Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN KEPADA SEKATAN TERBARU COVID-19

F&B di kawasan bandar 'gigit jari' sekali lagi

Sekatan yang kerap berubah hambat operasi perniagaan di sekitar kawasan CBD
Sep 28, 2021 | 05:30 AM



KEBANYAKAN perniagaan makanan dan minuman (F&B) di sekitar kawasan pusat bandar (CBD) terpaksa 'menggigit jari' sekali lagi mengenang nasib yang menimpa selepas langkah sekatan Covid-19 yang dipertingkat mula dilaksanakan semalam



Menyusuli trend lonjakan kes jangkitan dalam masyarakat sejak beberapa minggu lalu, arahan kerja dari rumah (WFH) menjadi aturan tetap dan saiz kumpulan untuk makan di luar kini dihadkan kepada hanya dua sahaja - turun daripada lima yang dibenarkan sebelum ini bagi mereka yang telah divaksinasi.



Sekatan yang kerap berubah ini menghambat operasi sesetengah perniagaan F&B di sekitar kawasan itu.



Antara restoran yang terjejas dengan sekatan terbaru ini termasuk kafe Royz Et Vous, yang terletak di 137 Telok Ayer Street.



Pemiliknya, Cik Widyanty Mohd Yusope berkata cawangannya di CBD itu langsung tidak dikunjungi pelanggan yang bekerja di pejabat berhampiran pada waktu makan tengah hari.



Memburukkan keadaan lagi, perniagaannya di situ merosot hampir 80 peratus, berbanding beberapa minggu yang lalu di mana ia kembali rancak.



"Seperti kebanyakan peniaga F&B lain sepanjang tempoh ini, perniagaan kami juga bergantung kepada langkah sekatan yang dikuatkuasakan," kata beliau yang akur keadaan di cawangan CBD agak lembab pada hari pertama sekatan Covid-19 dipertingkat dilaksanakan.



Lawatan Berita Harian (BH) ke kawasan itu sekitar tengah hari semalam mendapati suasana yang agak lengang, namun masih terlihat beberapa pekerja di situ.



Perhimpunan sosial di tempat kerja tidak dibenarkan, namun mereka yang dapat bekerja dari rumah tetapi perlu kembali ke tempat kerja dengan alasan 'ad hoc' hanya dapat melakukannya setelah menguji negatif bagi ujian pantas antigen (ART).



Cik Suhaila Adnan adalah antara mereka yang kembali ke pejabatnya yang terletak di Tanjong Pagar.



Beliau yang bekerja sebagai konsultan di sebuah syarikat program pendidikan berkata buat beberapa hari ini beliau "terpaksa ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa tugas yang tidak dapat dilakukan dari rumah".



"Kami sudahpun diberitahu oleh majikan untuk meneruskan WFH, selaras dengan arahan dari pemerintah," katanya yang ditemui sedang mendapatkan jamuan tengah harinya di Pasar dan Pusat Makanan Tanjong Pagar Plaza.



Situasi di pusat makanan yang sering dikunjungi orang ramai, termasuk para pekerja dari pejabat berdekatan, berbeza berbanding dengan restoran atau kafe F&B di kawasan itu.



Pemilik gerai makanan Mad Bros SG, yang menyajikan santapan Jepun Halal, Encik Carmal Ahmad berkata gerainya masih mendapat kunjungan pelanggan yang memberangsangkan.



"Alhamdulillah, walaupun ini merupakan hari pertama sekatan Covid-19 dipertingkat ini, masih terdapat ramai pelanggan yang berkunjung ke pusat penjaja ini.



"Mereka tergolong dari penduduk dan juga pekerja yang bekerja berhampiran," kata beliau.



Namun Encik Carmal berkata beliau "tidak optimis keadaan seperti ini akan berlarutan untuk sebulan lagi, melainkan jumlah kes harian merosot".



Dengan keadaan yang tidak menentu ini, pemerintah mengumumkan bahawa mereka akan menyediakan pakej bantuan tambahan untuk perniagaan mengharungi masa-masa sukar ini.



Sebanyak $650 juta diperuntukkan bagi pakej bantuan yang bertujuan membantu sektor F&B, runcit dan pelancongan.



Ini termasuk sokongan gaji dipertingkat di bawah Skim Bantuan Pekerja (JSS) sebanyak 25 peratus dan bantuan sewa selama dua minggu bagi pemilik gerai makanan atau pasar yang dikendalikan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) turut diberikan.



Menurut Cik Widyanty meskipun bantuan sokongan ini membantu, tetapi ia hanya mampu menanggung sekitar 25 peratus kerugian yang dialami.



"Kami masih perlu menanggung baki kerugian sekitar 50 peratus sehingga sekatan ini dilonggarkan," ujarnya.



Akur dengan kekhuatiran yang timbul dalam kalangan peniaga F&B setempat, Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Fadilah Abdul Majid berkata ramai yang masih prihatin sama ada perniagaan mereka dapat terus menakat.



"Mereka bimbang jumlah pelanggan yang kurang akan menjejas sasaran jualan minimum yang dapat membiayai kos operasi. Faktor kritikal lain termasuk kos tenaga kerja.



"Untuk itu, banyak perniagaan yang masih perlu bergantung kepada geran dan inisiatif pemerintah seperti JSS untuk mengharungi tempoh mencabar ini," kata beliau.



Dalam memastikan jumlah jangkitan dalam kalangan masyarakat dapat dikurangkan dalam masa sebulan ini, pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan vaksinasi sekiranya mereka belum membuat demikian.



Beliau berkata: "Saya akan hanya berasa bimbang jika saya belum divaksin atau ada anggota keluarga yang tidak ingin divaksin.



"Ini kerana mereka akan menghadapi pandemik Covid-19 ini tanpa sebarang persiapan. Ia seolah melangkah masuk ke dalam api besar tanpa sebarang perlindungan, tanpa memakai topi keledar sekalipun.



"Semua orang terdedah kepada jangkitan Covid-19 ini, jika anda sudah divaksin, saya ingin beritahu anda bahawa anda paling bersedia untuk mengharungi pandemik ini."




"Seperti kebanyakan peniaga F&B lain sepanjang tempoh ini, perniagaan kami juga bergantung kepada langkah sekatan yang dikuatkuasakan.

Kami masih perlu menanggung baki kerugian sekitar 50 peratus sehingga sekatan ini dilonggarkan."

- Pemilik kafe Royz Et Vous, Cik Widyanty Mohd Yusope.



"Alhamdulillah, walaupun ini merupakan hari pertama sekatan Covid-19 dipertingkat ini, masih terdapat ramai pelanggan yang berkunjung ke pusat penjaja ini.

Mereka tergolong dari penduduk dan juga pekerja yang bekerja berhampiran."

- Pemilik gerai makanan Mad Bros SG, Encik Carmal Ahmad.



"Kami sudahpun diberitahu oleh majikan untuk meneruskan WFH, selaras dengan arahan dari pemerintah."
- Konsultan di sebuah syarikat program pendidikan, Cik Suhaila Adnan.



"Saya akan hanya berasa bimbang jika saya belum divaksin atau ada anggota keluarga yang tidak ingin divaksin.

Semua orang terdedah kepada jangkitan Covid-19 ini, jika anda sudah divaksin, saya ingin beritahu anda bahawa anda paling bersedia untuk mengharungi pandemik ini."

- Pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >