Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belanjawan 2023: BANTUAN BAGI PASANGAN MUDA BELI FLAT BTO

Keluarga yang punyai anak kecil, pasangan muda diberi keutamaan beli flat BTO

Feb 15, 2023 | 05:30 AM



KELUARGA yang mempunyai anak serta pasangan muda yang sudah berkahwin dan berusia 40 tahun ke bawah akan diberi keutamaan jika mereka membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) buat pertama kali mulai lewat 2023.



Mereka juga akan diberi undi tambahan bagi permohonan flat BTO mereka, umum Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada Selasa.



Ini antara langkah yang diambil pemerintah untuk menyokong aspirasi perumahan golongan muda Singapura.



"Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah pun mengetepikan sebahagian besar bekalan flat BTO untuk keluarga yang membelinya buat kali pertama.



"Memandangkan bekalan BTO semasa yang ketat, kami akan menyediakan lebih banyak sokongan kepada kumpulan tertentu seperti keluarga yang mempunyai anak serta pasangan muda yang sudah berkahwin dan berusia 40 tahun dan ke bawah yang membeli rumah pertama mereka," kata beliau.



Beliau menegaskan bahawa lebih banyak akan dilakukan untuk membantu keluarga sedemikian mendapatkan flat BTO mereka tepat pada masa.



Dalam satu pos Facebooknya, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata merentasi semua sesi di bawah latihan Melakar Hala Tuju Singapura, isu yang terserlah adalah untuk mengutamakan mereka yang memohon rumah buat pertama kali.



"Ini terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak dan pasangan suami isteri yang lebih muda yang baru mula bekerja dan mungkin tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk meneroka pilihan-pilihan perumahan yang lain.



"Hari ini, sebahagian besar bekalan flat BTO kami dikhaskan untuk pembeli kali pertama dan mereka mendapat keutamaan untuk menempah flat ini," kata beliau.



Dalam satu kenyataan bersama Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB berkata, kegenjotan bekalan BTO disebabkan oleh beberapa faktor, terutama gangguan kepada pembinaan flat HDB yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.



Peralihan dalam norma sosial juga mendorong rakyat Singapura dengan keinginan mereka untuk berpindah dan hidup sendiri, daripada tinggal bersama ibu bapa mereka.



Langkah-langkah tambahan yang diumumkan Encik Wong pada Belanjawan 2023 akan melengkapkan langkah-langkah sedia ada dan menyokong lagi keluarga yang ingin membeli rumah pertama mereka.



Encik Wong juga mengumumkan lebih banyak sokongan akan diberikan kepada keluarga yang ingin membeli flat jualan semula buat kali pertama.



Bagi keluarga yang layak dan ingin membeli flat jualan semula 4 bilik atau yang lebih kecil, Geran Perumahan CPF akan dipertingkatkan kepada $30,000.



Bagi keluarga yang layak dan ingin membeli flat jualan semula lima bilik atau lebih besar, Geran Perumahan CPF akan dipertingkatkan kepada $10,000.



Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) itu akan berkuat kuasa serta-merta dan jumlah geran tambahan akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka mulai April 2023.



Bersama dengan Geran EHG dan Geran Perumahan Berhampiran, keluarga yang layak boleh menerima geran sehingga $190,000 apabila membeli flat jualan semula.



Encik Lee juga menyatakan pemerintah komited untuk memastikan perumahan awam mampu dimiliki dan boleh diakses terutamanya bagi rakyat Singapura yang membeli rumah pertama mereka.



"Peningkatan dalam Geran Perumahan CPF yang diumumkan DPM Wong akan membolehkan kita menyediakan lebih banyak sokongan bagi rakyat Singapura yang membeli flat jualan semula HDB sebagai rumah pertama mereka," kata beliau.



Bagi mereka yang belum berkahwin dan ingin membeli flat HDB jualan semula buat pertama kali juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan kepada Geran Perumahan CPF.



Mereka yang ingin beli flat jualan semula dua hingga empat bilik akan mendapat geran tambahan daripada $25,000 kepada $40,000.



Mereka yang membeli flat jualan semula lima bilik akan mendapat geran tambahan daripada $20,000 kepada $25,000.



Bersama dengan Geran EHG dan Geran Perumahan Berhampiran, mereka yang belum berkahwin dan ingin membeli flat HDB jualan semula dapat menerima geran perumahan sehingga $95,000.




BANTUAN PERUMAHAN



GERAN UNTUK PEMBELI PERTAMA KALI YANG MEMPUNYAI KELUARGA



  • Geran Perumahan CPF-Flat 2 hingga 4 bilik $50,000 (semasa) $80,000 (selepas semakan)

  • Geran Perumahan CPF-Flat 5 bilik dan ke atas $40,000 (semasa) $50,000 (selepas semakan)

  • Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) sehingga $80,000 (semasa) sama (selepas semakan)

  • Geran Perumahan Berhampiran sehingga $30,000 (semasa) sama (selepas semakan)

  • Jumlah sehingga $160,000 (semasa) Sehingga $190,000 (selepas semakan)

GERAN UNTUK PEMBELI PERTAMA KALI YANG BELUM BERKAHWIN



  • Geran Perumahan CPF-Flat 2 hingga 4 bilik $25,000 (semasa) $40,000 (selepas semakan)

  • Geran Perumahan CPF Flat 5 bilik $20,000 (semasa) $25,000 (selepas semakan)

  • Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) sehingga $40,000 (semasa) sama (selepas semakan)

  • Geran Perumahan Berhampiran sehingga $15,000 (semasa) sama (selepas semakan)

  • Jumlah sehingga $80,000 (semasa) sehingga $95,000 (selepas semakan)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >