Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG RAMADAN

Karpet terkandas di China dek Covid-19 antara cabaran Syah Ibrahim hias bazar

Apr 02, 2022 | 06:21 AM



BEBERAPA hari sebelum bazar Hari Raya Wisma Geylang Serai dijadualkan dibuka, pemilik Orange Travel Encik Syah Ibrahim menerima berita buruk - permaidani yang ditempah khas dari China untuk menghiasi bazar itu 'tersangkut' setelah operasi sebuah lapangan terbang di sana terjejas dek Covid-19.



Bukan itu sahaja, beliau turut menghadapi cabaran mendapatkan bekalan hiasan bunga-bunga yang diperlukan untuk menyerikan suasana beli-belah bagi pengunjung di bazar yang mula dibuka hari ini.



Namun cabaran itu diterima dengan penuh keyakinan dan tekad mahu memberi pengunjung pengalaman membeli-belah yang menarik di sekitaran fauna dan flora.



Orange Travel memenangi tender yang ditawarkan Wisma Geylang Serai untuk mengendalikan bazar Hari Raya di premis itu - yang pertama diadakan sejak wabak Covid-19 melanda dua tahun lalu.



Menurut laman GeBiz, harga yang ditawarkan Orange Travel bagi memenangi tender itu ialah $88,888.88.



Dalam kenyataannya, Wisma Geylang Serai berkata Orange Travel dipilih "kerana konsep mereka yang kuat dan melebihi keperluan tender yang ditetapkan penganjur dalam banyak bidang".



Bazar Hari Raya tahun ini akan membawa tema Taman Bunga Dongeng (Fairy Tale Blossom Garden) yang mengubah zon beli-belah menjadi taman mekar.



"Kami bertekad menyediakan suasana beli-belah dan pengalaman lawatan unik kepada masyarakat, kami tidak mahu menawarkan suasana pasar malam," kata Encik Syah.



Menjanjikan konsep yang gah itu mendatangkan pelbagai cabaran memandangkan masa tidak menyebelahi beliau.



"Lazimnya kami mempunyai lebih sebulan untuk membuat persiapan namun kali ini kami mempunyai masa yang agak suntuk biarpun bilangan gerai adalah lebih kecil berbanding bazar yang lalu," jelas beliau.



Keputusan tender diumumkan 19 Mac lalu bermakna Encik Syah dan pasukannya mempunyai sekitar dua minggu untuk membuat persiapan.



Mujur anjuran acara besar-besaran sesuatu yang tidak asing bagi beliau, yang berpengalaman dalam urusan pelbagai bazar - dari mengendalikan Bazar Raya Utara di Woodlands hingga ke Bazar Hari Raya di Geylang Serai - sebelum pandemik melanda.



Semasa ditemui di Wisma Geylang Serai malam kelmarin, beliau kelihatan sibuk mengarahkan pasukannya membuat perubahan dan penyesuaian pada hiasan lampu dan bunga di ruang tersebut.



Pada satu ketika, terdengar beliau melahirkan rasa kurang puas dengan jumlah hiasan bunga yang sudah dipasang dan meminta pembekalnya memesan lagi 5,000 tangkai bunga agar "warna dapat dilihat dari hujung ke hujung".



Tidak lama kemudian, beliau kelihatan meminta seorang juruelektrik menambah lampu di gerbang masuk bazar tersebut.



Saiz bazar kali ini lebih kecil berbanding yang lalu memandangkan ancaman Covid-19 masih wujud - terdapat hanya 40 gerai yang menawarkan produk gaya hidup hingga ke makanan.



Dalam pada itu, pelbagai langkah urusan selamat perlu dilaksana termasuk membahagikan bazar itu kepada dua zon dan mengawal bilangan pengunjung dalam setiap zon.



Semua pengunjung juga perlu sudah divaksinasi sepenuhnya sebelum dibenarkan masuk.



Pengarah operasi bazar bagi pihak Orange Travel, Encik Osman Arrifin, pula berkata tumpuan pasukannya adalah memastikan keselamatan pengunjung dan semua prosedur operasi standard dipatuhi.



"Antara lain pasukan kami mungkin perlu memujuk pengunjung supaya bersabar menunggu giliran masuk sekiranya ruang sudah penuh," kata Encik Osman.



Tambah Encik Syah:



"Kami juga memohon kerjasama pengunjung supaya mematuhi peraturan kerana ini merupakan bazar Hari Raya pertama yang dibenarkan sejak pandemik bermula, ramai yang sedang melihat bagaimana masyarakat kita mengadakan acara besar di sebalik Covid-19."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >