Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAHAS BELANJAWAN: EHWAL MASYARAKAT ISLAM

Isu halal: Kebersihan, harga produk turut diutamakan

Masagos turut terangkan pendirian pemerintah tangani isu sensitif
Mar 09, 2021 | 05:30 AM



MESKIPUN rangka kerjasama dengan negara lain bagi sistem pensijilan halal perlu untuk memudahkan pergerakan produk halal, keperluan Singapura serta masyarakatnya tetap akan diutamakan.



Justeru, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memastikan proses pensijilan halal yang dilakukan di bawah undang-undang serta peraturan sedia ada di Singapura bukan sahaja memastikan makanan itu halal tetapi menitikberatkan isu kebersihan dan harga produk, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Beliau berkata demikian dalam responsnya kepada Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) yang telah meminta kemas kini tentang kerjasama Muis dengan Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB).



"Keperluan Singapura dan masyarakatnya akan diutamakan, barulah perkara lain akan dipertimbang untuk membentuk rangka kerja yang konsisten dan jelas," kata Encik Masagos dalam perbahasan berkaitan isu masyarakat Melayu/Islam di Parlimen semalam.



Katanya, beliau akan mempertimbangkan apa yang diperlukan Singapura dan pada masa yang sama negara lain juga akan melihat kepentingan masing-masing.



Encik Masagos turut berkata beliau ingin meyakinkan masyarakat bahawa Muis mengambil pendekatan yang holistik dan proaktif dalam memantau dan memastikan semua syarat di bawah proses pensijilan halal dipatuhi, termasuk dalam mengiktiraf badan sijil halal asing.



Keperluan unik berdasarkan konteks negara berbeza turut dititikberatkan dalam mempertimbangkan satu lagi isu yang dekat di hati masyarakat iaitu pemakaian tudung dalam pekerjaan tertentu.



Dalam responsnya kepada anggota pembangkang Encik Faisal Manap (GRC Aljunied) yang bertanyakan mengapa Singapura tidak boleh mencontohi negara seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom yang membenarkan pekerja untuk memakai tudung, Encik Masagos berkata:



"Banyak perkara yang kita tak contohi, walaupun negara lain melakukannya.



"Sebagai warga Singapura, kita lakukan apa yang baik untuk Singapura."



Encik Masagos menggesa supaya isu sensitif tersebut dipertimbangkan dengan menitikberatkan keharmonian sosial antara bangsa dan agama di Singapura.



Turut menyentuh tentang isu tersebut, Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman berkata isu berkaitan ruang bersama perlu dipertimbangkan dengan teliti.



"Pemimpin agama dan masyarakat menyokong pendekatan ini kerana mereka faham isu-isu seperti ini, terutama sekali yang melibatkan isu sensitif agama dan bangsa, cukup kompleks dan sebarang tindakan berkaitan tidak boleh diambil remeh," ujarnya.



Sementara itu, dalam memberi penjelasan berkaitan isu ajaran sesat yang diketengahkan Encik Faisal, Encik Masagos berkata Muis mengambil serius isu tentang ajaran yang boleh menyesatkan masyarakat.



Katanya, Muis akan menilai aduan yang diterima dan mengambil langkah sesuai termasuk dengan mengeluarkan fatwa, kaunseling dan mendidik masyarakat awam.



"Jika perlu, Jawatankuasa Fatwa juga akan mengeluarkan fatwa dan berkongsi maklumat relevan dengan masyarakat awam untuk menghentikan penyebaran ajaran sesat dalam masyarakat dengan serta merta," ujarnya.




"Tentang perkara yang dilakukan negara lain, memang banyak perkara yang kita tak contohi, walaupun negara lain melakukannya. Sebagai warga Singapura, kita lakukan apa yang baik untuk Singapura."
- Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad tentang sebab Singapura tidak mencontohi negara lain yang membenarkan pekerja berseragam memakai tudung




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >