Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

GSA sedia buat penyesuaian bagi jemaah haji tambahan

Jun 22, 2022 | 05:30 AM



ADA yang buka pejabat sehingga lewat tengah malam dan apabila tiba di pejabat seawal 9 pagi semalam untuk memulakan operasi, beberapa bakal jemaah haji dilihat sudah pun menunggu di luar pintu.



Begitu sibuk beberapa ejen penjualan pakej haji (GSA) menguruskan pertanyaan-pertanyaan dan tempahan daripada bakal jemaah yang baru menerima undangan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini, berikutan kuota tambahan yang diberikan kepada Singapura, seperti yang diumumkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kelmarin.



Beberapa GSA yang dihubungi Berita Harian (BH) semalam berkata sejak pengumuman itu dibuat, mereka telah bekerja sehingga melepasi waktu kerja rasmi untuk memenuhi permintaan para jemaah yang mendapat undangan.



Pengarah Urusan kepada syarikat Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Cik Noor Faizah Mustaffa, berkata firmanya itu menerima banyak panggilan sejurus pengumuman itu dibuat.



"Sejak Isnin, kami mendapat panggilan (dari bakal jemaah haji) sehingga 11 malam. Kakitangan saya juga berada di pejabat dan bekerja hingga tengah malam.



"Pagi ini, kami kembali ke pejabat dan pendaftaran pertama datang pada pukul 9.15 pagi. Memang cukup sibuk," kata beliau.



Cik Noor Faizah juga berkata bakal jemaah yang datang ke pejabatnya di Changi Road itu begitu ramai sehingga beliau perlu mengasingkan barisan.



"Terlalu ramai yang ada di tingkat bawah (semasa pendaftaran). Oleh itu, kami menyewa bilik di atas untuk beri taklimat terlebih dahulu kepada jemaah. Mereka kemudian akan membuat pembayaran di pejabat di bawah," katanya, yang mempunyai lapan kakitangan untuk membantu bagi pendaftaran pakej haji itu.



Tinjauan BH di pusat beli belah Golden Landmark semalam juga menggambarkan situasi yang serupa - ramai bakal jemaah beratur untuk mendapatkan pakej haji mereka di TM Fouzy Travel & Tours dan Shahidah Travel & Tours.



Presiden Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, berkata pihaknya menyambut baik sambutan daripada jemaah meskipun berita baik itu datang kepada mereka secara mendadak.



"Kami mempunyai pakej yang pendek (15 hari) kerana kami memahami bahawa para jemaah mungkin susah mendapat cuti panjang, jadi kami menawarkan ia sebagai alternatif kepada mereka.



"Ada juga pakej sederhana, iaitu 29 hari, bagi mereka yang tiada masalah untuk mengambil cuti kerja.



"Alhamdulillah, pagi ini ramai yang datang ke pejabat kami untuk mendapatkan pakej-pakej itu," katanya.



Sebelum ini, Ustaz Fouzy berkata pihak GSA harus membuat penyesuaian, tempahan penerbangan, hotel dan sebagainya dengan segera.



Bagi Pemilik Kumpulan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia, beliau yakin tiada masalah bagi GSA untuk memenuhi keperluan jemaah-jemaah baru ini, terutama dengan penyesuaian di Arab Saudi nanti.



"Kami sudah membuat penyesuaian bagi tempahan penerbangan serta penginapan hotel. Rakan kami di Arab Saudi juga bersiap sedia dan tiada masalah (oleh kedua-dua pihak) kerana kami saling bantu membantu," kata beliau.



Jemaah Singapura yang bakal berangkat menyertai antara 10 pakej haji ditawarkan dua Ejen Penjualan Individu (IGSA) dan dua CGSA dilantik Muis.



Halijah Travels dan Shahidah Travel & Tours merupakan IGSA, sementara CGSA adalah Jalaluddin Travel & Services dan TM Fouzy Travel & Tours selaku ejen utama.



Syarikat Jalaluddin Travel & Services akan mengetuai konsortium meliputi Hagel Travel & Tours dan Noor Mohamad Services & Travel, manakala konsortium diketuai TM Fouzy akan meliputi Hamidah Travel & Tours dan Hahnemann Travel & Tours.



Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang bakal mengetuai kumpulan haji tahun ini, kelmarin menggesa para jemaah yang diberikan tawaran haji tahun ini untuk memberikan jawapan kepada Muis dengan segera.



"Memandangkan waktu yang sangat singkat, saya harap mereka yang terpilih akan segera memberitahu Muis keputusan anda kerana Muis perlu waktu secukupnya untuk semua urusan termasuk memproses visa," katanya dalam satu kiriman di Facebook kelmarin.




"Kami mempunyai pakej yang pendek (15 hari) kerana kami memahami bahawa para jemaah mungkin susah mendapat cuti panjang, jadi kami menawarkan ia sebagai alternatif kepada mereka.

Ada juga pakej sederhana, iaitu 29 hari, bagi mereka yang tiada masalah untuk mengambil cuti kerja.

Alhamdulillah, pagi ini ramai yang datang ke pejabat kami untuk mendapatkan pakej-pakej itu."

- Presiden Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat.



"Kami sudah membuat penyesuaian bagi tempahan penerbangan serta penginapan hotel. Rakan kami di Arab Saudi juga bersiap sedia dan tiada masalah (oleh kedua-dua pihak) kerana kami saling bantu membantu."
- Pemilik Kumpulan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >