Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

FOKUS: SUASANA LEBARAN

Lagu Raya baru berpotensi termasuk ciptaan Sufi Rashid

May 08, 2022 | 05:30 AM



MESKIPUN baru sahaja dimuat naik ke dalam akaun YouTube Gerek Music Entertainment sebulan lalu, klip video lagu Hari Raya terbaru, Anugerah Aidilfitri, ciptaan Sufi Rashid sudah ditonton warganet sebanyak 105,000 kali.



Ia boleh disifatkan sebagai satu pencapaian besar buat lagu Singapura lebih-lebih lagi apabila karya seni ini didendangkan dua bakat baru daripada peraduan realiti, Juara Mic Junior, Nur Muhammad Rifqi Roslan dan Amirah Fikriyah Herman.



Warganet Aina Abdullah menulis di ruang komen video ini: “Sedap lagunya... sekali dengar, terus suka. Kedua-dua penyanyinya memiliki suara yang bagus dan serasi.”



Seorang warganet berbangsa Turkey, Singapurlu Tansel Kaya, pula menambah: “Saya berbangsa Turkey. Saya merasakan lagu ini lebih ‘catchy’ daripada kebanyakan lagu Hari Raya di rantau Asia.”



Emerald Lya pula berkata: “Lagu yang menyejukkan hati. Tahniah buat komposer sebab membuatkan saya macam nak beraya cepat!”



Sejak mendengar lagu ini di Wisma Geylang Serai (WGS), warganet Fatin Farhanah pula bagaikan payah melepaskan melodinya daripada mindanya.



Seorang lagi pendengar Mazlan Hairi yang kagum dengan vokal dalam lagu ini pula menyamakan suara Rifqi persis tonasi suara Allahyarham Saleem Iklim.



Pendek kata, sambutan bagi lagu ini memang luar biasa dan pastinya menjadi pemacu semangat buat Rifqi, 17 tahun, dan Amirah, 16 tahun, yang masih bersekolah.



Dalam satu wawancara bersama Sufi, beliau berkata dirinya tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi ketika mencipta lagu ini yang turut menyisipkan kisah peribadinya yang beraya berjauhan daripada keluarga di Singapura.



“Apabila diminta mencipta lagu Hari Raya, saya terfikir mengapa tidak? Dah lama Singapura tak ada lagu Hari Raya yang ‘catchy’, yang boleh jadi ikutan ramai dan mempunyai gabungan ‘mood’ nostalgia yang ceria tetapi ada juga aspek yang menyentuh kalbu.”



Amirah dan Rifqi pula berbesar hati kerana mendapat sokongan warganet yang senang dengan klip video dan lagu mereka.



“Bagi kami, memang lagu ini dikeluarkan tepat pada masanya apabila sempadan perjalanan darat Singapura-Malaysia dibuka.



“Ia memberi harapan anugerah hari kemenangan yang membolehkan kita beraya dengan kaum keluarga di seberang Tambak selepas dua tahun terpisah kerana pandemik,” kata Amirah.



Rifqi pula menghargai usaha Sufi menerapkan formula yang perlu ada dalam sebuah lagu Hari Raya malar segar seperti aspek kunjung-mengunjung, bermaafan dan memperbaiki silaturahim.



Kalau diamati trend lagu Hari Raya masa kini, meskipun hanya segelintir, dapat dikesan beberapa lagu yang berpotensi mempunyai hayat lebih panjang.



Lagu kumpulan wanita paling ‘hot’ di Malaysia, Dolla, yang berjudul Raya Raya Raya dan dicipta Ajay Amai, Glow Rush, Nick Ariff, Acap Salim, Somean K-Clique dan Mike Chan sudah distrim sebanyak 797,801 kali di Spotify sejak dikeluarkan tahun lalu.



Ia juga kerap menjadi lagu latar video ringkas Instagram tokoh politik, selebriti dan pempengaruh sosial di seberang Tambak.



Lagu Hael Husaini yang diterbitkan pada 2019, Bersyukur Seadanya, pula sudah distrim sebanyak 1.58 juta kali, melebihi penstriman lagu Raya nostalgia, Inang Aidilfitri (Sudirman dan Zaleha Hamid) pada 1.31 juta dan Raya (Jalil Hamid) yang sudah distrim sebanyak 948,690 kali.



Lagu Iman Troye, Pejam Celik Hari Raya juga amat popular dengan 1.01 juta penstriman sejauh ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >