Identiti Muslim SG sudah resap dalam jiwa masyarakat: Alami, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

WAWANCARA BERSAMA PRESIDEN MUIS YANG BAKAL UNDUR DIRI

Identiti Muslim SG sudah resap dalam jiwa masyarakat: Alami

Masyarakat papar nilai positif seperti daya tahan keagamaan, penerimaan vaksin dalam harungi pandemik
Jul 31, 2021 | 05:30 AM

NILAI-NILAI di bawah Identiti Muslim Singapura (SMI) sudah meresap dalam jiwa masyarakat Melayu/Islam di sini, kata Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohammad Alami Musa.

Bahkan dalam pandemik ini, masyarakat memaparkan nilai seperti daya tahan keagamaan - salah satu ciri di bawah SMI - dalam mengamalkan agama meskipun dengan sekatan yang menjejas masjid, ibadah korban dan haji, misalnya.

Salah satu lagi nilai yang ditonjolkan dalam pandemik ini ialah sikap progresif dalam pendekatan terhadap vaksin, yang dinilai dan diterima sebagai halal, kata Haji Alami.

"Ini semua berkenaan SMI, meskipun kami tidak nyatakannya setiap kali sesuatu berlaku tetapi ia sudah meresap dalam masyarakat kita. Saya fikir lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menjelaskannya kepada masyarakat," kata Haji Alami.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan media mengenai pencapaian dan cabaran dalam penggalnya sebagai Presiden Muis yang berakhir bulan depan.

Halal Home Based Business
Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Savour The Flavour by Chef Im

Savour The Flavour ingin menyajikan makanan yang berkualiti...

Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

SMI diolah Muis lebih 15 tahun lalu, setelah masyarakat melalui tempoh muhasabah selepas kejadian 9/11 dan penangkapan anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah - antara tempoh yang paling mencabar dilalui Haji Alami semasa penggalnya sebagai Presiden.

Merenung pencapaian Muis, Haji Alami berkata perkara yang paling dibanggakannya ialah pembangunan asatizah dan cendekiawan dalam sektor keagamaan, serta pelbagai aspek lain daripada penyelarasan sistem madrasah hingga semakan pembelajaran Islam untuk kanak-kanak dan dewasa.

"Ini adalah sesuatu yang Muis telah lakukan dengan baik dan kami telah menyumbang kepada pembangunan sosio-agama masyarakat Muslim Singapura, dan saya selalu tekankan, dalam konteks Singapura berbilang agama dan sekular kerana amalan Islam harus berhubung dengan masyarakat yang kita hidup bersama," ujarnya.

SEBENARNYA MAHU UNDUR LEBIH AWAL

Haji Alami, 65 tahun, mengundur diri selepas 18 tahun menyandang jawatan tersebut - 10 tahun sebagai Presiden eksekutif dari 2003 hingga 2013, dan kemudian lapan tahun sebagai Presiden bukan eksekutif. Ini setelah fungsi eksekutif dan lembaga Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dipisahkan pada 2013.

Dalam wawancara itu, Haji Alami berkata beliau sebenarnya mahu mengundur diri pada 2013, tetapi telah diminta untuk kekal sebagai Presiden bukan eksekutif.

Tiga bulan lalu, beliau menulis surat kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, untuk menyatakan hasratnya mengundurkan diri.

Haji Alami akan meneruskan pekerjaan tetapnya sebagai Ketua Program Pengajian Hubungan Silang Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

TIDAK GENTAR DENGAN KONTROVERSI

Ditanya mengenai beberapa kontroversi yang dihadapi Muis dalam beberapa bulan lalu, termasuk isu tuduhan salah laku, Haji Alami berkata beliau tidak rasa 'gentar' atau 'cemas' kerana Muis mempunyai asas kukuh untuk membetulkan kesilapan.

"Muis ialah badan berkanun yang tertakluk kepada undang-undang negara dan peraturan perkhidmatan awam yang sangat ketat.

"Kami ada proses dalam Muis. Kalau ada sesuatu yang salah, ada proses untuk membetulkannya. Kalau ada pegawai yang buat kesalahan, kami ada proses untuk ambil tindakan. Kalau ada kelemahan, kami akur dan akan membuat pembaikan.

"Muis sudah mempunyai landasan kukuh. Kami tidak gentar atau cemas. Yang penting, kami mesti buat yang betul," ujarnya.

Beliau akur, dalam dunia hari ini, orang ramai bebas menerbitkan kritikan terhadap Muis di media sosial, dan Muis perlu pantas memberi respons.

MENGENAI PENGGANTINYA

Jawatan Haji Alami akan diambil alih Encik Saat Abdul Rahman, yang juga Editor Berita Harian/Berita Minggu.

Mengulas mengenai penggantinya, Haji Alami berkata Encik Saat amat kenal dengan fungsi, dasar dan cabaran Muis.

"Saya berharap beliau boleh menyalurkan kepakaran dan pengetahuannya untuk memperkukuh kapasiti perhubungan awam Muis," ujarnya.

Mengenai keprihatinan sesetengah pihak tentang kemungkinan wujudnya pertikaian konflik dengan pelantikan seorang pemimpin media sebagai Presiden Muis, Haji Alami berkata beliau tidak melihatnya sebagai satu isu yang perlu dibimbangkan.

"Kami perlu percaya terhadap integriti individu dan pertubuhan mengenai cara wajar yang perlu dilakukan. Apa-apa salah laku, anda tidak boleh sembunyikannya dan akan ada wadah untuk mengatasinya.

"Ketua eksekutif Muis yang mengawal akses dan aliran maklumat akan memastikan terdapat layanan adil kepada semua media di Singapura," ujar Haji Alami.

Bagi dirinya sendiri, beliau akan meninggalkan Muis tanpa rasa kesal, meskipun beliau akur ada masalah yang timbul seperti episod kambing korban yang lambat sampai dan masalah visa haji.

"Saya tidak menyesal undur diri tetapi saya sedih kerana saya meninggalkan ramai rakan baik di Muis. Mereka telah menjadi keluarga saya.

"Tugas di Muis ini bukan pasal kerja sahaja. Ia soal jiwa raga, dan kerohanian. Ia bukan mengenai sasaran prestasi atau KPI, ia soal kemanusiaan dan hubungan dengan orang ramai," ujar Haji Alami sambil menahan sebak.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map