Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hargai, manfaatkan pilihan yang telah dibuat: Ye Kung

Beliau berkata demikian di sesi pembukaan Konvokesyen Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi Kelas 2023 pada Selasa
Oct 10, 2023 | 05:05 PM



Meskipun mempunyai pilihan yang pelbagai adalah penting dan berharga, terlalu banyak pilihan juga boleh mengelirukan dan menjejas daya membuat keputusan, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Justeru, apa yang lebih penting adalah keupayaan pelajar membuat pilihan yang terbaik berdasarkan pilihan dan keadaan yang mereka hadapi.

“Apabila berdepan dengan banyak pilihan, biasanya kita mahu membuat pilihan yang terbaik. Namun kemudian, kita mula bimbang sekiranya kita membuat pilihan yang salah, atau selepas pilihan dibuat, kita menyesal tidak membuat pilihan lain.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita menghargai apa yang kita sudah ada dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin,” jelas Encik Ong.

Beliau berkata demikian di sesi pembukaan Konvokesyen Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi Kelas 2023 pada Selasa.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi bahawa pelajar biasanya dinasihatkan supaya mengejar minat mereka, namun terdapat banyak sangat pilihan yang tersedia pada hari ini, dan bukan mudah bagi pelajar mengenal pasti laluan yang harus mereka ceburi.

Oleh itu, daripada menyesali pilihan yang diambil pada masa lalu atau bimbang tentang masa depan, Encik Ong menggalakkan para graduan supaya menghargai masa kini dan meneruskan pemikiran positif dan optimistik.

Beliau turut menekankan bahawa berbanding universiti tempatan yang lain, SUSS adalah istimewa kerana ia satu-satunya universiti autonomi yang mengutamakan pembangunan bakat yang dapat menyumbang kepada masyarakat dan sektor sosial, dan ia juga menyasarkan pelajar dewasa yang tidak pernah berpeluang memasuki universiti.

“Apabila SUSS mula ditubuhkan, ia hanya mempunyai 1,500 pendaftaran. Sekarang, pendaftaran SUSS hampir 20,000, dengan majoriti besar 14,000 adalah orang dewasa yang bekerja dan pelajar sarjana separuh masa.

“Mereka datang daripada semua lapisan masyarakat, dengan usia purata, 30 tahun. Setelah mengumpul pengalaman bekerja selama beberapa tahun, menjadikan mereka lebih matang dan bersedia, SUSS kemudian memberi mereka peluang memperoleh ijazah untuk keperluan peribadi dan kemajuan kerjaya mereka,” kata Encik Ong.

Pada tahun ini, SUSS menyaksikan kohort graduan terbesar dalam sejarahnya, dengan hampir 3,000 graduan dalam lingkungan usia 20 hingga 70 tahun.

Majlis konvokesyen itu diadakan dari 10 hingga 12 Oktober di dewan besar universiti tersebut.

Majlis pada Selasa itu turut dihadiri Penaung SUSS, Presiden Singapura yang baru dipilih, Encik Tharman Shanmugaratnam. Ia juga dipengerusikan buat pertama kali oleh mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, yang dilantik sebagai Canselor SUSS pada 1 Oktober 2023.

Beliau mengambil alih Encik Stephen Lee, yang telah memegang jawatan itu sejak 2018. Encik Lee sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengerusi Singapore Airlines dan sebagai ahli Majlis Penasihat Presiden, antara pelantikan lain.

Dalam ucapannya, Encik Ong turut memberi penghormatan kepada Encik Lee atas sumbangannya sebagai Canselor pertama SUSS.

“Apabila SUSS ditubuhkan, saya bertanya kepadanya sama ada dia boleh menjadi canselor pertamanya, dan beliau bersetuju. Beliau amat berminat dengan jenis graduan yang akan dibangunkan oleh SUSS.

“Beliau sangat percaya dengan misi sosial universiti. Beliau memberi perhatian khusus kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, dan cara mereka mendapatkan sokongan kewangan,” kata Encik Ong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >