Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA: TREND HARGA TINGGI FLAT JUALAN SEMULA HDB

Harga flat jualan semula dijangka terus naik, cerminkan keyakinan dalam pasaran

Jul 09, 2022 | 05:30 AM



KENAIKAN harga flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) nampaknya masih belum ada redanya lagi.



Permintaan sihat serta keyakinan pasaran yang positif telah terus mendorong harga flat jualan semula HDB, khususnya di estet tidak matang di negara ini.



Trend ini dijangka berterusan selagi bekalan rumah jualan semula terbatas dan ramalan ekonomi negara yang terus kukuh, kata para pengamat industri.



Bulan lalu, harga flat di estet tidak matang melonjak lebih cepat, sebanyak 12.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala flat di estet matang naik lebih perlahan - 10.2 peratus - menurut perangkaan awal portal hartanah, 99.co dan SRX.



Secara keseluruhan harga flat jualan semula telah tumbuh 1.2 peratus pada bulan lalu, berbanding 0.5 peratus pada Mei.



Memberi pengamatannya, Ketua Kajian dan Kandungan PropNex Realty, Cik Wong Siew Ying, berkata kenaikan harga flat jualan semula buat 24 bulan berturut-turut tidak mengejutkan.



"Memang tidak mengejutkan yang harga flat jualan semula terus meningkat pada bulan lalu, didorong oleh permintaan perumahan yang sihat, bekalan flat jualan semula yang terbatas dan keyakinan pasaran yang positif di tengah-tengah ramalan ekonomi Singapura yang agak optimis kerana prestasi dagangan dan perkilangan yang rancak," ujar beliau.



Ini meskipun jumlah flat jualan semula susut sedikit - 0.8 peratus berbanding Mei dan merosot sebanyak 7.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu - dengan 2,139 urus niaga pada bulan lalu.



"Kejatuhan ini boleh disebabkan oleh unit flat jualan semula yang terbatas dalam pasaran di samping kemungkinan cerminan salah pemadanan jangkaan harga yang mula meninggalkan kesan," kata Cik Wong.



Namun demikian, memandangkan permintaan perumahan yang sihat, beliau menjangkakan urus niaga flat jualan semula HDB kekal kukuh bagi baki tahun ini, dengan jumlah flat tahunan boleh mencapai 28,000 pada tahun ini.



Menjelaskan lebih lanjut, Naib Presiden Kanan Kajian dan Analitik OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun, menarik perhatian bahawa jumlah flat yang terjual di estet tidak matang telah meningkat dengan kukuh, daripada 56 peratus pada Februari kepada 58.9 peratus pada Jun.



"Sedang harga flat jualan semula terus meningkat, lebih ramai pembeli diperhatikan telah beralih kepada estet tidak matang, yang harga flatnya sering kali lebih rendah daripada flat di kawasan matang," terang Cik Sun.



Secara umumnya, pengamat ditinjau menjangkakan trend peningkatan harga akan berterusan bagi baki tahun ini, dengan kenaikan di antara 7 peratus dengan 11 peratus.



Ketua kajian dan konsultasi ERA, Encik Nicholas Mak, berpendapat keprihatinan tentang kadar faedah dan kemungkinan kemelesetan ekonomi mungkin akan membuat segelintir pembeli rumah untuk beralih kepada flat Bina Mengikut Tempahan (BTO) kerana ini adalah lebih dimampui.



Ini kemudiannya boleh membataskan kadar kenaikan harga flat jualan HDB, jelas Encik Mak.



"Bagaimanapun, harga flat jualan semula HDB masih lagi boleh terus melonjak bagi baki tahun ini kerana permintaan daripada pembeli yang sama ada memerlukan rumah dengan terdesak atau tidak layak membeli flat BTO.



"Oleh itu, indeks harga jualan semula HDB rasmi boleh meningkat lagi sebanyak 7 peratus hingga 11 peratus pada tahun ini, berbanding tahun lalu.



Cik Wong pula menjangkakan:



"Dari segi harga, kami menganggarkan pertumbuhan di antara tujuh dengan sembilan peratus bagi flat jualan semula, pada tahun ini.



"Ini ditambahkan lagi apabila pemerintah berkata baru-baru ini bahawa ekonomi Singapura tidak dijangka mengalami kemelesetan atau stagflasi pada tahun depan.



"Ini boleh membantu mengurangkan keprihatinan dan terus merangsang keyakinan pasaran," terang Cik Wong.




"Memang tidak mengejutkan yang harga flat jualan semula terus meningkat pada bulan lalu, didorong oleh permintaan perumahan yang sihat, bekalan flat jualan semula yang terbatas dan keyakinan pasaran yang positif di tengah-tengah ramalan ekonomi Singapura yang agak optimis kerana prestasi dagangan dan perkilangan yang rancak."
- Ketua Kajian dan Kandungan PropNex Realty, Cik Wong Siew Ying.




"Sedang harga flat jualan semula terus meningkat, lebih ramai pembeli diperhatikan telah beralih kepada estet tidak matang, yang harga flatnya sering kali lebih rendah daripada flat di kawasan matang."
- Naib Presiden Kanan Kajian dan Analitik OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >