Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA: BICARA PERMOHONAN PAMPASAN PARTI LIYANI

Hakim: Dakwaan terhadap Parti berdasarkan bukti yang ada untuk kes diadili

Mahkamah Tinggi tolak permohonan pampasan bekas pembantu rumah terhadap Jabatan Peguam Negara
Jun 23, 2021 | 05:30 AM



HAKIM Mahkamah Tinggi Chan Seng Onn berkata Cik Parti Liyani gagal membuktikan secara pasti bahawa pendakwaan terhadapnya dilakukan secara "tanpa merit atau bertujuan mengganggu".



Beliau menolak permohonan pampasan sebanyak $10,000 oleh bekas pembantu rumah migran itu terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC).



Dalam penghakimannya sepanjang 102 muka surat, Hakim Chan, yang membebaskan Cik Parti daripada tuduhan mencuri daripada bekas majikannya tahun lalu, berkata:



"Keputusan mengenakan tuduhan terhadap Parti didasarkan pada bukti cukup hingga ada kes sesuai untuk dibawa ke pengadilan.



"Tidak sekali pun semasa perbicaraan Parti mengatakan bahawa ada perkembangan baru hingga pendakwaan terhadapnya harus segera dihentikan pada pertengahan perbicaraan."



Cik Parti, seorang warga Indonesia, dituduh mencuri barang-barang bernilai lebih $50,000 daripada keluarga Encik Liew Mun Leong, bekas pengerusi Changi Airport Group (CAG), semasa beliau menjadi pembantu rumah mereka.



Beliau didapati bersalah oleh sebuah mahkamah daerah dan dijatuhi hukuman penjara 26 bulan, tetapi dibebaskan oleh Hakim Chan pada September tahun lalu apabila rayuannya didengar Mahkamah Tinggi.



Beliau pulang ke Indonesia Januari lalu, namun memohon pampasan di bawah Seksyen 359 (3) Kanun Prosedur Jenayah - orang pertama di sini melakukannya.



Provisyen tersebut menyatakan bahawa jika tertuduh dibebaskan daripada sebarang tuduhan dan jika mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan bertindak secara "tanpa merit atau bertujuan mengganggu", mahkamah boleh memerintahkan pampasan hingga $10,000 diberi.



Cik Parti menggunakan pernyataan terhadap pelaksanaan proses pendakwaan, pernyataan terhadap kecukupan bukti yang mendukung permulaan dan penerusan perbicaraannya, dan pernyataan niat jahat atau tidak jujur.



Bagaimanapun, Hakim Chan berkata pernyataan-pernyataan itu gagal membuktikan bahawa pendakwaan Cik Parti dilakukan "tanpa merit atau bertujuan mengganggu".



Isu utama di hadapan hakim ialah tafsiran dan skop Seksyen 359 (3).



Hakim Chan berkata tujuan Seksyen 359 (3) ialah memberi ganti rugi atas kesalahan hukum yang dilakukan terhadap orang yang dibebaskan yang timbul daripada pendakwaan "tanpa merit atau bertujuan mengganggu".



"Pendakwaan yang dibawa atau dilanjutkan dengan niat baik dan dengan bukti cukup terhadap orang yang dituduh... tidak menjadikan pendakwaan itu 'tanpa merit atau bertujuan mengganggu' hanya kerana tingkah laku pendakwa pada prosiding itu tidak dapat diterima," kata beliau.



Beban bukti terletak pada pemohon, tambah Hakim Chan.



Beliau berkata ketidakpuasan Cik Parti terhadap tingkah laku pendakwa tidak menjadikan pendakwaan yang dilalui "tanpa merit atau bertujuan mengganggu".



Cik Parti antara lain mengatakan bahawa pihak pendakwa raya menanyakan perkara "remeh-temeh" semasa pemeriksaan balas dan gagal menilai barang-barang tersebut secara objektif.



Hakim Chan menegaskan: "Mahkamah ini bukan tempat meluahkan ketidakpuasan tentang cara tuntutan dilakukan oleh DPP (Timbalan Pendakwa Raya)."



Sebarang kesalahan sepatutnya diketengahkan semasa prosiding tatatertib, tambahnya.



Hakim Chan juga mendapati bahawa Cik Parti tidak membuktikan pernyataannya tentang niat jahat atau ketidakjujuran pihak pendakwa, berdasarkan tuduhan bahawa mereka tidak memberitahu beliau bahawa alat pemain DVD yang dikatakan dicurinya tidak berfungsi sepenuhnya.



Beliau berkata pendakwa sedang menghadapi prosiding tatatertib berkenaan hal itu.



Namun, Hakim Chan menambah bahawa jika pun pendakwa gagal memberitahu tentang kecacatan fungsi alat pemain DVD itu, ini tidak bererti pendakwaan Cik Parti dilakukan "tanpa merit atau bertujuan mengganggu".




"Keputusan mengenakan tuduhan terhadap Parti didasarkan pada bukti cukup hingga ada kes sesuai untuk dibawa ke pengadilan. Tidak sekali pun semasa perbicaraan Parti mengatakan bahawa ada perkembangan baru hingga pendakwaan terhadapnya harus segera dihentikan pada pertengahan perbicaraan... Pendakwaan yang dibawa atau dilanjutkan dengan niat baik dan dengan bukti cukup terhadap orang yang dituduh... tidak menjadikan pendakwaan itu 'tanpa merit atau bertujuan mengganggu' hanya kerana tingkah laku pendakwa pada prosiding itu tidak dapat diterima."
- Hakim Chan Seng Onn.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >