KEJOHANAN PENCAK SILAT SEDUNIA

Juara dunia disambut meriah

DEWAN ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi penuh dengan ahli keluarga, peminat serta penyokong yang menunggu kepulangan pasukan silat Singapura dengan penuh keghairahan malam kelmarin.

Sejurus kedua-dua juara dunia, Muhammad Shakir Juanda dan Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, melangkah keluar dari pintu ketibaan, sorakan kuat memecah suasana, dengan mereka berdua dipeluk erat ahli keluarga.

Mereka disambut dengan penuh kebanggaan atas prestasi baik dalam Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-17 di Bali, Indonesia, baru-baru ini.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga penaung Persekutuan Silat Singapura (Persisi), turut hadir bagi menyambut kepulangan pesilat tanah air itu.

Encik Masagos melahirkan kebanggaannya terhadap pencapaian pasukan silat Singapura itu.

"Olahraga silat selalu memberikan prestasi yang konsisten. Setiap kali mereka keluar bertanding, kami berdebar-debar menunggu kemenangan mereka.

"Kali ini, mereka pulang dengan dua emas, satu perak dan lapan gangsa yang merupakan satu pencapaian yang sangat baik.

"Berbanding dengan pasukan lain, pencapaian ini menunjukkan prestasi yang setanding," kata Encik Masagos.

Beliau menambah dengan pencapaian itu, diharapkan menjadi satu petanda bahawa sukan silat akan terus berkembang di Singapura.

"Sebagai orang Melayu, kita harus bangga kerana sukan silat satu-satunya identiti kuat bagi bangsa kita," ujarnya lagi.

Bagi juara dunia buat kali kedua, Sheik Farhan, 18 tahun, kemenangan berulang itu sangat memuaskan.

"Kemenangan ini bagi keluarga, anggota pasukan lain dan negara saya.

"Saya berterima kasih kepada semua yang telah membantu saya selama ini seperti rakan sparring saya yang telah membantu mempersiapkan diri sebelum pertandingan.

"Pertandingan besar seterusnya ialah Sukan SEA dan saya berharap dapat memenangi pingat emas lagi," kata pelajar Politeknik Nanyang (NYP) itu yang memenangi juara kelas J (90-95kg).

Shakir, yang berjaya mengambil semula kemenangannya bagi kelas I (85-90kg) setelah tewas di kejohanan tahun lepas, juga gembira dapat bangkit semula.

"Saya sangat gembira dan bersyukur dengan pencapaian ini.

"Perjalanan ini telah terbukti mencabar dengan kecederaan dan pemulihan yang perlu saya lalui tetapi saya tetap bersyukur dapat memenangi juara dunia sekali lagi.

"Memandang ke hadapan, apabila menjelang Januari tahun depan, semuanya akan bermula lagi. Saya akan mengikuti program latihan yang telah dilakarkan.

"Dengan pencapaian kami ini, diharapkan dunia pencak silat akan terus berkembang dan orang ramai dapat mengenali lebih rapat lagi sukan silat," ujar Shakir, 28 tahun, yang muncul juara dunia dalam Kejohanan Pencak Silat Sedunia di Chiang Rai, Thailand, pada 2012.

Waktu Solat

Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29
3 HR PSI: 42
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.