Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Guru terima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan atas dedikasi

Jul 08, 2021 | 05:30 AM



SEMASA mengajar ejaan kepada anak muridnya, Encik Mohamad Faisal Jamain akan menyuruh mereka menulis setiap huruf perkataan itu di udara atau lebih dikenali sebagai 'air-writing'.



Tanpa disedari, usaha mudah guru Sekolah Rendah Qifa ini bukan sahaja membantu pelajar mengeja dengan cara yang menarik, malah secara tidak langsung membantu antara anak muridnya yang mengalami disleksia dan sukar mengeja.



Teknik tersebut akan dapat membantu mengekalkan ingatan pelajar terhadap perkataan yang baru diajar terutama sekali pelajar berkeperluan khas.



Ini merupakan antara usaha yang dilakukan guruberusia 33 tahun itu demi membantu murid-murid berkeperluan khas di sekolahnya.



Atas dedikasi dan komitmennya untuk memastikan setiap pelajar tidak ketinggalan dalam mendakapi ilmu semasa di sekolah, Encik Mohamad Faisal telah mendapat pengiktirafan semasa Majlis Pengurniaan Guru-Guru Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE, NTU), semalam.



Beliau merupakan antara enam guru yang menerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA).



Secara keseluruhan, sebanyak 4,143 pencalonan telah diterima daripada sekolah-sekolah dan orang awam bagi 1,654 guru dari 272 sekolah.



Mereka telah menerima anugerah itu daripada Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, semasa majlis dalam talian itu.



Encik Faisal yang sudah 11 tahun menjadi guru, berkata memang matlamatnya untuk memastikan bahawa setiap pelajar dapat meraih pendidikan yang sebaiknya, tidak kira latar belakang mahupun keadaan yang mungkin mereka alami.



"Kita tidak boleh melihat seorang murid yang berkeperluan khas itu sebagai murid yang mempunyai kekurangan.



"Sebaliknya kita perlu melihat dari sudut lain bahawa setiap murid itu ada cara belajarnya yang tersendiri.



"Adalah tugas kita sebagai guru melihat potensi itu dan menyediakan sokongan yang sewajarnya," katanya.



Ditanya apakah yang menjadi motivasinya untuk menjadi seorang guru, Encik Faisal dengan rendah hati berkata beliau sendiri merupakan antara murid yang satu ketika dahulu kehidupannya berubah kerana bantuan seorang guru.



"Saya masih ingat semasa di sekolah menengah sebelum menduduki peperiksaan GCE (Sijil Am Pelajaran) peringkat O, kami perlu membuat pembayaran awal untuk peperiksaan tersebut.



"Beberapa kali guru meminta saya membayarnya tetapi pada waktu itu keadaan kewangan keluarga saya tidak begitu mantap.



"Saya mempunyai lima adik-beradik dan ibu saya menjual kuih dan bapa seorang mekanik.



"Tapi, saya ingat sehingga hari ini bagaimana guru itu memanggil saya dan bertanyakan sekiranya saya mempunyai kesulitan membayarnya. Tanpa berfikir panjang, guru itu mengeluarkan duitnya sendiri untuk membayarkannya dahulu



"Itu yang membuat saya begitu terkesan sehingga hari ini dan membulatkan tekad saya untuk menjadi guru.



"Seorang guru yang melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya dengan ikhlas dan jujur, itulah satu pesanan ibu bapa saya yang sering saya amalkan sehingga hari ini," katanya.



Setiap penerima OYEA akan menerima trofi setiap satu dan sijil ucap jasa atau citation certificate.



Mereka juga akan ditaja sepenuhnya untuk menghadiri program pembangunan profesional luar negara dan mengongsi pengalaman profesional mereka dengan fraterniti pendidikan yang lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >