Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Fatwa pemilikan bersama rumah disemak, beri hak milik penuh kepada pihak yang masih hidup

Pewaris lain tidak berhak desak pihak yang masih hidup jual rumah untuk bahagi harta
May 14, 2019 | 05:30 AM



JAWATANKUASA Fatwa Singapura telah mengeluarkan fatwa baru yang kini mengiktiraf kontrak berdasarkan pemilikan bersama, atau joint tenancy, sebagai sah dari segi agama.



Dengan pengiktirafan tersebut, prinsip memberi hak pemilikan rumah kepada pihak yang masih hidup, atau right of survivorship, kini tidak lagi memerlukan dokumen tambahan - nuzriah atau hibah - seperti yang diperlukan sebelum ini di bawah fatwa lama.



Ini bermakna anggota keluarga lain atau pewaris lain tidak mempunyai hak lagi ke atas rumah yang dimiliki di bawah kontrak pemilikan bersama itu, jika setelah salah seorang pemilik bersama itu meninggal dunia.



Di bawah kontrak pemilikan bersama, setiap pemilik berkongsi aset secara sama rata iaitu 50 peratus setiap seorang.



Ini berbeza dengan satu lagi konsep pemilikan rumah tenancy-in-common - hak milik yang ditentukan berdasarkan kadarnya - di mana setiap pemilik mempunyai peratusan bahagian masing-masing yang jelas.



Bagi pasangan yang memiliki rumah di bawah kontrak hak milik yang ditentukan kadarnya pula, bahagian pemilik yang meninggal dunia akan menjadi pusaka yang boleh dibahagikan secara faraid.



Dengan fatwa terkini itu, orang ramai dinasihatkan agar mempertimbangkan dua pilihan - pemilikan bersama atau hak milik yang ditentukan kadarnya - itu dengan sebaik-baiknya.



Tetapi biasanya, pemilikan bersama disifatkan sebagai pilihan lebih baik, menurut satu kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam.



"Kontrak pemilikan bersama adalah pilihan yang lebih baik sedang ia melindungi keluarga terdekat apabila seseorang itu meninggal dunia, dan mengelakkan kebimbangan atau ketidaktentuan kewangan yang serius," menurut kenyataan itu.



Jawatankuasa Fatwa berkata pemilik yang memilih kontrak pemilikan bersama bermakna:



"(a) Beliau telah menzahirkan keinginannya agar rumah yang dimiliki bersama kekal dimiliki sepenuhnya oleh pemilik bersama yang masih hidup selepas kematiannya;



(b) Pemilik menyedari bahawa bahagiannya ke atas rumah yang dimiliki bersama gugur sejurus selepas kematiannya;



(c) Pemilik tidak lagi perlu membuat sebarang dokumen tambahan."



Fatwa terbaru itu menyemak keputusan lebih awal pada 1997 dan 2008 mengenai pemilikan bersama.



Pada 1997, Jawatankuasa Fatwa memutuskan apabila salah seorang pemilik bersama meninggal dunia, pemilik bersama yang masih hidup merupakan pengamanah bagi bahagian milik si mati, dan perlu membahagikan secara faraid kepada ahli warisnya, menurut Jawatankuasa Fatwa waktu itu.



Pada 2008, Jawatankuasa Fatwa menyemak semula keputusan tersebut, dan memutuskan pemilik mempunyai pilihan untuk membuat dokumen tambahan nuzriah atau hibah ruqba untuk memberikan bahagiannya kepada pemilik bersama yang masih hidup, atau tidak membuat sebarang dokumen tambahan agar bahagiannya dapat dibahagikan secara faraid setelah kematiannya.



Namun, ini menimbulkan beberapa kesulitan. Antaranya, ada individu yang berniat memberikan bahagiannya kepada pemilik bersama tetapi tidak sempat melakarkan dokumen nuzriah ataupun hibah.



Ini mengakibatkan sebahagian pewaris tetap menuntut pihak yang masih hidup untuk menjual rumah tersebut dan membahagikan hasil jualan mengikut faraid.



Satu lagi cabaran yang dihadapi ialah desakan daripada ahli waris.



"Pemilik yang masih hidup didesak oleh ahli waris untuk menjual rumah yang dimiliki secara bersama dengan si mati dan berpindah ke rumah lain, agar bahagian si mati dapat dibahagikan secara faraid.



"Dalam kes yang tidak sedikit bilangannya, keadaan ini telah mengakibatkan kesempitan yang menyulitkan hidup pemilik bersama yang masih hidup itu," menurut fatwa tersebut.



Namun, implikasinya berbeza jika pasangan memiliki rumah di bawah kontrak hak milik yang ditentukan kadarnya - iaitu setiap pemilik mempunyai bahagian masing-masing yang jelas.



"Pemilik yang memilih untuk menandatangani kontrak hak milik yang ditentukan kadarnya pula bererti:



(a) Beliau telah menzahirkan hasratnya memiliki bahagian tertentu pada rumah yang dimiliki bersama;



(b) Pemilik menginginkan agar bahagiannya menjadi sebahagian daripada pusakanya serta menjadi pewarisan selepas kematiannya," kata fatwa itu lagi.



Dalam kenyataannya, Timbalan Mufti Dr Nazirudin Nasir berkata menjadi amalan Jawatankuasa Fatwa untuk memantau kesan fatwa kepada masyarakat.



"Jika diperlukan, Jawatankuasa Fatwa akan membincangkan dan menyemak pendapat dahulu sejajar dengan prinsip undang-undang Islam," menurut kenyataan itu semalam.



Jawatankuasa Fatwa juga menasihatkan pemilik untuk mempertimbangkan kededua pilihan dan memahami implikasinya kepada keluarga.



"Pemilik perlu jelas dengan keputusan yang dibuat kerana terdapat implikasi yang tertentu bagi pemilik yang memilih kontrak tenancy-in-common, seperti keperluan pemilik untuk menjual rumah tersebut sejurus salah seorang pemilik dalam kontrak tersebut meninggal dunia dan ini boleh menyebabkan kesulitan pada pemilik lain yang mempunyai bahagian di dalam kontrak tenancy-in-common," kata fatwa itu.



Namun, sedang pemilikan bersama biasanya merupakan pilihan lebih baik, pilihan hak milik yang ditentukan kadarnya pula mungkin lebih sesuai bagi keluarga tertentu.



"Oleh itu, pemilik perlu mempertimbangkan dengan bertanggungjawab dan memutuskan pilihan terbaik mengikut keadaan mereka.



"Jawatankuasa Fatwa mengingatkan masyarakat ia merupakan tanggungjawab agama untuk memastikan keluarga yang bergantung kepada kita stabil dari segi kewangan setelah pemergian kita," tambah Muis.




"Kontrak pemilikan bersama adalah pilihan yang lebih baik sedang ia melindungi keluarga terdekat apabila seseorang itu meninggal dunia, dan mengelakkan kebimbangan atau ketidaktentuan kewangan yang serius."
- Kenyataan Muis.




FATWA MENGENAI RUMAH PEMILIKAN BERSAMA (JOINT TENANCY)



Jawatankuasa Fatwa Muis semalam mengeluarkan fatwa terbaru mengenai konsep pemilikan bersama iaitu joint tenancy dan implikasinya ke atas pewarisan harta.



Berikut keputusannya:



PEMILIKAN BERSAMA (JOINT TENANCY)



  • Setiap pemilik berkongsi bahagian sama pada aset, 50%-50%

  • Rumah yang dimiliki bersama akan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang hidup selepas kematian salah seorang pemilik

  • Bahagian si mati akan gugur susuli kematiannya

  • Pemilik tidak perlu membuat sebarang dokumen tambahan nuzriah ataupun hibah

'TENANCY-IN-COMMON'



  • Setiap pemilik ada bahagian masing-masing yang jelas

  • Bahagian si mati boleh dibahagikan secara faraid selepas kematiannya

NASIHAT JAWATANKUASA FATWA



  • Pemilikan bersama biasanya pilihan lebih baik kerana lindungi keluarga terdekat

  • Namun, bagi sesetengah keluarga tenancy-in-common mungkin lebih sesuai




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >