Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ghairah akhirnya sambut Raya di flat sendiri setelah flat BTO tertunda

Apr 17, 2023 | 05:30 AM



HASRAT berpindah ke rumah pertama mereka sendiri setelah melangkah ke jenjang pelamin pada Disember 2021 tergendala seketika bagi Cik Nurul Aisyah Azmi dan Encik Haikal Sufiyan Haizan apabila projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tertunda dek pandemik Covid-19.



Namun, setahun kemudian, kunci rumah baru itu akhirnya diserahkan kepada mereka dan kini mereka tidak sabar memulakan kehidupan di mahligai baru.



Tetapi, lebih menggembirakan, langkah berpindah ke rumah baru mereka itu diiringi dengan suasana dan semangat meriah Aidilfitri, di samping menanti ketibaan cahaya mata sulung mereka tidak lama lagi.



Oleh sebab ia rumah baru dan Hari Raya juga bakal menjelang, Encik Haikal, 28 tahun, berkata mereka berbelanja sekali lalu untuk keperluan rumah dan juga Syawal nanti.



Secara keseluruhan, pasangan itu telah menelan perbelanjaan sekitar $80,000 untuk keperluan seperti kerja ubah elok rumah, perabot, barang elektrik, perkakas dapur dan perhiasan rumah.



"Ini rumah pertama kami, oleh itu, kami tidak berkira sangat. Apa yang kami lihat selesa dan sesuai, kami beli. Alhamdulillah. Lagipun Hari Raya hampir tiba, jadi kami pun sekali harung berbelanja," kata Encik Haikal, seorang penganalisis barangan pengguna.



Isteri beliau, Cik Aisyah, 26 tahun, menambah mereka berasa ghairah memulakan hidup dalam rumah baru sempena Hari Raya dengan pasangan itu sudah pun membeli periuk untuk masak pada malam Hari Raya nanti seperti rendang dan sambal udang.



"Suami saya nak buat ketupat semua. Langsir pula akan dipasang pada Isnin. Permaidani mungkin kami akan ambil dari rumah ibu bapa saya.



"Perhiasan seperti bunga dan pokok pun semua sudah siap dibeli. Jadi dapat kami hias rumah cantik-cantik untuk Hari Raya. Memang tepat pula masanya apabila kami berpindah ke rumah baru, Hari Raya juga akan menjelma," kata beliau, pengurus akaun dalam industri pengiklanan.



Pasangan itu berkongsi bahawa mereka telah melakukan kerja-kerja ubah elok bagi hampir seluruh rumah lima bilik mereka di Tampines itu dengan tema moden.



Ini termasuk bagi ruang tamu, dapur, tandas dan bilik tidur utama.



Encik Haikal menambah bahawa mereka juga merancang mempersiapkan bilik untuk bayi mereka yang dijangka lahir pada 18 Mei ini.



Buat masa ini, pasangan itu sedang sibuk membersihkan rumah mereka yang baru selesai menjalani kerja ubah elok dengan Encik Haikal berkata mereka meminta pertolongan adik-beradik untuk sama-sama gotong-royong mengemas rumah supaya "semangat Raya itu ada".



"Sama ada rumah baru atau rumah lama, tidak mengapa. Yang penting, asalkan ada keluarga di samping kita. Itulah Hari Raya yang sebenar.



"Dengan adanya rumah baru kami sendiri ini, saya dan isteri berharap dapat memulakan amalan dan tradisi Hari Raya keluarga kami sendiri seperti masak sama-sama pada petang Hari Raya," kata Encik Haikal.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >