Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Wong: Rombakan SkillsFuture bantu pekerja pertengahan kerjaya latih semula dan tingkat kemahiran agar kekal berdaya saing

Sep 30, 2023 | 1:10 AM
LEBIH BANTUAN BUAT PEKERJA PERTENGAHAN KERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menjelaskan lebih banyak usaha akan dikendalikan bagi pertingkat kemahiran pekerja pertengahan kerjaya dan melatih mereka semula agar kekal relevan.
LEBIH BANTUAN BUAT PEKERJA PERTENGAHAN KERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menjelaskan lebih banyak usaha akan dikendalikan bagi pertingkat kemahiran pekerja pertengahan kerjaya dan melatih mereka semula agar kekal relevan. - Foto LIANHE ZAOBAO

Usaha merombak SkillsFuture akan tertumpu kepada langkah membantu pekerja pertengahan kerjaya dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an tahun kekal berdaya saing, memandangkan kumpulan ini paling terdedah kepada gangguan teknologi, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Jumaat.

Beliau memetik contoh sebagai menggambarkan cara kebangkitan komputer peribadi dan Internet memberi kesan kepada kerja ibunya sebagai guru pada 1990-an.

“Ibu melakukan semua kerjanya pada mesin taip manakala menyesuaikan diri dengan komputer peribadi (PC) adalah sangat sukar baginya,” kata Encik Wong, sambil menambah bahawa ibunya bersara pada usia 55 tahun, kerana kecewa.

Beliau memberi amaran bahawa gangguan seperti ini akan berlaku lebih kerap apabila teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan generatif dan robot menarik perhatian dan, selanjutnya, menjejas lebih ramai orang berbanding pekerja kolar biru, guru dan juruteknik yang terjejas pada tahun 1990-an dek badai gelombang pengkomputeran.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata “banyak usaha” akan dilakukan untuk membantu pekerja pertengahan kerjaya menjalani latihan semula dan meningkatkan kemahiran untuk menyediakan mereka bagi perubahan yang berterusan di tempat kerja.

Kenyataan Encik Wong itu diluahkan semasa perbincangan panel di acara Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di Pusat NTUC sekitar One Marina Boulevard, bagi melancarkan laporan mengenai keprihatinan dan aspirasi pekerja.

Rakan panel Encik Wong ialah ketua buruh Encik Ng Chee Meng, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, dan Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF), Encik Robert Yap.

Presiden NTUC, Cik Mary Liew, menjadi moderator perbincangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg