Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA: ANALISIS BERITA

Kegiatan fizikal perlu sekitaran sesuai demi capai matlamat

Jun 15, 2022 | 05:30 AM



CADANGAN terkini yang lebih terperinci bagi kegiatan fizikal, di bawah Garis Panduan Aktiviti Fizikal Singapura (SPAG) memaparkan bagaimana matlamat gaya hidup lebih aktif boleh dicapai berbilang lapisan masyarakat.



Bertujuan membantu negara meningkatkan daya kesihatan awam, panduan tersebut menekankan bahawa semua aktiviti fizikal - sama ada dilakukan untuk masa yang lama mahupun singkat - dapat memberikan manfaat kepada tubuh badan.



Aktiviti fizikal ini juga boleh dilakukan di mana sahaja dan boleh diterapkan dalam kehidupan harian - contohnya meluangkan 10 minit di rumah untuk bersenam, berjalan kaki ke stesen bas atau MRT, mahupun berbasikal di taman.



Dengan matlamat yang lebih mudah dicapai - contohnya matlamat aktiviti fizikal selama 150 hingga 300 minit seminggu bagi golongan dewasa - orang ramai mungkin lebih terdorong untuk mengorak langkah ke arah gaya hidup yang lebih sihat dan aktif, menurut pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).



Garis panduan tersebut disusun semula oleh Sport Singapore (SportSG) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) buat pertama kali sejak 2011 dan merangkumi cadangan kegiatan spesifik bagi golongan tertentu termasuk wanita hamil dan selepas bersalin, orang kurang upaya dan juga warga emas.



Perubahan ini tepat pada masanya dan merupakan langkah baik ke arah masyarakat Singapura yang lebih aktif, namun ia memerlukan persekitaran lengkap yang dapat menyokong perubahan gaya hidup tersebut, kata Profesor Sains Senaman Paediatrik di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Michael Chia.



"Garis panduan yang dilancarkan cukup terperinci dan melibatkan setiap segmen masyarakat - dari selepas lahir hinggalah ke akhir hayat.



"Namun, untuk memastikan usaha ini dapat terus dikekalkan dan menjadi sebahagian daripada hidup warga Singapura, penguatkuasaannya perlu dilakukan dengan baik dengan kerjasama pihak berbeza," katanya.



Ini termasuk penglibatan industri, contohnya kerjasama pemerintah bersama sektor pengangkutan awam untuk menawarkan insentif bagi menggalak penumpang memilih untuk menaiki tangga berbanding eskalator.



Tahap aktiviti fizikal masyarakat perlu mengambil kira infrastruktur sosial, budaya dan trend gaya hidup anggotanya, dan antara alasan utama tahap aktiviti yang rendah adalah kurangnya masa dan minat, menurut pensyarah kanan dan pengarah program Diploma Pos-Siswazah Perubatan Sukan di Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Fabian Lim.



Justeru, pihak berkuasa juga perlu mengambil langkah menyeluruh dalam meningkatkan usaha membantu warga mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan juga hidup untuk menggalakkan kehidupan lebih aktif.



Sementara itu, lebih banyak kajian juga perlu dijalankan bagi mengenal pasti hambatan yang dihadapi individu dalam menjalani gaya hidup lebih aktif.



"Data ini dapat membantu agensi supaya lebih tertumpu dalam membentuk program dan dasar bagi menggalak gaya hidup lebih aktif," ujarnya.



Selaras dengan usaha menggalak kehidupan lebih aktif di peringkat nasional, kegiatan di bawah Saham Kesihatan yang lebih tertumpu kepada keperluan masyarakat Melayu mulai dijalankan awal Jun.



Program tersebut yang dirintis di M³@Tampines dan M³@Jurong sebelum diperluas ke setiap bandar M³@Bandar, diterajui Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.



Kegiatan di bawah program itu dijalankan selama 12 minggu, dan peserta perlu melakukan penilaian kesihatan pada minggu pertama dan terakhir untuk menilai sebarang perubahan pada diri mereka.



Pendaftar Staf Kanan, Pusat Perubatan Sukan dan Senaman, Hospital Besar Changi (CGH), Dr Fadzil Hamzah, yang memimpin jawatankuasa kecil bagi kegiatan jasmani di bawah Program Saham Kesihatan, menambah:



"Secara perubatan dan berdasarkan bukti, untuk perubahan tingkah laku berlaku secara berkesan dan berkekalan, 12 minggu adalah tempoh yang baik."



Bagi mencetus perubahan gaya hidup, daya pemikiran semua pihak turut memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat lebih aktif, kata jurulatih senaman dan renang, Encik Khidir Yunos.



"Semua pihak, termasuk pihak berkuasa, agensi dan juga masyarakat, perlu ubah mentaliti bagi capai matlamat perubahan gaya hidup yang diinginkan, jika tidak, ia hanya akan kekal sebagai garis panduan atau program yang kurang berhasil," katanya.




"Garis panduan yang dilancarkan cukup terperinci dan melibatkan setiap segmen masyarakat - dari selepas lahir hinggalah ke akhir hayat.



Namun, untuk memastikan usaha ini dapat terus dikekalkan dan menjadi sebahagian daripada hidup warga Singapura, penguatkuasaannya perlu dilakukan dengan baik dengan kerjasama pihak berbeza."
- Profesor Sains Senaman Paediatrik di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Michael Chia.



"Semua pihak, termasuk pihak berkuasa, agensi dan juga masyarakat, perlu ubah mentaliti bagi capai matlamat perubahan gaya hidup yang diinginkan, jika tidak, ia hanya akan kekal sebagai garis panduan atau program yang kurang berhasil."
- Jurulatih senaman dan renang, Encik Khidir Yunos. 




Garis panduan gabung bukti saintifik, amalan terbaik



SET garis panduan yang menggalak masyarakat di sini menjadi lebih aktif menggabungkan bukti saintifik terkini serta hasil cadangan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang amalan terbaik global.



Baru-baru ini, pemerintah telah melancarkan Garis Pandu Aktiviti Fizikal Singapura (SPAG) yang disusun semula oleh Sport Singapore (SportSG) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), yang juga termasuk cadangan kegiatan bagi wanita hamil dan wanita selepas bersalin, serta golongan kurang upaya (PWD).



Dalam kenyataan dua badan tersebut, SPAG yang dibangunkan bersama oleh jawatankuasa pakar daripada perubatan, promosi kesihatan, sukan dan penyelidikan bidang, dipengerusikan oleh wakil dari SportSG dan HPB, diharap dapat menggalakkan pelbagai kegiatan fizikal dan mengurangkan tingkah laku sedentari, atau kurang bergerak, bagi penduduk dari setiap peringkat usia.



Garis panduan ini adalah hasil kajian intensif daripada penyelidikan dan penyusunan bukti baru yang telah muncul dalam dekad yang lalu mengenai kesihatan dan kesejahteraan.



Ia juga dapat membantu negara dalam meningkatkan daya kesihatan awam.



Ini termasuk menyediakan penanda aras bagi pihak berkepentingan yang berbeza termasuk karyawan penjagaan kesihatan dan kecergasan, serta penggubal dasar dan pemimpin masyarakat yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem yang menyokong dan membolehkan kehidupan aktif.



Garis panduan itu juga bertujuan mencapai lima kunci komponen untuk kegiatan fizikal: kecergasan aerobik, kekuatan otot, kekuatan tulang, kelenturan dan keseimbangan.



Penduduk Singapura diharap memperolehi pemahaman lebih baik tentang berapa banyak kegiatan fizikal sesuai untuk umur dan gaya hidup mereka.



Sebagai contoh, bagi orang dewasa, garis panduan mengesyorkan sekurang-kurangnya 150 hingga 300 minit kegiatan aerobik intensiti sederhana seminggu, dan untuk menguatkan otot, tulang dan sendi melalui kegiatan yang berbeza, pada tahap sederhana atau intensiti yang kuat, sekurang-kurangnya dua hari seminggu.



Individu boleh kekal aktif melalui rekreasi seperti berlari-lari anak, berenang dan bermain sukan raket untuk melatih kumpulan otot yang berbeza.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >