Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Kekosongan' Covid bakar semangat pelajar Madrasah Aljunied lulus cemerlang IB

Jan 04, 2023 | 05:30 AM



KEKOSONGAN dirasai apabila pembelajarannya perlu dipindahkan ke dalam talian akibat sekatan Covid-19, yang menghalangnya daripada belajar bersama rakan-rakan secara bersemuka.



Kehilangan sumber motivasi itu membuatkan Muhammad Zaki Awwab Idham lebih sukar menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.



Justeru, apabila namanya diumumkan sebagai pelajar terbaik peperiksaan Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) di sekolahnya semalam, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu terperanjat kerana tidak menyangka akan meraih keputusan cemerlang.



Pelajar berusia 18 tahun itu meluahkan kesyukuran dengan keputusan yang dicapainya, iaitu 42 mata daripada markah penuh 45 mata - sesuatu yang tidak diduganya sama sekali.



Zaki merupakan antara 19 pelajar Madrasah Aljunied yang menduduki peperiksaan itu dan lulus dengan keputusan purata madrasah iaitu 36.05 mata.



Markah purata itu lebih tinggi berbanding keputusan global purata sebanyak 30.91 mata dan keputusan purata Asia-Pasifik iaitu 35.6.



Selain lulus peperiksaan IBDP, semua pelajar madrasah tersebut dianugerahkan Diploma Dwibahasa di bawah program IB.



Sementara itu, pelajar Singapura secara keseluruhan berjaya mencatat prestasi lebih baik berbanding pelajar lain di peringkat global dengan keputusan purata 39.48.



Hampir separuh daripada pelajar yang meraih markah sempurna di serata dunia - 55 daripada 120 - adalah dari Singapura.



Ketika ditemui Berita Harian (BH), Zaki mengaitkan kejayaannya dengan sokongan yang diberikan ibu bapa, guru serta rakan sepanjang perjalanan yang disifatnya sebagai "jauh dan mencabar" itu.



"IB bukan sahaja tentang peperiksaan, terdapat esei, banyak tugasan yang perlu disiapkan, dan kadangkala ia bertembung dengan peperiksaan kami. Ia tidak mudah, lebih-lebih lagi dengan pandemik dan ketidaktentuan yang dibawanya," jelasnya.



Namun, anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu berjaya gagahi semua cabaran yang ditempuhi.



Di samping sokongan moral yang diberikan ibu bapanya, guru-guru di sekolahnya sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa kesejahteraan diri pelajar sepertinya terjaga.



Dia dan rakan-rakan juga sentiasa bertanya khabar antara satu sama lain di dalam talian walaupun tidak dapat berjumpa secara fizikal.



Berkongsi apa yang terus mendorongnya, Zaki berkata:



"Ibu bapa saya memainkan peranan yang besar. Saya benar-benar ingin membanggakan mereka kerana mereka telah banyak berkorban demi melihat saya berjaya. Dan guru-guru juga, melihat mereka berusaha bersungguh-sungguh membuatkan saya seolah-olah terhutang budi dengan mereka."



Ibunya, Cik Kholis Isnaena Khasanah, 48 tahun, seorang suri rumah, manakala bapanya, Encik Idham Halid Romli, 51 tahun, seorang guru Bahasa Arab di Madrasah Al-Irsyad.



Memberi nasihat kepada pelajar lain yang bakal menduduki peperiksaan IBDP, Zaki, yang merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang Matematik di Universiti Nasional Singapura (NUS) atau Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata:



"Jangan berlengah-lengah dan jangan takut untuk mendekati guru atau senior yang ada untuk mendapatkan bantuan."



Laporan lanjut: Markah pelajar S'pura lebih tinggi daripada purata global




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >