Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA EKSKLUSIF BERSAMA AMRIN AMIN

Harap lebih banyak pengendali F&B sokong daya usaha pemakanan sihat

Pelbagai inisiatif tersedia bagi bantu warga jadi lebih sihat
Dec 25, 2019 | 05:30 AM



PEMERINTAH telah mendapat sokongan daripada lebih 1,300 pengendali makanan dan minuman, pusat penjaja dan kedai kopi dengan 8,900 pusat lain di serata pulau bagi menyertai Program Pemakanan Sihat (HDP).



Pengendali makanan tersebut menawarkan sekurang-kurangnya satu pilihan makanan yang lebih sihat dalam menu mereka.



Ini merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 1,000 cawangan dan gerai yang menyertai program itu sehingga Disember 2018.



Mengulas perangkaan tersebut, Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan dan Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, berkata ia merupakan satu "peningkatan positif" dan beliau berharap lebih banyak dapat turut serta pada masa hadapan.



Menurutnya, dalam menyokong usaha pemerintah menggalak pemakanan berkhasiat, beberapa restoran nasi padang terkenal tempatan, seperti Rumah Makan Minang, Hajah Maimunah dan Sabar Menanti menawarkan pilihan lauk lebih sihat buat pelanggannya sejak tahun lalu.



Daya usaha ini juga disambut baik sekitar 100 syarikat khidmat katering halal setempat.



Ini dilakukan restoran tersebut dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).



"Antara perubahan yang dilakukan adalah dengan menggunakan bahan lebih sihat, termasuk beras bijian penuh dan minyak yang sihat dalam menyediakan hidangan kegemaran ramai seperti nasi padang," kata Encik Amrin.



Bagi memerangi penyakit kencing manis dalam kalangan anggota masyarakat Melayu pula, HPB juga telah memanfaatkan Ramadan dan Hari Raya lalu bagi menggalak orang ramai mengamalkan tabiat yang lebih sihat melalui kempen pendidikan awam.



Menerusi kempen "Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?" yang dilancarkan April lalu, ia bertujuan mendidik serta memberi kesedaran tentang kebaikan mengurangkan penggunaan gula dalam minuman.



Kempen pendidikan awam yang dijalankan selama dua bulan itu berjaya mendekati seramai dua juta penduduk Singapura menerusi wadah media utama, atau 'mainstream', sementara sejuta penduduk negara dalam platform media digital.



"Kita perlu mempunyai kempen yang sentiasa dapat mendekati orang ramai agar mereka tahu akan isu dan bahaya jika mereka terlalu banyak makan hidangan yang terlalu manis."



Menggiatkan usaha mereka, MOH dan HPB juga telah membentangkan strateginya dalam membantu warga Singapura dari segi pencegahan dan senaman.



Menurut Tinjauan Kesihatan Nasional 2010, sekurang-kurangnya 35 peratus masyarakat Melayu berusia 18 tahun hingga 69 tahun tidak melakukan kegiatan fizikal yang mencukupi.



Ini merupakan satu trend membimbangkan, menurut Encik Amrin lagi.



"Dari segi kesihatan fizikal, kita juga dapat melihat masyarakat kita kurang bergerak. Ini disebabkan adanya kemudahan yang tidak memerlukan kita bergerak dengan kerap. Contohnya, travelator (laluan pejalan kaki bergerak) serta kerusi roda bergerak dan alat mobiliti peribadi (PMD). Kita lihat ini semua semakin berleluasa dan sekali gus mengurangkan pergerakan," katanya.



Encik Amrin berpendapat masalah ini juga boleh dikaitkan dengan teknologi yang kian memudahkan kehidupan harian.



"Semakin kurang masa yang diluangkan bagi kegiatan riadah. Ini satu perkara yang membimbangkan dan perlu kita tangani," ujarnya lagi.



Lantaran itu, bagi menggalak orang ramai melakukan kegiatan fizikal dalam kalangan masyarakat Melayu, HPB telah memperkenal beberapa daya usaha seperti siri 'Gerak Gelak'.



Daya usaha yang diperkenal pada Julai tahun lalu itu mengajak orang ramai menyertai kegiatan berjalan kaki beramai-ramai di samping mempelajari cara mengamalkan gaya hidup sihat. Sehingga kini, seramai 3,000 peserta mengambil bahagian dalam empat siri 'Gerak Gelak' ini.



HPB juga memanfaatkan peluang bekerjasama dengan ejen penjualan pakej umrah dan haji (GSA) bagi memperkenal program 'Get Fit For Haj/Umrah'.



Daya usaha yang dimulakan pada November 2017 itu memberi jemaah peluang mengikuti program kegiatan jasmani selama enam bulan bagi meningkatkan tahap kesihatan mereka sebelum menunaikan haji dan umrah.



Sehingga September lalu, seramai 1,900 jemaah memanfaatkan daya usaha itu.



Menyusuli kejayaan program dan daya usaha yang diperkenal sejauh ini, Encik Amrin gembira ramai anggota masyarakat Melayu yang kian sedar akan masalah kesihatan dan mengambil langkah wajar.



"Lebih ramai orang dalam masyarakat kita tampak prihatin dengan masalah kesihatan dan telah ke hadapan serta mula melibatkan diri dalam program ini dan ia sangat menggalakkan.



"Ia mungkin bukanlah sesuatu yang baik memandang kepada perkara yang negatif, namun kita juga mahu orang ramai sedar bahawa terdapat masalah besar yang perlu ditangani segera.



"Bergerak ke hadapan, kami mahu melakukan lebih bagi meningkatkan kesedaran ini dan akan bekerjasama dengan lebih banyak pihak," ujarnya.




APA KATA AMRIN



Perlu Peralihan Minda



“Kalau anda lihat, perkara utama yang mahu kita lakukan dengan memperkenal program serta daya usaha yang pelbagai adalah dengan memperkasa diri dan ambil berat terhadap kesejahteraan individu dan keluarga mereka. Jadi, apa yang dilakukan pemerintah dalam menangani isu kesihatan semuanya berkait.”



Kurang Pergerakan Fizikal



“Dari segi kesihatan fizikal, kita juga dapat melihat masyarakat kita kurang bergerak. Ini disebabkan adanya kemudahan yang tidak memerlukan kita bergerak dengan kerap. Contohnya, travelator (laluan pejalan kaki bergerak) serta kerusi roda bergerak dan alat mobiliti peribadi (PMD). Kita lihat ini semua semakin berleluasa dan sekali gus mengurangkan pergerakan. Semakin kurang masa yang diluangkan bagi kegiatan riadah. Ini satu perkara yang membimbangkan dan perlu kita tangani.”



Penyertaan Masjid Dalam Jaga Kesihatan



“Ini sememangnya satu berita yang bagus, kerana jika dilihat kita mempunyai masjid di seluruh negara ini. Dan masjid yang terlibat akan menganjurkan pelbagai kegiatan yang memberi perhatian kepada empat bidang, iaitu pemakanan, kecergasan menerusi senaman, pemeriksaan kesihatan serta membantu buang tabiat merokok.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >