Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

GSA alu-alu kaedah undi bagi penuhi kuota haji tambahan

Sistem dapat saring bakal jemaah belum bersedia ke Tanah Suci, bantu mudahkan GSA uruskan saat akhir
Apr 12, 2023 | 05:30 AM



ENCIK Khairul Khalif Kamal Mustaffa dan isterinya telah menolak dua tawaran menunaikan haji sejak 2019 atas sebab-sebab tertentu.



Antara lain mereka bimbang mengenai risiko kesihatan dek pandemik Covid-19, belum cukup bersedia untuk menunaikan haji, dan tawaran ke Tanah Suci disampaikan terlalu lewat untuk mereka merancang penjagaan empat anak kecil mereka, yang sekarang berusia tiga hingga 10 tahun.



"Sudah tentu kami agak berat apabila menolak tawaran itu sebab kami pun tak tahu bila nama kami akan naik lagi," kata Encik Khairul, 37 tahun.



Selepas mendapat undangan ketiga mereka, Encik Khairul dan isterinya kini antara 900 bakal jemaah Singapura yang akan berangkat ke Tanah Suci pada Jun.



Demi mengendali isu persis dihadapi jemaah seperti Encik Khairul, Muis pada Isnin memperkenal sebuah skim undi baru yang membolehkan bakal jemaah menambah peluang mereka mendapat tempat melakukan haji sekiranya kuota ditambah oleh kerajaan Arab Saudi.



Muis berkata Skim Undian Terhad (LBS) itu - sebuah kaedah serupa diamalkan negara lain - direka bagi mengisi tempat haji tambahan dalam tempoh yang singkat secara adil dan cekap, dan disepadukan dengan portal MyHajSG.



Mereka yang layak menyertai skim itu harus memenuhi syarat tertentu yang ditetapkan Arab Saudi, termasuk umur dan kesihatan dan merupakan pemohon yang akan menunaikan haji buat kali pertama dan telah mendaftar dalam Sistem Pendaftaran Haji Awal (AHRS) antara 1 Januari 2013 dengan 31 Disember 2017.



Muis berkata ia berharap skim itu akan dapat "mengurangkan kegelisahan" yang bakal dihadapi bakal jemaah dan bagi memastikan mereka menimbangkan pelbagai faktor, daripada kos hingga kesediaan diri dari segi mental, fizikal dan keagamaan, sebelum membuat keputusan.



Ejen penjualan pakej haji dan umrah (GSA) menyambut baik langkah itu, selepas cabaran yang dihadapi mereka pada Jun 2022 apabila kuota haji ditambah kepada 900 jemaah daripada 407 orang hanya genap seminggu sebelum rombongan jemaah pertama dijadual berangkat ke Makkah.



Malah, beberapa GSA turut memerhatikan terdapat bilangan ketara pemohon haji yang menyertai kursus haji mereka mendedahkan mereka dipilih pada 2022 namun menolaknya atas sebab-sebab tertentu.



Setiausaha kehormat Persatuan Ejen Pelancongan Muslim Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad, yang juga Pengarah Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd, berkata antara 10 hingga 15 jemaah telah menyatakan demikian kepada pihaknya.



Beliau menambah bahawa kaedah undian baru itu akan dapat membantu menyaring bakal jemaah yang belum bersedia menunaikan haji daripada yang benar-benar bersedia dan boleh membuat keputusan serta-merta.



"Pada tahun lalu, apabila jemaah diberi tawaran pada saat akhir mereka bersikap ragu-ragu sama ada disebabkan faktor kewangan ekoran kos pakej haji lebih tinggi atau mereka berasa mereka kurang sedia dari segi ilmu dan pengetahuan agama.



"Ada yang menyatakan mereka tidak dapat membuat rancangan penjagaan buat anak atau orang tua mereka atau tidak berupaya mendapatkan cuti," katanya.



"Jadi sekurang-kurangnya hanya jemaah layak yang ditawar undian ini dan mereka yang ingin berbuat demikian adalah mereka yang bersedia, dan komited untuk haji."



Pengasas yang juga Pengarah Urusan Shahidah Travel and Tours, Encik Ayoob Yacoob Angullia, berkata berdasarkan pengalaman tahun lalu ada sebilangan bakal jemaah yang apabila mendapat surat undangan menyatakan mereka mahu pergi, tetapi pada saat akhir mereka tidak dapat meneruskannya.



"Jadi kaedah undian ini oleh Muis kami berharap ia dapat menapis dengan cekap dan pantas pemohon haji yang sudah memenuhi syarat.



"Ia juga akan sangat memudahkan pihak GSA jika pemohon yang datang ke kami adalah mereka yang sudah mengikuti kursus menasik (cara pelaksanaan) haji, dan bersedia dari segi kewangan, kesihatan, dan akan cakap 'iya, saya akan pergi'," tambah Encik Ayoob.



Menurut Muis, pada 2022 ia menghubungi hampir 4,000 pemohon dalam AHRS untuk mengisi tempat kuota haji tambahan dalam tempoh tiga hari bekerja.



Sehingga April 2023, terdapat 48,000 orang dalam AHRS. Berdasarkan kriteria kelayakan, kira-kira 20,000 layak menyertai LBS.



Setiap permohonan LBS akan memerlukan bayaran $100 namun Muis memberikan subsidi $50 bagi pemohon 2023 dan pemohon pada 2024 hanya perlu membayar $75.



Presiden Amtas, Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, berkata kaedah undian amat menggalakkan kerana ia memudahkan proses pemilihan jemaah yang sudah bersedia.



Namun, ia tidak mengecualikan GSA daripada cabaran saat akhir seperti tempahan penerbangan dan hotel.



Ini bermakna pilihan khidmat yang ditawar kepada jemaah tersebut mungkin berbeza daripada jemaah pakej yang sudah ditawar terdahulu, lantas jemaah harus bersedia menerima apa jua pilihan yang tersedia pada peringkat itu.



"Jemaah harus memahami, apa tujuan mereka ingin melakukan haji. Jika ingin berbuat demikian tidak kiralah hotel dekat masjid atau tidak kerana ibadah haji itu bukan setakat di Masjidil Haram di Makkah atau Masjid Nabawi di Madinah.



"Nasihat saya kepada jemaah yang serius ingin melakukan haji ialah buat persediaan dari sekarang, mulakan pengajian dan sertai kursus haji.



"Jangan tunggu hingga nama terpilih, kerana jika itu berlaku (seperti tahun lalu), kami akan hanya tinggal seminggu sebelum berlayar."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >