Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kadar inflasi S'pura terus naik pada Nov

Kadar inflasi utama naik 1.6%, kadar inflasi keseluruhan naik 3.8%
Dec 24, 2021 | 05:30 AM



KADAR inflasi keseluruhan dan inflasi utama Singapura terus meningkat pada November, selepas kededuanya mencapai kadar tertinggi dalam masa beberapa tahun pada bulan sebelumnya.



Kadar inflasi utama, yang tidak termasuk sewa dan kos pengangkutan peribadi, meningkat 1.6 peratus bulan lalu berbanding 1.5 peratus pada Oktober, di tengah-tengah kos perkhidmatan yang melonjak, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) semalam.



Pengamat telah menjangkakan kadar inflasi kekal tidak berubah pada 1.5 peratus.



Kali terakhir kadar inflasi utama lebih tinggi adalah pada Mac 2019, apabila ia mencecah 1.7 peratus.



Kadar inflasi utama, yang mencerminkan lebih tepat trend di sebalik harga pengguna, menjadi kayu ukur yang dipantau rapat MAS dalam menyemak semula dasar kewangan Singapura.



Ini dijangka meningkat lebih tinggi pada bulan-bulan mendatang.



MAS dan MTI berkata kos import dan buruh yang melambung di samping pemulihan dalam kegiatan ekonomi domestik, akan menyokong kenaikan kukuh inflasi utama pada suku mendatang.



Kadar inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.8 peratus pada November, berbanding 3.2 peratus pada Oktober - yang merupakan kadar tertinggi dalam masa lapan tahun.



Menurut kenyataan kededua agensi, kenaikan tersebut didorong oleh kadar inflasi pengangkutan privet lebih kukuh dan kadar inflasi utama lebih tinggi.



Ini melebihi ramalan kenaikan 3.4 peratus oleh pengamat.



Perangkaan menunjukkan inflasi pengangkutan privet meningkat kepada 17.9 peratus berbanding 14.3 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan harga kereta lebih tinggi.



Sementara itu, kos gas dan elektrik juga mencatatkan kenaikan lebih tinggi, sebanyak 10 peratus pada November, berbanding 7.8 peratus pada Oktober.



Ini kerana jumlah isi keluarga yang melanggani pelan harga standard elektrik telah merosot.



Langkah beberapa peruncit untuk mengundurkan diri dari Pasaran Elektrik Terbuka (OEM) telah menyebabkan akaun isi keluarga yang terjejas dipindahkan ke syarikat SP Group.



Pelan harga standard yang disediakan oleh peruncit di bawah OEM lazimnya lebih rendah berbanding tarif yang dikenakan oleh SP Group.



Kadar inflasi perkhidmatan meningkat kepada 1.9 peratus, berbanding 1.6 peratus pada Oktober, ekoran kenaikan harga tiket kapal terbang yang lebih pantas selepas sekatan sempadan dilonggarkan di samping kos khidmat telekomunikasi yang menyaksikan penurunan lebih kecil.



Kadar inflasi penginapan juga berkembang 2.7 peratus berbanding dengan 2.5 peratus pada bulan sebelumnya sedang sewa perumahan meningkat lebih pantas.



Turut menunjukkan trend serupa ialah kadar inflasi makanan, yang meningkat kepada 1.9 peratus pada November, berbanding 1.7 peratus pada bulan sebelumnya.



Ini disebabkan harga makanan tidak masak yang meningkat lebih mendadak, menurut kenyataan itu. Kenaikan harga makanan yang sudah dimasak tidak berubah.



Bagaimanapun, kos runcit dan barangan lain merosot lebih mendadak - pada 0.9 peratus pada bulan lalu, berbanding Oktober yang menyaksikan kejatuhan 0.4 peratus, ekoran harga pakaian dan kasut yang susut lebih banyak.



Kadar inflasi utama dijangka mencapai kadar purata 0.9 peratus bagi seluruh 2021 serta tumbuh antara 1 peratus dengan 2 peratus pada tahun depan.



MAS dan MTI telah menaikkan ramalan inflasi keseluruhan kepada 2.3 peratus bagi tahun ini, berbanding 2 peratus sebelum ini memandangkan kos pengangkutan privet yang melonjak sejak beberapa bulan lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >