SYARIKAT atau firma amanah yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) yang tertakluk kepada sekatan atau terlibat dalam urusan perniagaan yang disekat dengan pihak Russia, harus menggantung dagangan sekuriti tersenarai mereka sehingga mereka dapat menunjukkan sekatan itu tidak lagi terpakai bagi perniagaan mereka.
Mengumumkan demikian semalam, SGX berkata mereka juga mesti segera menjalankan penilaian tentang kesan kewangan dan operasi sekatan, dan mengumumkannya di bursa.
SGX juga semalam menggantung perdagangan resit depositori global syarikat PJSC Gazprom kerana sekatan yang dikenakan ke atas Russia oleh pemerintah Singapura berikutan pencerobohan Russia terhadap Ukraine.
Gazprom ialah syarikat minyak dan gas Russia, dengan pemerintah Russia mempunyai lebih 50 peratus kawalan saham.
Pengumuman SGX dibuat selepas Singapura, dalam kemas kini terperinci pada Sabtu lalu kepada sekatan yang kali pertama dikenakan ke atas Russia pada 28 Februari, berkata bank dan institusi kewangan lain di sini akan dilarang melakukan perniagaan dengan empat bank Russia.
Sekatan itu juga melibatkan larangan eksport elektronik, komputer dan barangan ketenteraan ke Russia.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia semalam melaporkan melakukan gencatan senjata sementara untuk membuka laluan kemanusiaan di beberapa bandar Ukraine termasuk ibu kota Kyiv mulai petang semalam.
Laluan itu, yang juga akan dibuka dari bandar Kharkiv, Mariupol dan Sumy.
Menurut peta yang diterbitkan agensi berita Russia RIA, laluan dari Kyiv akan menuju ke negara sekutu Russia, Belarus; orang awam dari Kharkiv hanya akan mempunyai laluan menuju ke Russia.
Laluan kemanusiaan dari Mariupol dan Sumy akan menuju ke bandar lain di Ukraine dan Russia.
Memberi respons, jurucakap presiden Ukraine berkata cadangan Russia itu "benar-benar tidak bermoral" selepas Moscow mencadangkan ia akan membenarkan penduduk awam meninggalkan bandar Ukraine dengan syarat mereka keluar ke Belarus atau Russia.
Jurucakap itu berkata rakyatnya harus dibenarkan meninggalkan rumah mereka melalui wilayah Ukraine, dan menuduh Russia sengaja menghalang percubaan pemindahan sebelum ini.
LAPORAN SELANJUTNYA: PBB: Russia perketat kawalan loji nuklear Zaporizhzhia, Ukraine