Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Gam sosial' penting demi perpaduan warga semasa krisis: Presiden Halimah

Sep 07, 2022 | 05:34 AM



CABARAN yang dihadapi orang ramai semasa pandemik Covid-19 merupakan peringatan baik bahawa perpaduan sosial diperlukan bagi keselamatan masyarakat bersama, kata Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.



Masyarakat tidak boleh menakat, apa lagi maju tanpa 'gam sosial' yang dapat menyatukan mereka bersama, tambahnya.



Bahkan menurutnya, kestabilan dan daya tahan nasional adalah hasil masyarakat yang bekerjasama demi tujuan yang sama, bersatu dalam berdepan dengan cabaran serta ancaman yang dihadapi negara.



"Masyarakat yang padu tidak wujud secara spontan. Ia hasil pilihan dan penuh keyakinan.



"Pandemik ini telah menekankan lagi hal ini," ujarnya.



Puan Halimah berkata demikian semasa berucap di pembukaan Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) di Pusat Konvensyen Raffles City semalam.



Tambahnya, pandemik Covid- 19 merupakan krisis kesihatan awam dengan kesan sosial yang serius.



Ketika orang ramai berasa lebih bimbang, ketegangan turut meningkat, hingga menimbulkan rasa kebencian serta sikap tidak bertoleransi dan xenofobia.



Singapura juga tidak terlepas daripada cabaran sedemikian, ujar Puan Halimah.



"Pandemik ini telah menyebabkan garis pemisah yang lebih mendalam dalam masyarakat di serata dunia sedangkan apa yang segera diperlukan untuk pulih daripada pandemik ini ialah kerjasama dan tindakan bersama," tambahnya.



Untuk mengatasi cabaran ini dan memperkukuh perpaduan sosial, Puan Halimah berkata usaha perlu dijalankan untuk memahami faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial.



Satu kajian serantau oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) mendapati bahawa 69 peratus responden yang ditinjau di Asia Tenggara percaya bahawa negara mereka padu dari segi sosial.



Menurut kajian itu juga, tahap kepercayaan dan penerimaan antara satu sama lain serta rangkaian sosial yang dibina orang ramai merupakan antara elemen yang dapat membantu memperkukuh perpaduan sosial.



Puan Halimah berkata hasil dapatan kajian Radar Perpaduan Sosial Asia Tenggara itu dapat menyumbang kepada perbincangan yang diadakan untuk membangunkan pendekatan yang bermakna dalam usaha membina masyarakat yang padu.



ICCS tahun ini, yang bertemakan Identiti Yakin, Masyarakat Terhubung (Confident Identities, Connected Communities), akan meneroka peranan identiti serta keyakinan masyarakat dalam membentuk hubungan dan perpaduan sosial.



Sementara ICCS pertama pada 2019 membincangkan tentang kepercayaan, identiti dan perpaduan, ICCS tahun ini turut menumpukan pada tiga tunggak yang sama itu namun dengan lensa yang berbeza, dengan pengajaran daripada pandemik Covid-19.



ICCS tahun ini yang berlangsung dari semalam hingga esok disertai lebih 800 orang termasuk pemimpin agama, penggubal dasar, ahli akademik dan pengamal masyarakat sivil dari lebih 40 negara.



Mereka juga termasuk 120 pemimpin belia yang menyertai edisi kedua Program Pemimpin Muda, yang akan berlangsung serentak dengan ICCS yang dianjurkan RSIS dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).



Dengan masyarakat di seluruh dunia berdepan dengan cabaran yang sama sedang mereka bangkit daripada pandemik Covid-19, Puan Halimah berkata mereka harus terus mewujudkan wadah yang selamat dan terbuka untuk membincangkan isu sensitif serta bekerjasama bagi memperkukuh perpaduan dan daya tahan dalam masyarakat.



Tambahnya, ICCS - yang diilhamkan Puan Halimah sendiri - boleh menjadi antara wadah itu.



Laporan lanjut - Penyertaan golongan muda galak perpaduan sosial kian meningkat: Edwin Tong




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >