Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

GSA mula buat persiapan tampung kuota jemaah haji S'pura tahun ini

Jan 11, 2023 | 05:30 AM



SYARIKAT yang berminat menawarkan pakej haji tahun ini sudah mula membuat persiapan dan perancangan selepas pengumuman kelmarin di mana kuota jemaah haji bagi Singapura telah dikembalikan kepada paras prapandemik.



Beberapa ejen penjualan pakej haji dan umrah (GSA) yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata mereka sudah melancarkan kursus manasik haji serta menjangkakan tarikh keberangkatan, namun berkata masih terlalu awal untuk memberi butiran terperinci kerana pelantikan GSA bagi mengendali ibadah haji tahun ini belum diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Sementara kos pakej haji dijangka naik dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus tahun ini, keadaan Covid-19 yang kian berubah turut mendorong para GSA di sini untuk merancangkan langkah berjaga-jaga, termasuk bagi mengendali isu perubahan pada saat-saat terakhir.



Memberi respons terhadap berita kelmarin, Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Muslim Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata pihaknya mengalu-alukan kuota yang ditambah tahun ini.



"Ini kali pertama kuota haji diumumkan agak awal berbanding sebelum ini apabila ia selalunya diumumkan dekat atau pada bulan Ramadan," kata Setiausaha Kehormat Amtas itu.



"Ini juga akan memberi lebih masa kepada GSA dan juga jemaah untuk bersiap sedia dari segi kesihatan, fizikal, kerohanian dan ilmu pengetahuan mereka sebelum berangkat ke Tanah Suci," tambahnya, yang juga pengarah di syarikat Noor Mohamad Services & Travel.



GSA lebih bersedia dalam pelaksanaan haji, tangani ketidaktentuan tahun ini



BH telah menghubungi Presiden Persatuan Amtas Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat untuk mengulas tentang hal ini.



Namun, beliau tidak dapat membalas kerana sedang berada di Arab Saudi sebagai wakil Amtas untuk menghadiri sebuah Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Jeddah yang berlangsung hingga hari ini.



Kelmarin, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang turut hadir di persidangan itu, mengumumkan Singapura diberi kuota rasmi haji seramai 900 jemaah musim haji tahun ini.



Ini berbanding 407 tempat diberi kerajaan Arab Saudi tahun lalu, dengan tambahan lagi 493 tempat.



Namun, akhirnya seramai 890 warga Singapura menunaikan ibadah haji pada tahun lalu kerana 10 tidak mendapat keputusan negatif bagi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19.



Pada masa yang sama, sekatan perjalanan dan had umur terhadap jemaah juga akan dilonggarkan tahun ini, umum Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah, kelmarin.



Pengarah Urusan dan Eksekutif Jalaluddin Travel and Services Ptd Ltd, Cik Noor Faizah Mustaffa, berkata pihaknya sudah mengorak langkah sejak bulan lalu untuk melakarkan beberapa tarikh bagi pakej haji 2023, tanpa memberi perincian lanjut.



"Kami juga telah menubuhkan satu pasukan khas untuk bantu merancang persiapan, pengiklanan dan pergerakan haji kami," katanya.



Namun, syarikatnya kekal berwaspada terhadap keadaan Covid-19 yang kian berubah jika ia berupaya menjejas perancangan haji bagi jemaah di sini.



"Setiap tahun, ada sahaja cabaran yang perlu kami tangani. Sekiranya ada perubahan bilangan jemaah pada saat terakhir seperti tahun lepas pada tahun ini, kami sudah lebih bersedia," tambahnya.



Pemilik Kumpulan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia, yang kini hadir dalam persidangan di Jeddah itu sebagai wakil menawarkan insurans haji dan umrah bagi syarikat ST&T International, berkata pihaknya telah bersiap sedia dengan melancarkan kursus manasik haji pertama selama enam minggu pada 27 Januari ini, dan satu lagi kursus dua minggu selepas itu.



"Setiap kumpulan kami sasarkan seramai 300 orang, jadi 600 secara keseluruhannya.



"Ini sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga kerana apa yang kami pelajari daripada tahun lalu adalah jemaah yang menerima pengesahan tempat mereka lewat dan tidak berupaya menyiapkan diri sebelum berangkat," katanya.



Memberi perincian, Cik Rosilah Salim, pengurus Shahidah Travel & Tours, berkata kos bagi pakej haji tahun ini dijangka meningkat 15 hingga 20 peratus .



Pihaknya juga sedang melatih lagi 35 pegawai yang akan membantu jemaah semasa musim haji di Arab Saudi nanti, termasuk menempah produk tertentu bagi memudahkan pelaksanaan haji bagi jemaah.



"Namun mujur, berdasarkan pengendalian haji tahun lalu, jemaah lebih bersedia terhadap menanggung kos yang lebih tinggi, terutamanya sewaktu dalam pandemik.



"Kami juga menyediakan pelbagai pilihan pakej bagi jemaah agar dapat disesuaikan pada cita rasa dan kemampuan mereka," tambahnya.



Ustazah Juyda pula enggan memberi perincian lanjut berkenaan harga pakej yang dijangkakan tahun ini, namun berkata: "Daripada pengalaman kami mengendali Umrah hujung tahun lalu, kami sudah melihat ada kenaikan kira-kira 10 peratus bagi kos penginapan sahaja."



"Sedangkan umrah ada peningkatan kos, mustahil peningkatan tersebut tidak akan berlaku bagi haji," tambahnya.



Ustazah Juyda berkata antara cabaran yang bakal dihadapi tahun ini berbanding tahun lalu adalah kesihatan jemaaah.



Ini memandangkan kelayakan jemaah haji tahun ini tidak terhad kepada umur, seperti tahun lalu, di mana jemaah berusia 18 hingga 55 tahun serta mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya daripada Covid-19 sahaja dibenarkan melaksanakan haji.



"Jadi, terdapat lebih banyak risiko dari sudut kesihatan jemaah kerana ada sebilangan jemaah tahun ini yang akan menunaikan haji pada usia lebih tua," tambahnya.



"Selain daripada vaksinasi Covid-19, kami menggesa agar jemaah turut mengambil vaksin lain seperti influenza dan meningitis terlebih dahulu dan menjaga kesihatan mereka jika dipilih untuk melaksanakan haji tahun ini."




"Setiap kumpulan (kursus manasik haji) kami sasarkan seramai 300 orang, jadi 600 secara keseluruhannya.

Ini sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga kerana apa yang kami pelajari daripada tahun lalu adalah jemaah yang menerima pengesahan tempat mereka lewat dan tidak berupaya menyiapkan diri sebelum berangkat."

- Pemilik Kumpulan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia.



"...Terdapat lebih banyak risiko dari sudut kesihatan jemaah kerana ada sebilangan jemaah tahun ini yang akan menunaikan haji pada usia lebih tua.

Selain daripada vaksinasi Covid-19, kami menggesa agar jemaah turut mengambil vaksin lain seperti influenza dan meningitis terlebih dahulu dan menjaga kesihatan mereka jika dipilih untuk melaksanakan haji tahun ini."

- Setiausaha Kehormat Amtas dan juga Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad.




CARA MEMBUAT PERMOHONAN HAJI MELALUI PORTAL MYHAJSG



  • Muslim S'pura boleh bermohon menunaikan haji baru bagi jemaah haji tempatan di portal MyHajSG mulai 21 Februari ini.

  • Sebelum ini, permohonan itu telah dihentikan selama lebih dua tahun susuli penularan Covid-19 yang telah mendorong penangguhan ibadah haji di peringkat global.

  • Melalui portal MyHajSG, pemohon boleh melihat status permohonan mereka, meminda butiran pendaftaran serta membuat pembayaran secara langsung, mengikut keselesaan mereka.

  • Dilancarkan pada September lalu, portal MyHajSG merupakan satu wadah sehenti bagi memberi akses lebih mudah dan lancar dalam menguruskan permohonan bagi jemaah haji Singapura.

  • Pendaftar boleh melihat berapa ramai individu di hadapan mereka menurut urutan.

  • Pendaftar boleh log masuk menggunakan SingPass di laman MyHajSG di www.haj.muis.gov.sg untuk melihat status pendaftaran haji mereka pada bila-bila masa.

Sumber: Muis




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >