julung-julung kali berkaitan tudung dalam konteks pekerjaan itu amatlah unik, bahkan kita wajar berbangga mempunyai kumpulan agamawan yang dapat mempertimbangkan isu rumit itu dan mengeluarkan panduan yang memenuhi keperluan menyeluruh kaum Muslimah kita.



Selain Mufti, jawatankuasa tersebut dianggotai 23 lagi ulama dan cendekiawan Islam setempat dengan pengalaman dan kepakaran yang luas lagi pelbagai.



Kepakaran ini telah membawa kepada pelbagai fatwa yang menjadi panduan penting dalam isu-isu semasa seperti Fatwa Berkaitan Pemilihan Bersama Rumah atau joint tenancy, Fatwa Berkaitan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan terkini Fatwa Berkaitan Solat Jumaat semasa Covid-19 serta Pencegahan Covid-19.



FATWA AMBIL LANGKAH TAMBAHAN, PERTIMBANG KONTEKS KEHIDUPAN INDIVIDU



Kepakaran dan pengalaman serta pemikiran progresif sedemikian begitu penting dengan dunia yang berkembang pesat bakal sentiasa mempersembahkan cabaran-cabaran yang kompleks dalam kehidupan keagamaan masyarakat Islam.



Merumitkan lagi keadaan ialah, tidak semua kehidupan keagamaan masyarakat Islam boleh dilihat dari kaca mata yang sama.



Hakikatnya, setiap masyarakat memiliki konteks kehidupan yang berbeza.



Fatwa yang dikeluarkan kelmarin itu mengambil satu lagi langkah tambahan, iaitu menghargai bukan sahaja konteks masyarakat yang berbeza, malah konteks kehidupan individu yang unik.



Langkah sedemikian hanya boleh diambil oleh asatizah dan cendekiawan yang bukan hanya terlatih dalam bidang agama dan pembahasan syariah, malah berupaya memberikan maklum balas dan perspektif bukan sahaja dari segi teori dan pengajian tetapi sama penting juga berdasarkan pengalaman mereka dengan masyarakat.



Ini membawa perspektif yang sangat kritikal untuk Jawatankuasa Fatwa menggarap sesuatu isu itu sepenuhnya, supaya panduan yang diberikan kepada masyarakat bertepatan dengan cabaran yang dihadapi.



Fatwa yang dikeluarkan itu memberi panduan melebihi kakitangan penjagaan kesihatan.



Ia juga menangani keadaan para pegawai dalam perkhidmatan seragam lain yang tidak dibenarkan memakai tudung dengan menggalakkan golongan ini untuk mempertimbang situasi mereka dengan teliti.



Fatwa tersebut memberi mereka keyakinan untuk membuat keputusan yang bijak kerana keadaan setiap individu adalah berbeza termasuk keperluan seseorang untuk menyara hidup serta sifat pekerjaan dan sebab dasar yang terkait dengan menjaga kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran negara.



Sedang panduan yang diberikan menjurus kepada mereka yang terlibat dalam pekerjaan berseragam, sebenarnya ia juga memberi bimbingan kepada masyarakat umum termasuk masyarakat bukan Islam, supaya memahami tuntutan dan nilai-nilai pemakaian tudung ini dengan lebih mendalam.



Bagi masyarakat Islam umumnya, ia juga menjernihkan ketidakpastian yang ada mengenai tuntutan ke atas anggota keluarga dan sahabat-handai Muslimah kita dalam pekerjaan berseragam, dan diharapkan dapat memberi mereka ruang memberi fokus kepada menjalankan tugas sebaik mungkin.



Sejak fatwa ini dikeluarkan, umumnya masyarakat menerima baik panduan yang diberikan meski ada suara-suara yang mahukan sebuah preskripsi menyeluruh.



Hakikat ini diakui anggota-anggota Jawatankuasa Fatwa sendiri yang diwawancara akhbar ini.



Namun, dengan tujuan fatwa ini memperkasa golongan Muslimah, masyarakat lantas wajar menghormati pilihan yang mereka ambil berlandaskan keadaan yang unik bagi mereka, yang hanya diketahui antara diri mereka dan Tuhan.



Lagipun, Islam itu agama yang sempurna, indah lagi mudah. Jangan pula kita manusia yang menyukarkannya.




"Fatwa yang dikeluarkan kelmarin itu mengambil satu lagi langkah tambahan, iaitu menghargai bukan sahaja konteks masyarakat yang berbeza, malah konteks kehidupan individu yang unik. Langkah sedemikian hanya boleh diambil oleh asatizah dan cendekiawan yang bukan hanya terlatih dalam bidang agama dan pembahasan syariah, malah berupaya memberikan maklum balas dan perspektif bukan sahaja dari segi teori dan pengajian tetapi sama penting juga berdasarkan pengalaman mereka dengan masyarakat."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >