Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Hilang dua kaki akibat kencing manis tak halang jual kuih Raya

Apr 21, 2023 | 05:30 AM



KEDEDUA kaki Cik Mardiana Hassan terpaksa dipotong akibat kencing manis, namun keadaan itu tidak menghambat beliau meneruskan kehidupan seperti biasa.



Setelah pemergian arwah suaminya akibat ulser gastrik pada tahun 2020, beliau menjadi pencari nafkah tunggal di rumahnya.



Cik Mardiana, 45 tahun, membuat perniagaan dari rumah (HBB) dengan menghasilkan dan menjual makanan tradisional Melayu seperti tahu telur, pengat pisang dan pulut hitam.



"Saya juga membuat juadah buka puasa seperti air katira dan kuih Raya setiap tahun pada bulan Ramadan dan menjual mereka melalui halaman Facebook saya, 'Kak Dee by Diana Hassan'.



"Alhamdulillah, perniagaan saya dapat membantu menampung keperluan seharian saya dan anak perempuan saya yang berumur 14 tahun," katanya.



Dibantu pembantu rumahnya, Cik Mardiana menggunakan kerusi roda untuk bergerak antara dapur dan ruang tamu dalam rumah flatnya di Yishun Street 41.



Berbilang botol diisi beraneka kuih-muih tersusun di atas rak di ruang tamunya ketika Berita Harian melawat Cik Mardiana baru-baru ini.



Bertentangan dengan rak itu pula, sebuah meja disandarkan pada dinding, penuh dengan perkakas dapur dan bahan-bahan kuih Raya.



Meja itu merupakan ruang kerja Cik Mardiana dan situlah beliau meluangkan masa membuat kuih Raya dan membungkusnya ke dalam botol sebelum menjualnya kepada pelanggan dan kedai di kawasan Yishun.



Walaupun kehilangan kededua kakinya, beliau kelihatan ceria ketika mencampurkan bahan-bahan ke dalam mangkuk pembancuh untuk membuat kuih.



Mengimbas kembali tentang kehilangan kaki kanannya pada tahun 2017, Cik Mardiana berkata:



"Apabila doktor beritahu kaki saya harus dipotong kerana terdapat jangkitan di kaki, saya berkecamuk dan rasa bimbang kerana kehidupan saya akan berubah.



"Doktor kata kaki saya harus dipotong untuk mencegah jangkitan merebak ke jantung.



"Jadi demi kesihatan saya dan dengan sokongan keluarga dan arwah suami saya, saya memutuskan untuk menjalani pembedahan," ujarnya.



Selepas memotong kaki kanannya, Cik Mardiana meneruskan kehidupannya seperti biasa sebelum kaki kirinya dipotong pada tahun 2021 akibat jangkitan sama.



Tetapi sebelum kaki kirinya dipotong, beliau mengalami satu lagi kepahitan hidup dengan pemergian arwah suaminya pada tahun 2020 akibat kehilangan darah yang berlebihan disebabkan ulser gastrik.



"Bila arwah suami sudah pergi, rasanya macam patah sayap dan kehidupan kelihatan gelap kerana saya tidak lagi mempunyai sesiapa untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah saya.



"Saya tidak tahu bagaimana membesarkan anak keseorangan. Tetapi lama kelamaan saya redha dengan apa yang berlaku," ujarnya dengan nada sebak sambil mengusap pipinya dibasahi air mata.



Walaupun kehilangan arwah suami dan kededua kaki, Cik Mardiana bertekad untuk meneruskan kehidupannya.



"Walaupun Allah mengambil kedua belah kaki saya, Dia telah kurniakan saya dengan dua belah tangan yang sihat dan minda yang masih boleh berfikir.



"Jadi saya harus positif, meneruskan kehidupan seperti orang biasa dan tunjukkan contoh baik kepada anak saya," tambahnya.



Beliau juga menegaskan bahawa ia tidak salah untuk golongan kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah sepertinya untuk meminta bantuan dari segi kewangan.



Malah, Cik Mardiana adalah seorang benefisiari Persatuan Derma Amanah Muslimin (MTFA) sejak 2017. Beliau mendapat tahu tentang persatuan itu apabila dirujuk oleh pusat dialisis ketika menghantar arwah ibunya yang menghidap sakit ginjal untuk sesi dialisis.



"Alhamdulillah, di Singapura terdapat banyak badan Melayu/Islam yang menyediakan bantuan dan salah satunya adalah MTFA.



"Saya sangat bersyukur menerima bantuan kewangan daripada mereka kerana ia membantu meringankan perbelanjaan harian saya dan anak saya," katanya.



MTFA telah menyokong golongan kurang berkemampuan sejak penubuhannya pada tahun 1904. Di bawah anak syarikatnya, MTFA Ihsan Aid, persatuan itu menyediakan sokongan kewangan dalam bentuk wang tunai dan baucar runcit kepada lebih 500 benefisiari.



Selain sokongan kewangan, ia menyediakan sokongan sosial melalui pelbagai aktiviti seperti pengagihan makanan sepanjang Ramadan dan Aidiladha, serta program pembangunan untuk memperkasakan benefisiari dengan kemahiran hidup yang relevan.




"Walaupun Allah mengambil kedua belah kaki saya, Dia telah kurniakan saya dengan dua belah tangan yang sihat dan minda yang masih boleh berfikir.

Jadi saya harus positif, meneruskan kehidupan seperti orang biasa dan tunjukkan contoh baik kepada anak saya."

- Cik Mardiana Hassan, 45 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >