SEBUAH syarikat pengimport produk makanan didenda $5,000 oleh mahkamah semalam kerana membawa masuk secara terlarang sayur dan buah segar ke Singapura untuk dijual.
Menurut satu kenyataan bersama Agensi Makanan Singapura (SFA) serta Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) semalam, dua agensi itu sedang mengadakan operasi bersama pada 17 November 2020 apabila sebuah lori membawa produk makanan bagi JQA Pte Ltd ditahan oleh pegawai ICA di Komand Woodlands.
Kes tersebut kemudian dirujuk kepada SFA.
"Siasatan SFA mendapati bahawa syarikat itu mengimport secara terlarang kira-kira 362.4 kilogram sayur dan buah segar yang tidak diisytihar atau jumlah yang diisytihar kurang daripada yang sebenarnya dalam konsainan yang diimport dari Malaysia itu.
"Kesemua konsainan yang terlarang dirampas," ujar SFA dan ICA.
Dalam pada itu, pengarah syarikat itu, Encik Tan Kar Jiun, didenda $5,000 kerana gagal mengelakkan kesalahan tersebut.
Di Singapura, semua makanan yang diimport ke negara ini harus memenuhi syarat SFA.
Menurut kenyataan bersama itu lagi, buah dan sayur hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen dan setiap konsainan harus diisytihar dan diiringi dengan permit import sah.
Sayur yang diimport secara terlarang tidak diketahui sumbernya dan boleh mewujudkan risiko keselamatan makanan.
Jika sabit kesalahan, mereka yang mengimport sayur dan buah segar secara terlarang boleh didenda hingga $10,000 dan dipenjara hingga tiga tahun.