Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

IMDA lancar dana $5j sokong media tempatan dalam teknologi virtual

Dec 08, 2022 | 05:30 AM



PENGUASA Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah melancarkan sebuah Dana Inovasi Pengeluaran Virtual sebanyak $5 juta untuk menyokong industri media tempatan membina keupayaannya dalam teknologi pengeluaran virtual.



Ini turut merangkumi beberapa usaha bina kemahiran dan latihan di luar negara serta kursus, bengkel dan kelas pakar yang bakal dilancarkan dalam tempoh setahun mendatang untuk profesional media di sini.



Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Perhubungan dan Penerangan), Encik Tan Kiat How sewaktu pembukaan acara Pasaran dan Forum TV Asia|Skrin Singapura (AFT|SS) semalam.



Dalam kenyataannya semalam, IMDA ingin menyokong media tempatan dalam penggunaan teknologi tersebut agar dapat mengatasi pelbagai hambatan lokasi yang bakal dihadapi jika ingin membuat sesuatu rakaman.



Ini termasuk penutupan jalan, yuran dan permit yang perlu dibiayai untuk menggunakan lokasi tersebut, sewa serta cabaran cuaca, dan pembinaan set bagi melakukan rakaman.



Menerusi teknologi itu, ia menggunakan skrin LED yang berupaya memaparkan sekitaran realistik di latar belakang yang dipacu enjin permainan video sesuai bagi rakaman adegan filem atau televisyen dan kamera juga akan dapat merakam pelakon serta kesan visual secara langsung.



"Teknologi ini menawarkan peluang unik bagi Singapura mengatasi kelemahan fizikal kami seperti kawasan bagi rakaman yang terhad serta ruang untuk membina set rakama yang luas," kata penguasa itu.



Selain membolehkan sektor media menghasilkan kandungan yang tidak dapat dilakukan sebelum ini menerusi teknologi itu, terdapat juga tanda yang kuat daripada pemain media global bahawa teknologi pengeluaran virtual itu akan menjadi satu kaedah normal dalam industri, lantas menjadi satu dorongan bagi industri tempatan menggunakan teknologi itu, tambah IMDA.



IMDA akan melakukan daya usaha bina keupayaan media setempat menerusi pendekatan dua peringkat.



Pertama, penguasa itu telah bekerjasama dengan Sekolah Televisyen dan Filem Kebangsaan (NFTS), United Kingdom untuk menyesuaikan kursus Sijil Produksi Visual sekolah tersebut bagi memenuhi keperluan industri Singapura.



15 pensyarah, jurulatih dan profesional dalam industri akan menerima latihan NFTS itu dari Disember 2022 hingga April 2023.



Beberapa bengkel serta kelas pakar anjuran pelbagai pakar dalam industri turut akan disediakan dalam tempoh setahun mendatang.



Kedua; IMDA akan menyokong syarikat tempatan yang berminat meneroka teknologi itu untuk mencipta kandungan pendek seperti video muzik, filem pendek dan iklan antara lain, dengan membiayai 50 peratus kos projek mereka.



Syarikat yang berminat berbuat demikian boleh menghantar usulan konsep mereka menerusi lelaman go.gov.sg/vpinnovationcall. Tarikh tutup penghantaran ialah 15 Februari 2023.



Selain itu, IMDA juga sedang bekerjasama dengan syarikat Epic Games, yang telah membangunkan kemudahan mencipta permainan video dan visual tiga dimensi (3D) terkemuka, Unreal Engine untuk mengadakan cabaran seindustri suku pertama tahun depan.



Ini bagi menggalakkan firma di sini membuat eksperimen menggunakan teknologi itu.



Peserta yang disenarai pendek akan menerima sokongan mentor dan latihan serta hadiah wang daripada IMDA.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >