SEBANYAK 361 kes demam denggi dilaporkan minggu lalu - jumlah mingguan tertinggi setakat ini tahun ini, umum Agensi Sekitar Kebangsaan (NEA) pada Selasa (15 Dis).
Walaupun bilangan mingguan lebih tinggi pernah direkodkan dalam tempoh dua tahun lalu, dengan jumlah tertinggi 891 kes tahun lalu dan 842 kes pada 2013, ia berlaku sekitar Jun dan Julai - bukan pada akhir tahun.
Empat orang telah meninggal dunia akibat demam denggi tahun ini, tiga dalam beberapa bulan lalu.
Terkini ialah Rabu lalu apabila seorang wanita berusia 59 tahun meninggal dunia di Hospital Khoo Teck Puat. Beliau tinggal di Jalan Minggu, di Upper Thomson, sebuah kelompok denggi aktif.
Walaupun jumlah kes denggi dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berkurangan kira-kira separuh berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah nyamuk Aedes bertambah dua kali ganda.
NEA berkata cuaca lebih panas daripada biasa pada akhir tahun ini, disebabkan oleh fenomena El Nino, boleh menyebabkan tempoh pembiakan nyamuk lebih pendek dan masa pengeraman virus denggi lebih pendek.
Serotip DENV-2, virus denggi paling dominan sebelum ia digantikan oleh DENV-1 pada 2013, kini telah kembali semula.
Kes denggi yang disebabkan oleh serotype DENV-2 telah meningkat, membentuk separuh daripada keseluruhan kes denggi di Singapura.
Perubahan jenis yang dominan biasanya menandakan jumlah jangkitan lebih tinggi kerana bilangan orang yang mempunyai imuniti daripadanya kurang.
Sebanyak 10,142 kes denggi dilaporkan sehingga 12 Disember.
Pada keseluruhan tahun lalu, terdapat 18335 kes dengan lima kematian tempatan.
Terdapat 60 kelompok denggi aktif sehingga Isnin (14 Dis), dengan 114 kes direkodkan dalam kelompok terbesar di Tampines Avenue 3 dan Avenue 4, dan Tampines Street 81 dan Jalan 91.
Kelompok paling lama yang masih ada, yang wujud sejak 13 Oktober, ialah di estet Eastwood di Bedok.
NEA berkata sesiapa yang dijangkiti denggi perlu menggunakan bahan penghalau nyamuk untuk mengelakkan nyamuk menggigit mereka dan menjangkiti orang lain, dan mereka yang mempunyai gejala denggi harus berjumpa doktor.