Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Great Eastern sumbang lebih $448,000 bagi sokong dua kebajikan dalam misi kehijauan dan sisa sifar

Dec 06, 2021 | 06:39 PM



SYARIKAT insuran serantau Great Eastern menyumbangkan lebih $448,000 bagi menyokong dua kebajikan sebagai sebahagian komitmen pada gerakan kemampanan bagi kehidupan.



Dua kebajikan ini adalah Dana Bandar Taman bagi menyokong gerakan ‘Sejuta Pokok’ kendalian Lembaga Taman Negara (NParks) dan Program Sekolah Mampan kendalian badan tidak mengaut untung Zero Waste SG, jelas Great Eastern dalam kenyataannya pada Isnin (6 Disember).



Menurut kenyataan itu lagi, eksekutif kanan Great Eastern turut menanam 30 pokok di Pusat Great Eastern dalam satu acara yang dirasmikan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Masyarakat merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann.



Ia adalah bagi meraikan ulang tahun Great Eastern ke-113 di Singapura serta ulang tahun ke-10 sayap Penasihat Kewangan, Penasihat Kewangan Great Eastern (GEFA).



Menerusi sumbangan kakitangan dan wakil kewangan Great Eastern, sebanyak $328,744 dikumpulkan bagi membiaya 1,429 pokok untuk ditanam serata Singapura.



Syarikat ini juga akan menanam pokok di Taman East Coast dan sepanjang Koridor Rel.



Langkah ini, tambah kenyataan itu, adalah bagi menyokong gerakan ‘Sejuta Pokok’ mengembalikan alam semesta di Kota Singa, sebagai sebahagian tunggak Kota Dalam Alam yang disisipkan dalam Pelan Hijau Singapura 2030.



Dilancarkan pada April 2020, usaha serata Singapura itu adalah bagi menanam lagi sejuta pokok menjelang 2030, menjadikan jumlah keseluruhan pokok di Singapura mencecah lebih lapan juta.



Sebagai tambahan, Great Eastern juga menyumbang $120,000 kepada Zero Waste SG untuk menggerakkan Program Sekolah Mampan pada tahun depan, inisiatif menyeluruh yang bertujuan membangun advokasi dan kesedaran terhadap sekitaran dalam kalangan pelajar sekolah menengah di sini sedang Singapura bergerak ke arah  masa depan sisa sifar.



Mulai Januari depan, Zero Waste SG dan Great Eastern akan mendekati beberapa sekolah menengah dalam kegiatan pendekatan pendidikan sebagai sebahagian Program Sekolah Mampan.



Pelajar akan juga diundang untuk menyertai Peraduan Sekolah Mampan yang bertujuan menjana huraian inovatif dan membangun tabiat mampan bagi jangka panjang.



Kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Great Eastern, Encik Khor Hock Seng:

“Sedang kami meraikan peristiwa penting dalam sejarah kami sebagai penyedia insuran utama di Singapura buat tempoh 113 tahun lalu, kami komited dalam membawa perbezaan di Singapura dan buat pelanggan kami.



“Perubahan iklim adalah cabaran sejagat buat semua generasi dan kami gembira untuk mainkan peranan kami dalam membantu Singapura membangun masa depan mampan menerusi usaha korporat.”



Menurutnya lagi, menanam pokok bagi Singapura lebih menghijau dan mempertingkat kesedaran sekitaran dalam kalangan belia hanyalah satu permulaan.



Dengan derma yang disalurkan kepada Dana Bandar Taman dan Zero Waste SG, pihaknya berharap dapat terus membawa perbezaan dalam masyarakat. 



Cik Sim Ann pula menambah:



“Amat menggalakkan untuk melihat Pelan Hijau SG meraih sokongan daripada sektor swasta dan manusia.



“Saya yakin sumbangan Great Eastern pada Dana Bandar Taman dan Zero Waste SG akan mencetus inspirasi buat banyak syarikat lain agar menjadikan kemampanan sebagai bahagian penting daripada program tanggungjawab sosial korporat.



“Dengan menanam pokok, mengurangkan sisa dan memupuk pengemudian sekitaran yang baik dalam generasi mendatang, kita boleh mencipta masa depan mampan buat Singapura dan bergerak ke arah Bandar dalam Alam secara bersama.”



Pengerusi Dana Bandar Taman, Profesor Leo pula berkata dengan sumbangan Great Eastern, lebih 1,400 pepohon tempatan  dapat ditanam untuk menyokong biodiversiti setempat.



“Ini kelak akan membawa manfaat buat generasi mendatang seperti mengurangkan suhu permukaan di Singapura bagi daya tahan iklim lebih baik,” katanya.



Naib Presiden Zero Waste SG, Cik Christine Amour-Levar, pula menambah sumbangan itu membolehkan pihaknya meneruskan usaha mendekati belia.



“Pendidikan adalah faktor penting dalam usaha mendesak secara global bagi melawan perubahan iklim dan ilmu mengenai fenomena ini membantu belia mengubah sikap dan menyesuaikan diri dengan apa yang sudah menjadi kecemasan global.



“Matlamat kami adalah terus menggembleng tenaga muda kita agar mengambil tindakan positif dan menjana strategi sisa sifar dalam masyarakat,” katanya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >