Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Generasi muda diharap harumkan nama masyarakat, bangsa dan agama

Sikap suka bertanya bantu masyarakat baiki, semak dan fahami isu secara lengkap
Mar 28, 2016 | 05:30 AM



Apakah masa hadapan yang diidamkan masyarakat Melayu/Islam bagi diri mereka dan anak-anak mereka? Dan bagaimana pemerintah dan masyarakat boleh memanfaatkan usaha yang telah dijalankan sebelum ini untuk memikirkan huraian bagi cabaran baru kini dan pada masa akan datang? Itulah antara isu yang dikupas semasa sesi perbincangan meja bundar Berita Harian bersama Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, baru-baru ini. Ikuti laporan ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg).



SIKAP suka bertanya dan pemikiran kritis golongan muda kini boleh membantu masyarakat memperbaiki, menyemak dan meninjau semula asasnya sekiranya dilakukan dengan pemahaman konteks secara menyeluruh, kata Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin.



Namun usahlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar.



"Sedang kita menyemak, kita tidak boleh terus merombak sehingga asas yang telah membolehkan kita maju itu hilang atau musnah.



"Kita tidak boleh bersikap populis dan harus mempunyai pegangan dan prinsip.



"Kepelbagaian juga wujud dahulu tetapi masyarakat tetap maju kerana ada satu persefahaman, kepercayaan dan prinsip yang dipegang teguh generasi perintis," kata Encik Amrin semasa sesi perbincangan meja bundar anjuran Berita Harian baru-baru ini.



Tambahnya, sedang golongan muda ghairah menyuarakan suara alternatif, mereka juga harus memahami isu sebenar secara lengkap.



Ibarat permainan jenga, Encik Amrin berkata setiap langkah yang diambil pemain harus difikirkan dengan baik kerana jika tidak, ia boleh membawa padah.



Misalnya jika tidak difikir dengan teliti semasa hendak menarik salah satu kepingan kayu daripada menara jenga itu, seluruh menara itu mungkin akan jatuh.



Menurut seorang peserta perbincangan itu, Encik Mohamed Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, seorang perancang bandar, 31 tahun, sikap golongan muda yang suka bertanya ini antara lain kerana mereka kini lebih terdedah kepada banyak sumber maklumat menerusi pelbagai wadah termasuk Internet, media sosial dan e-mel.



"Hasilnya, sesetengah belia secara automatik bersikap sinis... apabila mendengar penerangan rasmi pemerintah tentang isu utama," kata Encik Khairul.



Namun menurut Zamil Institut Iseas-Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, persoalannya ialah mengapa segelintir belia masih menerima pandangan yang mereka tidak dapat memastikan kesahihannya.



"Ini mungkin kerana tanggapan bahawa mereka tidak dapat pandangan terkini menerusi media aliran utama dan oleh itu memilih untuk mencari (maklumat) menerusi media lain.



"Namun sejak pilihan raya umum (GE) 2011, kita melihat parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) turun padang mendekati masyarakat termasuk belia dengan mengadakan perbincangan dan bersedia mendengar pandangan orang ramai.



"Saya fikir ini antara faktor yang disukai ramai dan berdasarkan prestasi PAP dalam GE tahun lalu, ia menunjukkan bahawa masyarakat menerima kehadiran pemimpin mereka," kata Dr Norshahril sambil menambah PAP harus meneruskan usaha ini namun kekal tidak bersifat populis.



Meskipun akur bahawa belia kini terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, Encik Amrin berkata seseorang yang tahu lebih banyak maklumat itu tidak semestinya lebih bijak dan mereka harus berfikir secara kritikal supaya dapat membezakan antara kaca dengan permata.



Seorang peserta perbincangan itu, Cik Siti Nuraisha Ahmad Tarmizi, seorang pekerja sosial, 33 tahun, pula menarik perhatian bahawa sementara generasi muda kini rata-ratanya menggunakan Internet dan media sosial secara meluas, masih ada segelintir golongan muda yang buta huruf.



"Ini mungkin satu cabaran pemerintah untuk mendekati mereka," ujarnya.



Seorang lagi peserta, Encik Abdul Hakeem Mohd Yunos, mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), 24 tahun, pula berkata usaha perlu dijalankan dengan memanfaatkan teknologi memandangkan belia kini lebih cenderung mendapatkan jawapan daripada 'Encik Google'.



Malah menurut Encik Amrin, Anggota Parlimen dan badan Melayu/Islam juga harus sama-sama menyahut cabaran memanfaatkan teknologi ini bagi menyatukan masyarakat serta mengatasi cabaran dan masalah yang dihadapinya.



Beliau turut menggesa masyarakat untuk terus mencari keseimbangan agar dapat mencapai kecemerlangan dan merebut pelbagai peluang yang disediakan.



Selain itu, beliau turut menyeru bakat di kalangan masyarakat Melayu/Islam agar tampil mengatasi cabaran yang dihadapi masyarakat bersama.



"Saya harap dalam 50 tahun mendatang, perbincangan kita tidak akan berputar semula kepada isu dadah, perceraian dan sebagainya tetapi tentang bagaimana kita dapat mengubah cara kita mengajar dan keusahawanan pula pada masa akan datang.



"Saya yakin generasi ini akan mengharumkan nama masyarakat, bangsa dan agama kita," kata Encik Amrin.



Laporan tambahan NUR ADILAH MAHBOB




PANDANGAN PANEL



"Apakah jenis Islam yang kita mahu perjuangkan di negara ini? Adakah kita berpuas hati jika kita hanya umat Islam dari segi ritual dengan adanya banyak masjid, sembahyang, berpuasa dan sebagainya. Saya rasa itu tiada masalah. Tapi yang penting ialah bagaimana kita terapkan nilai Islam dalam kehidupan harian kita dan kita boleh faham bahawa nilai itu universal seperti keadilan, kemajuan, kesejahteraan dan lain-lain lagi. Selagi mana kita terapkan nilai tersebut, kita boleh menjadi orang Islam yang baik yang hidup dalam sederhana, taat kepada pemerintah dan bukan taat membabi buta tetapi percaya bahawa kita boleh menjadi rakyat yang baik."



- Dr Norshahril Saat, Zamil Institut Iseas-Yusof Ishak



"Cabaran unik bagi generasi muda sekarang ialah mereka lebih terdedah kepada lebih banyak sumber maklumat menerusi Internet, Facebook, e-mel dan sebagainya. Dengan lebih banyak maklumat, soalan pun lebih merangsang fikiran."



- Encik Mohamed Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, perancang bandar



"Golongan belia masih mencari jawapan bagi pelbagai soalan dan lebih cenderung kepada cara pemikiran yang progresif. Hasilnya, sesetengah daripada mereka merujuk kepada Internet bagi mendapatkan jawapan itu.



Namun, mereka mungkin boleh merenungkan juga apa yang dilakukan sebelum ini dan kaji bagaimana mereka boleh menyesuaikannya bagi masa akan datang."



- Encik Abdul Hakeem Mohd Yunos, mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS)



"Bagi saya, kemahiran amat penting. Ramai klien saya kurang berpendidikan dan daya usaha seperti SkillsFuture memang bagus tetapi kadang-kadang situasi tidak mengizinkan mereka menjalani latihan seperti majikan yang tidak memberi sokongan."



- Cik Siti Nuraisha Ahmad Tarmizi, pekerja sosial




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >